Followers

Sunday, June 5, 2011

YA AKHI, YA UKHTI, BERGERAKLAH SAMBIL MENJUNJUNG ILMU

Sabda Rasulullah SAW;

فَقِيْهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَـابِدٍ

"Seorang yang faqih itu lebih berat (digeruni) syaitan berbanding seribu orang 'Abid (ahli ibadah)"

Pemahaman yang benar adalah cahaya, yang dapat membantu menjaga keselamatan amal dari kegelinciran yang tidak disengajakan oleh sebab kejahilan manusia. Insan yang beramal tanpa pemahaman yang jitu tentang amalan mereka tidak akan mampu menempatkan sesuatu pada tempatnya seperti mana yang sewajarnya.

Realiti dunia hari ini memperlihatkan kecenderungan insan untuk beramal tanpa pemahaman yang sahih tentang amalan mereka. Perihal ilmu dilupakan dan tidak diletakkan sebagai keutamaan sedangkan ilmu merupakan asas kepada setiap amal yang ingin dilakukan manusia.

Maka, tidak hairanlah seorang manusia yang berilmu lebih ditakuti oleh syaitan berbanding seribu orang ahli ibadah yang tekun dengan solat mereka, juga puasa mereka serta ibadat-ibadat lain sekaligus menggambarkan peri penting ilmu bagi setiap indiidu muslim. Bahkan Saidina Umar Al Khattab ra juga pernah berkata;

"Kematian seribu orang ahli ibadah yang selalu solat malam dan berpuasa pada siang hari itu lebih ringan daripada kematian seorang pintar yang mengetahui hal-hal yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah"

Dalam konteks perjuangan Islam, telah wujud bayang-bayang kecenderungan pejuang-pejuang Islam yang bertakbir atas dasar kekuatan semangat atau kecenderungan yang selain dari kefahaman ilmu. Sesuatu yang perlu dipandang serius kerana setiap amalan yang bergerak atas landasan selain daripada ilmu akan cacat yang lemah serta terdedah kepada kegelinciran.

Para pejuang yang berpencak atas dasar semangat atau selain daripada ilmu cenderung untuk gagal istiqamah dalam perjuangan serta menghidupkan ruh perjuangan Islam yang mampat. Sebaliknya, dengan pengetahuan ilmiah setiap pejuang Islam akan lebih bersedia berdepan ranjau perjalanan, tetap siaga dengan perisai diri untuk berjuang atas nama Islam.

Apabila disebut kefahaman ilmu, yang dimaksudkan adalah kefahaman ilmu yang luas secara jitu. Malangnya, pejuang hari ini asyik menumpukan kepada ilmu haraki sehingga terlupa kepada kepentingan ilmu fiqh, sirah dan disiplin ilmu Islam yang lain yang pada hakikatnya merupakan asas kekuatan kepada seorang pejuang.

Tumpuan hari ini terlalu menjurus untuk membentuk seorang pekerja/aktivis Islam sehingga mengabaikan bakat modal insan yang ada untuk membentuk seorang pejuang yang bergerak atas dasar ilmu menjadi rujukan kepada pejuang-pejuang yang lain.

As-Syahid Hassan Al Banna dalam kitabnya Risalah Ta'alim menyebut;
"Benarnya pemahaman dan ikhlasnya tujuan merupakan nikmat terbesar kurniaan Allah kepada hamba-Nya."

Jelas, kefahaman yang benar sebagai seorang pejuang merupakan suatu nikmat yang besar dari Allah Maha Besar. Justeru, merupakan satu musibah besar kepada seseorang yang bergelar pejuang apabila dirinya tidak berada pada landasan ilmu meski dirinya ada pada landasan perjuangan Islam.

Oleh yang demikian, gerakan Islam perlu ke hadapan dalam memandu para pejuang ke arah 'pejuang Islam yang berilmu' yang menguasai kefahaman disiplin ilmu Islam yang jitu serta kemampuan ilmiah dalam disiplin-disiplin ilmu yang lain seperti Sains, Matematik, Teknologi, ilmu alam dan lain-lainnya. Umat Islam perlu giat dengan ilmu untuk melahirkan ulama yang bergelar profesional dan profesional yang bergelar ulama.

Ya akhi, ya ukhti! Bergeraklah sambil menjunjung ilmu. Berusahalah memiliki pemahaman yang benar dan tepat lagi sahih dalam setiap tanduk di dunia ini. Pemahaman yang mencapai dasarnya sekaligus memberikan petunjuk supaya setiap perkara dapat diletakkan pada tempatnya tanpa lebihan atau kekurangan. 

Sesungguhnya ilmu itu adalah 'nur' yang menerangi jalan pejuang. Sedang kepayahan jerih perit pejuang Islam 'seperti mencari semut hitam pada batuan gelap dan pada malam yang kelam'. Fikirkanlah saudara-saudaraku! Bagaimana akan kita temui 'semut' itu tanpa 'nur' (kefahaman ilmu).