Followers

Thursday, March 31, 2011

SIR WA HAZAR - KERAHSIAAN YANG MEMBANTUTKAN?

Rasulullah SAW dalam sirahnya memperlihatkan dua bentuk gerakan dakwah dalam mengembangkan Islam kepada umat manusia keseluruhannya. Pertama, melalui gerakan berbentuk sir (kerahsiaan) dan kedua gerakan secara jahar (terang-terangan). Maka, gerakan Islam meletakkan selain gerakan secara jahar perlunya juga sir dalam menjaga manhaj perjuangan Islam. Permasalahannya di sini, kesilapan para penggerak Islam dalam memahami istilah sir dalam perjuangan menyebabkan sir yang sepatutnya menjadi senjata gerakan Islam bertukar menjadi kerahsiaan yang membantutkan perjuangan.

Dari sudut definisinya, sir bermaksud kerahsiaan manakala hazar pula bermaksud kewaspadaan. Malangnya, realiti hari ini memperlihatkan perkara yang disebutkan sir itu telah disalah tafsir oleh kebanyakkan penggerak Islam. Dan, itu jugalah yang berlaku dalam konteks Malaysia. Maka, berlakulah perbezaan dalam sir yang diamalkan Rasulullah saw dan yang difahami oleh umat Islam hari ini. Al-Fadhil Ustaz Azizan dalam mengulas isu ini pernah berkata "Sir yang diamalkan Rasulullah saw dalam perjuangan baginda merupakan strategi yang menguntungkan Islam sedang sir yang difahami dan diamalkan segelintir penggerak Islam pada hari ini adalah berasaskan ketakutan yang membantutkan perjuangan."

Ketika bertukar-tukar pandangan dengan seorang bekas pimpinan Mahasiswa beberapa minggu lalu, beliau membuat satu kesimpulan bahawa masalah sir ini paling banyak berlaku di dalam kampus. Satu istilah yang agak familiar dalam kalangan penggerak manhaj Islam di kampus ialah "kampus lain, kawasan lain." Bahkan, beliau berkongsi pengalaman beliau terperosok ke dalam lingkungan sir yang melampau ketika di alam kampus.

Penggerak Islam di kampus pada waktu itu ditegah walaupun untuk menyebut perkataan-perkataan yang berbaur gerakan seperti perkataan bai'ah, tamrin, amir dan sebagainya. Hal ini telah menjadi satu fenomena yang tidak dapat dibendung sehingga ke hari ini. Tidak sekadar itu, beliau juga ditegah dari dilihat kerap bersama atau berjalan seiring dengan ahli gerakan kampus dengan alasan untuk menjaga kerahsiaan walhal beliau merupakan Presiden gerakan mahasiswa ketika itu. 

Contoh lain yang diutarakan, sekiranya beliau mendengar ceramah tentang akidah dan perjuangan, atau mengenai jihad di jalan Islam, beliau telah diingatkan terlebih dahulu supaya fakta ceramah tersebut disimpan rapi kerana ia adalah satu kerahsiaan. Malah, sehingga ke hari ini masih ada ceramah yang mana pendengar dilarang mencatitnya atas faktor keselamatan. Yang perlu, cukuplah dengan mengingati isi-isinya sahaja.

Inilah yang dikatakan sir yang disalah tafsirkan. Sir bukan kerana strategi gerakan yang menguntungkan Islam sebaliknya sir yang wujud kerana ketakutan yang wujud. Dalam konteks gerakan kampus, ketakutan kepada pihak polis, penguasa dan pentadiran.

Dalam meneliti permasalahan ini berpandukan realiti yang diceritakan sahabat penulis tadi, penulis membuat beberapa rumusan dari sudut kesan sir yang melampau terhadap gerakan Islam.

1) Dakwah tidak dapat disebarkan secara meluas berikutan maklumat, fakta ceramah yang dirahsiakan dan ditutup serapat-rapatnya.
2) Lahir ahli yang penakut dan tidak berani. Perkara ini boleh dilihat apabila mahasiswa pulang ke kawasan masing-masing apabila mereka dilihat tidak aktif dalam jemaah walhal mereka bersama kita hanya kerana perjuangan di luar lebih bersifat terbuka.
3) Kefahaman tentang gerakan Islam tidak meluas sebaliknya gerakan Islam dilihat bersifat esklusif / untuk ahli sahaja.

Mungkin penggerak Islam perlu mula bertanya apa yang dirahsiakan sebenarnya? Maklumat atau hanya tanzim? Islam itu bukan bersifat esklusif untuk individu-individu tertentu sahaja. HAMAS yang perjuangannya berdepan dengan kematian pun berani menzahirkan gerakan mereka.

Artikel ini bukanlah untuk menyanggah peranan kerahsiaan dalam gerakan Islam. Malah, diakui banyak hadis Nabi SAW yang menyeru kepada sir dalam gerakan. Namun, perlu dilihat juga dari sudut kondisi hadis tersebut. Yang dimaksudkan bukanlah kerahsiaan yang terlalu rapat kesan dari ketakutan yang menyelubungi.

Dalam kerahsiaan dan kewaspadaan Rasulullah SAW, beliau masih mencabar Romawi secara terbuka. Mengutus surat kepada banyak kerajaan besar termasuk Hercules sehingga Baginda 'dipukul' habis-habisan. Di sini jelas Rasulullah SAW sedang menjelaskan kepada kita makna sir  dalam perjuangan.

Ketua Pemuda PAS Perak, Al-Fadhil Ustaz Zawawi dalam ucapannya ketika Konvensyen Pemuda Prihatin 2010 berpendapat gerakan Islam di Malaysia ini kekurangan 'promoter-promoter' berkesan dalam mempromosikan Islam kepada masyarakat. Dengan hakikat perjuangan semasa yang memerlukan kepada proksi perjuangan, penggerak Islam di kampus hari ini telah meninggalkan kewajiban mereka untuk mempromosikan Islam dan pergerakkan Islam kepada masyarakat atas sebab yang disebut dengan perkataan sir (kerahsiaan).

Kesimpulannya, kita perlu kembali mengkaji sejauh mana pengertian sir dalam perjuangan yang disaran oleh Rasulullah SAW. Yang jelas, kerahsiaan yang melampau sehingga kepada satu bentuk sir yang menyembunyikan intipati Islam berbentuk umum yang diperolehi melalui ceramah atau program gerakan adalah sesuatu yang tidak wujud kerelevanannya. Mungkin dari sudut program dan perkara-perkara tertentu perlu dirahsiakan namun kerahsiaan yang dibenihkan oleh biji-biji ketakutan perlu dinyahkan dari manhaj gerakan Islam khususnya di kampus.

Penulis akhiri artikel ini dengan satu konsep fiqh usul untuk difahami, "Islam, apabila ia sempit maka luaskanlah. Apabila ia luas maka sempitkanlah." Renung-renungkan...



- Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis. Komen, teguran atau pendapat lain dalam isu ini amat dialu-alukan...


Saturday, March 26, 2011

POLITIK FITNAH DI MALAYSIA - SUATU KAJIAN ILMIAH

Muktahir ini negara digemparkan dengan pelbagai isu politik yang menghangatkan lagi pertembungan antara dua parti seteru di negara ini. Natijah daripada penyakit cintakan dunia yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin berakidah sekular, pelbagai cara dilakukan semata-mata untuk memastikan diri  terus berkuasa meskipun terpaksa bergelumang dengan dosa besar fitnah.
   
Menyingkap semula fakta yang tersimpan di dalam lipatan sejarah, kewujudan politik fitnah di negara ini bukanlah sesuatu yang baru. Hakikatnya, negara telah lama dihidangkan dengan adegan politik fitnah yang cukup mengaibkan khususnya kepada individu yang terlibat secara langsung dan menjadi mangsa kepada politik fitnah di negara ini. Bahkan, bukan sekadar individu yang terkesan dengan permainan politik fitnah malah Islam dalam sejarah di Malaysia juga pernah dimangsakan oleh pemain-pemain politik fitnah di Malaysia.

Bukan sesuatu yang mudah untuk membuat satu unjuran secara tepat di manakah tapak bercambahnya budaya politik fitnah ini. Namun penulis lebih berpendapat bahawa kemerdekaan yang dicapai negara merupakan suatu bentuk politik fitnah dengan Islam menjadi mangsa pertama kepada gerakan sekularisme berpandangan barat. Islam diisytihar sebagai agama rasmi namun definisi Islam di dalam perlembagaan bukanlah dirujuk kepada hakikat Islam sebenar sebaliknya definisi yang digunakan untuk mentafsir perkataan "Islam" di dalam perlembagaan diceduk dari kamus pemikiran sekular yang ditaja kelompok yahudi dan musuh-musuh Islam. Dalam keadaan separa sedar, saban tahun kita meraikan politik fitnah sulung di Malaysia dengan Islam dimangsakan golongan yang rakus dengan keduniaan ini.

Untuk menceritakan satu persatu kisah politik fitnah di negara ini mungkin memerlukan ruang yang lebih luas. Cukuplah penulis hadirkan di dalam artikel ini beberapa contoh kisah politik fitnah yang pernah memanaskan senario politik negara.

Tahun 80an menyaksikan negara menukil satu kisah pilu dalam sejarah politik Malaysia gara-gara politik fitnah di bawah kepimpinan pemimpin yang disifatkan paling zalim dalam barisan kepimpinan yang pernah menerajui bahtera sekularisme di Malaysia. Isu memali merupakan rentetan daripada fitnah yang dibawa parti sekular apabila melihat gerakan pencerahan semakin menampakkan kesan dari sudut penerimaan rakyat.

Ustaz Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Ibrahim Libya telah menjadi sasaran fitnah berikutan kuliah-kuliahnya yang menjelaskan batas-batas iman dan kufur mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat Islam ketika itu. 

Bingung dengan perkembangan negatif (bagi golongan sekular) itu mereka memulakan gerak kerja politik fitnah dengan melabelkan Ustaz Ibrahim Libya bersama para daie yang lain (antaranya Ustaz Abdul Latif Mohamad di Besut) sebagai membawa ajaran neo-khawarij serta dituduh membawa perpecahan kepada umat Islam dengan mengkafirkan sesama umat Islam. Hakikatnya mereka hanya memberi penjelasan tentang batas-batas akidah dalam Islam. Kemuncak politik fitnah ini adalah kekecohan yang berlaku di Baling atau dikenali sebagai Tragedi Memali telah meragut nyawa As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya bersama lebih 1 000 para syuhada yang lain (AL-FATIHAH).

Untuk rekod, permainan politik fitnah secara kecil-kecilan paling banyak dilakukan ketika kempen pilihanraya baik pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum. Pernah dalam satu pilihanraya Umum fitnah ditabur khususnya kepada masyarakat bukan Islam kononnya semua dari mereka akan dipotong tangan atau disunatkan sekiranya Islam menang dan memerintah Malaysia. Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk menjayakan serangan fitnah ini termasuk mencetak beribu-ribu risalah bergambar dan berwarna yang menunjukkan Tok Guru sedang memegang parang berdarah sambil mengejar lelaki cina. Satu fitnah terhadap hakikat Islam yang sememangnya menjadi penghalang kepada kebenaran Islam dengan masyarakat non-muslim.

Pasca PRU 2008 memperlihatkan kawasan penguasaan kelompok sekular mengcil apabila terlepas 5 negeri kepada lawan politik. Maka, bermula dari saat pertama pelbagai serangan fitnah membabitkan individu, binatang, perkauman malah agama juga.

Di Selangor, golongan sekular laknatullah ini pernah memainkan isu babi. Selangor dilabel sebagai negeri yang cuba menjadikan babi sebagai penduduk negeri kerana jumlah binatang itu yang banyak. Tetapi fitnah tetap fitnah. Hujah yang mematikan segala langkah mereka apabila didedahkan jumlah yang luar biasa banyak itu adalah warisan dari kerajaan sekular terdahulu. Ketika fitnah dilancarkan, kerajaan Selangor baru berusia 3 bulan. Andai kata semua khinzir di Selangor pada ketika itu bunting, anak benihnya pun masih belum dilahirkan lagi. Bermakna, jumlah yang ada merupakan jumlah sedia ada yang ditinggalkan kerajaan dahulu.

Di Perak, gerakan Islam difitnah sebagai tunduk kepada sahabat siyasi iaitu sebuah parti yang diketuai ramai pemimpin-pemimpin cina. Haji Nizar Jamaluddin dituduh tunduk kepada kehendak pemimpin-pemimpin cina. Tetapi rakyat Perak bijak menilai. Pemimpin yang dikatakan mengawal pentadbiran Haji Nizar itu adalah antara pemimpin paling lantang menyuarakan hak orang Melayu walaupun berketurunan cina. Pernah dalam satu sidang dewan, Ngeh Koo Ham (pemimpin yang dimaksudkan) bangun dan meminta bantuan dari kerajaan negeri kepada sekolah agama rakyat di negeri itu dinaikkan dua kali ganda berikutan keadaan sekolah agama yang kritikal kesan daripada dipinggirkan pada zaman sekularisme.

Seorang lagi pemimpin iaitu Nga Kor Ming juga adalah antara yang paling lantang di Dewan Undangan Negeri dalam isu tanah rezab orang-orang Melayu yang telah digadaikan pemimpin-pemimpin sekular dahulu. Malah, beliau merupakan pemimpin yang membongkarkan realiti tanah rezab Melayu yang dijual kepada tauke-tauke Cina kaya serta kroni-kroni kerajaan terdahulu.

Bukan setakat dalam negara, politik fitnah tajaan pemimpin sekular di Malaysia turut menyerang individu di luar negara. Contohnya anak kepada Tuan Guru Nik Aziz iaitu Ustaz Nik Abduh Nik Aziz sehingga beliau pernah merasa 'nikmat' dipenjara tanpa sebarang sabitan kesalahan yang jelas. Sehingga hari ini beliau masih belum mengetaui kesalahan beliau dan bukti beliau bersalah.

Kedah, Pulau Pinang dan suatu ketika dahulu Kelantan juga mengalami perkara yang sama. Tetapi watak paling utama yang menjadi mangsa politik fitnah ini adalah Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Bermula dengan adegan fitnah 1 pada 1998, seterusnya konspirasi fitnah 2 dan terkini konspirasi fitnah 3 yang cukup mengaibkan perbadi beliau.

Secara ringkas, adegan fitnah 1 bermula apabila DSAI dilihat tidak boleh menjadi regu kepada kepimpinan Tun M. Tambah menggetirkan apabila DSAI menghidu perbuatan mengkayakan kroni oleh kepimpinan sekular ini khususnya apabila beliau memangku jawatan Perdana Menteri selama 3 bulan sebelum beliau dipecat. Akhirnya plan konspirasi 1 dijalankan dan akhirnya DSAI meringkuk di dalam penjara dengan 1001 persoalan yang tidak dijawab berkaitan kes beliau.

Episod fitnah 2 pula direncana dengan skrip yang sama cuma pelakon yang berbeza. Skrip serta jalan cerita fitnah 2 yang hampir sama dengan fitnah episod 1 menyebabkan kelemahan perancangan rencana fitnah tersebut juga hampir sama. Beberapa fakta yang mengelirukan dalam kes ini antaranya keengganan pihak polis mengambil keterangan Hasanuddin dan isteri yang merupakan alibi kukuh DSAI dalam kes ini.

10 lagi DNA yang dikesan di seluar dalam Saiful (pelakon S) juga tidak diselidik milik siapa. Yang difokuskan adalah DNA milik lelaki Y sahaja. Tambahan lagi, pengakuan pelakon S yang berubah-ubah apabila mengatakan dia diliwat secara paksa sedang kes dibaca dengan peruntukkan hubungan luar tabie, liwat secara rela. Kenyataan dia menemui DSNR untuk mendapatkan nasihat juga agak meragukan. Rapatnya dia dengan musuh politik DSAI itu.

laporan forensik HKL
Lawak fitnah 2 juga berlaku apabila Saiful mengatakan duburnya tidak dicuci dari hari dia kononnya diliwat sehingga hari dia melakukan pemeriksaan. Bahkan tindakan menggelapkan laporan forensik HKL yang mengatakan dia tidak diliwat juga agak meragukan. Hakikatnya, kes yang semakin sampai ke penghujung ini mempunyai keraguan yang banyak sama seperti episod fitnah 1.

Merasakan 'filem' fitnah ini tidak dapat memukau pandangan rakyat yang semakin jelik dengan fitnah politik maka satu lagi 'filem' fitnah dirancang untuk menjatuhkan DSAI dari pentas politik Malaysia. Awal-awal lagi DSAI menyatakan "LAWAN TETAP LAWAN". Jika dahulu fitnah DSAI adalah lelaki dengan lelaki kali ini mereka menggunakan kreativiti dengan menfitnah DSAI dengan wanita pula.

Malangnya episod fitnah 3 ini lebih besar lubang bohongnya. Dalam masa beberapa hari sahaja pelbagai kenyataan bercanggah dikeluarkan pihak yang dikenali dengan Datuk T. T bermaksud trio iaitu gabungan pimpinan UMNO yang mempunyai dendam kesumat secara langsung dengan DSAI iaitu Dato Rahim Thamby Chik yang pernah dikaitkan dengan kes rogol sehingga menyebabkan Lim Guan Eng dipenjara di ISA kerana membela wanita Melayu yang dizalimi itu. Kedua adalah watak Datuk Shazky Ezray Abdullah yang mirip wajah DSAI dan dipercayai wajah di dalam video fitnah tersebut dan ketiga ialah Datuk Shuib Lazim, bendahari PERKASA yang diketahui menjadi barua kepada parti sekular.

Walaupun skrip telah dirombak namun adegan fitnah 1 dan 2 iaitu penuduh (dalam fitnah 3 Datuk T) berjumpa DSNR masih tidak di'trim'. Mereka dilaporkan bertemu DSNR sebelum menayangkan video ini di Parlimen. Kenyataan meragukan mengenai jam Omega serta cara mereka menemui video ini juga meragukan. Malah, kenyataan bercanggah pada dua hari berlainan mengenai tarikh sebenar mereka mengetahui isi kandungan video ini juga menimbulkan keraguan besar.

Ketika menayangkan video kepada wartawan (Isnin) Datuk Shazky mengatakan dia mendapati perakam tersebut merakam aksi seks ketika membawa perakam itu keluar dari Hotel Carcosa selepas kononnya mencari jam Omega milik Anwar. Kenyataan bercanggah dikeluarkan pada sidang media bersama Datuk Rahim Thamby Chik (selasa) apabila dia mengatakan dia hanya mengetahui isi perakam tersebut seminggu lalu.

Ditanya penglibatan Datuk Rahim Thamby Chik dalam kes ini, Datuk Shazky mengatakan dia menghubungi Datuk Rahim untuk mendapatkan hotel yang mempunyai kawalan keselamatan tanpa melibatkan polis. Malah dia juga membuat kenyataan bahawa dia menghubungi Datuk Rahim Thamby Chik kerana beliau memerlukan bantuan mencari hotel sedemikian kerana beliau bukan orang Kuala Lumpur tetapi orang Kedah. Sesuatu yang aneh kerana Datuk Shazky seorang jutawan dikenali sebagai individu yang sering berurusan di Kuala Lumpur dan mempunyai hubungan rapat dengan media-media asing.

Dari sudut keraguan video pula terdapat beberapa perkara yang meragukan seperti;

1. Pada awal rakaman, terdapat seorang lelaki lain yang sedang menguruskan rakaman video pada ketika orang yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim masuk ke dalam bilik. Sewajarnya orang itu (yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim) sedar bahawa perlakuannya akan dirakam. Mustahil sesiapa yang waras akan melakukan adegan sedemikian kecuali dia diupah.
2. Tempoh masa rakaman yang menunjukkan muka si pelaku adalah terlalu pendek. Ditambah dengan rakaman yang dibuat di dalam hitam putih; menyukarkan untuk betul-betul mengesahkan identiti si pelaku.
3. Bahu si pelaku terlalu lebar dan tegap berbanding bahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
4. Bahagian belakang si pelaku (punggung) juga berisi dan jelas berbeza dengan tubuh badan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
5. Di akhir adegan, si pelaku bangun dan tubuh badannya dirakam dengan jelas. Perutnya adalah buncit dan terlalu besar jika dibandingkan dengan perut Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
6. Warna kulitnya adalah terlalu cerah dan hampir tidak dapat dibezakan dengan warna kulit wanita terlibat

Fakta diatas disokong oleh salah seorang pimpinan tertinggi Syarikat Akhbar The Star yang diketahui bermusuh hebat dengan DSAI.

Cerita fitnah 3 ini baru bermula tatkala fitnah 2 semakin tiba ke penghujung. Dalam jangka waktu terdekat ini penulis yakin pelbagai perkara aneh akan berbangkit. Dari pemerhatian penulis isu ini merupakan cara blok sekular mengalihkan tumpuan tatkala berdepan rakyat dalam PRU ke-13 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Seorang sahabat dalam mesejnya kepada saya berkata "Mereka semakin kejam. Sahabat semua, adakah kita hanya berdiam dengan fitnah terang-terangan ini. Pemimpin zalim dan kaki fitnah ini perlu disanggah dan dinyahkan dari kepimpinan negara. Ayuh sahabat BANGKIT!!"

Walau bagaimana hebatpun perancangan manusia ketahuilah perancangan Allah Maha Hebat. Penulis tinggalkan pembaca semua dengan firman Allah;

"...Ketahuilah fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan..."
(Surah Al-Baqarah ayat 191)


Friday, March 25, 2011

TARBIYAH MENYELAMATKAN PEJUANG

Sesiapa yang melalui jalan-jalan perjuangan Islam pasti akan mengerti apa yang bakal disampaikan. Perjalanan yang jauh dan panjang diiringi halangan-halangan pelbagai wajah. Kadang-kala kaki si pejuang merasa jemu melangkah. Dua pertanyaan yang datang. Bilakah kemenangan itu akan sampai membawa gemirlapan Islam sebagai agama fitrah. Atau bilakah tiba seruan kepada Malaikat supaya aku dipanggil dalam keadaan syahid menjulang panji Islam.

Alhamdulillah, sungai tarbiyah yang mengalir di dada para pejuang sentiasa menjernihkan perasaan hitam yang cuba menyelubungi diri. Racun tentera-tentera Iblis yang sentiasa cuba melahirkan rasa putus asa dalam diri pejuang pasti dapat dineutralkan dengan bimbingan Mursyid yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan. Sememangnya itulah panduan terbaik dalam segala macam hal termasuk dalam mengsiagakan para pejuang Islam.

Maka tidak hairanlah Islam sentiasa melahirkan para pejuang yang tidak jemu dengan perjuangan. Terus mengemudi bahtera walaupun pelbagai dugaan serta jaminan masa depan yang sukar akibat perlakuan busuk hati golongan musuh Islam. Para pejuang Islam telah dijanjikan dengan hidangan fitnah untuk mereka. Cacian, makian, penghinaan, dizalimi, dianiaya, diaibkan, malah dilabel dengan jolokan yang menaikkan perasaan benci orang ramai terhadapnya. Lebih hebat lagi sehingga ke tahap mahu dibunuh atau dibunuh dengan kejam. Tetapi akidah para Mujahidin islam telah diikat dengan kalam Allah;

"Apakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan mengatakan "kami telah beriman!", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta."
(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Tentera-tentera Iblis tidak akan berhenti menyemai butir keraguan dalam hati para pejuang seperti mana syaitan berwajah manusia tidak berhenti berusaha melupuskan perjuangan Islam di dunia ini. Pelbagai helah dirancang termasuklah membisikkan ke dalam hati pejuang suatu tanggapan bahawa Allah sedang mempermainkan kita dengan cobaan yang besar ini. Tetapi, hati-hati pejuang Islam telah diikat dengan keyakinan;


"Allah tidak akan membebani seseorang itu sesuai dengan kemampuannya"
(Surah Al-Baqarah ayat 139)

Pejuang Islam telah ditarbiah dengan kefahaman ini. Maka, Mujahidin sejati tidak akan berganjak dari prinsip perjuangan walaupun diduga dengan ujian yang berat. Sesungguhnya, ujian yang besar itu menggambarkan betapa tingginya darjat seseorang itu di sisi Allah. Allah berfirman;

"Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjat, jika kamu orang-orang yang beriman"
(Surah Al-Imran ayat 139)

Untuk mencapai tingkatan darjat di sisi Allah, pejuang Islam telah diajar cara menentukan sikap mereka dalam menempuh dugaan. Firman Allah;

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (melebihi kesabaran musuh di medan perang) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di sempadan-sempadan) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mencapai kemenangan (dunia atau akhirat)"
(Surah Al-Imran ayat 200)

Dan firman Allah lagi;

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"
(Surah Al-Baqarah ayat 45)

Dalam firman yang lain;

"...Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. Dialah Tuhan Pemilik Arasy yang agung"
(Surah At-Taubah ayat 129)

Dalam realiti perjuangan zaman kotemporori ini, pejuang Islam dihimpit dengan satu lagi dugaan yang hakikatnya banyak juga mendorong kepada jatuhnya moral pejuang Islam. Iblis dibantu tentera-tentera mereka menimbulkan satu pertanyaan nafsu kepada para pejuang iaitu di mana upahnya?

Setelah diri direlakan dengan cercaan, pengaiban, dizalimi bahkan sampai dibunuh, syaitan akan membisik di dalam hati mana faedahnya? Mana balasannya? Harta telah habis diinfakkan dan kudrat semampunya dikerah namun faedah daripadanya masih belum kelihatan. Tetapi pejuang sejati punya jawapan yang paling ampuh;

"Sesungguhnya Allah telah membeli orang-orang mukmin diri mereka, harta mereka, dengan menjanjikan syurga untuk mereka"
(Surah At Taubah ayat 111)

Dalam diari pejuang-pejuang Islam juga tidak ada kalimah putus asa. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan dalam firmanNya;

"dan janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya tidak ada putus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir"
(Surah Yusuf ayat 12)

Subhanallah, Allahuakbar!!

Allah punya konklusi terhadap segala kekusutan kita. Baik sebagai pejuang atau apapun kita di dunia. Sesunggunya perjuangan Islam adalah perjuangan yang diikat dengan akidah Islam. Mahu tidak mahu seseorang pejuang perlu merelakan diri untuk ditarbiyah dan mengusahakan diri ke arah tarbiyah Islam sebagai pakaian siaga berdepan musuh Allah yang ghaib mahupun yang tampak. Sesungguhnya ia sumber kekuatan para pejuang Islam. 

TARBIYAHKAN DIRI DENGAN TARBIYAH ISLAM...!


Thursday, March 24, 2011

TIPS PEMBELAJARAN - BELAJAR SAMBIL INGAT ALLAH, PASTI ALLAH BANTU KITA INGAT PEMBELAJARAN

Firman Allah s.w.t.;

"Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) baginya"
(Surah Ath-Thalaaq ayat 3)

Sebelum mengulangkaji pelajaran / memulakan kelas / mengambil ujian;

1) Membaca Basmalah (disertakan niat kerana ALLAH);




"بسم الله الرحمن الرحيم"


2) Sedekahkan Al-Fatihah kepada Junjungan Besar Rasulullah saw, keluarga baginda, para sahabat, para tabie, salafus soleh, para ulama dulu dan kini, guru yang mengajar, ibu bapa dan seluruh muslimin dan muslimat.

3) Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw (7 kali) - Seafdalnya selawat Ibraimiyyah

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً
"Sesungguhnya Allah dan Malaikat berselawat ke atas Nabi, Wahai orang-orang yang
beriman, berselawatlah kalian ke atas Nabi dan ucapkanlah salam"(Al-Ahzab:56)

4) Bertasbih, tahmid dan takbir (33x,33x,34x)

5) Membaca doa dibawah (sambil tangan mengusap ke bahagian dada (hati));

Pilih salah satu doa. Seafdhalnya doa ketiga.
6) Dan iringi pembelajaran kita dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad saw.


Beberapa perkara penting yang perlu dilakukan seharian;

1) Basahkan lidah dan tenangkan hati dengan membaca Al-Quran (Seafdhalnya selepas subuh atau selepas Asar. Tetapkan sekurang-kurangnya semuka sehari)

2) Iringi hari-hari di dunia ini dengan Selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw (Berselawatlah walau di mana dan dalam keadaan apapun)

3) Pastikan niat kita kerana Allah taala. Berjalan kita kerana Allah, bertutur kita kerana Allah, belajar kita kerana Allah, tidur kita kerana Allah. (ingat Allah dalam setiap gerak kita)

"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan tenteram"
(Az-Zukhruff ayat 36)

4) Setelah berusaha secara zahir dan berdoa kepada Allah maka bertawakallah dan bersyukurlah di atas hasil yang kita perolehi. Mudah-mudahan kita semua mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. AMIN!!!

"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti akan Kami tambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih"
(Surah Ibrahim ayat 7)


- Rujukan / hasil dapatan Ustaz Zainol Asri

Wednesday, March 23, 2011

ISU TAKFIR DI MALAYSIA - SUATU KAJIAN ILMIAH (Part 2)

Dalam artikel sebelum ini, penulis mengutarakan hasil dapatan penulis berkaitan faktor yang menyebabkan isu takfir meletus di negara ini khususnya sekitar 80an dahulu. Secara ringkas dapat disimpulkan isu ini adalah permainan golongan sekular yang memanipulasi satu gerakan dakwah menerangkan batas-batas kekufuran dan keimanan untuk mengasingkan perjuangan Islam dengan masyarakat marhein.

Mengupas semula sejarah negara sekitar 80an, telah diakui isu kafir-mengkafir ini sememangnya menjadi senjata yang ampuh bagi pihak musuh menyerang manhaj perjuangan Islam. Dibantu dengan kebebasan media yang disekat serta ruang demokrasi yang disempitkan, gerakan Islam di Malaysia pada waktu itu benar-benar diuji kekuatan mereka apabila dipandang sepi oleh majoriti rakyat yang terpedaya dengan permainan pembenci Islam ini.

Perjuangan Islam yang baru sahaja dijenamakan semula dengan wajah kepimpinan ulama telah dilabel sebagai kumpulan gerakan neo-khawarij. Rakyat yang masih baru dengan penjelasan terhadap iman dan kufur itu dilihat tidak dapat menerima perkara sedemikian akibat dimanipulasi golongan sekular ini. Walaubagaimanapun, gerakan memahamkan masyarakat tentang batas-batas iman dan kufur yang menjadi tonggak kepada kefahaman sebenar terhadap Islam tetap diteruskan kerana harakah ini telah diikat dengan Akidah Islam.

Siri "brainwash" minda rakyat diteruskan melalui kursus-kursus BTN yang secara halus menanam satu kefahaman bahawa perjuangan Islam di Malaysia ini telah diseleweng. Maka, rakyat yang tidak diberi kesedaran politik sejak dari mula lagi telah diikat dengan penerangan fitnah tersebut.

Rentetan kepada isu ini pernah membawa kepada satu cadangan supaya debat terbuka diadakan. Rakyat mula dibangkitkan dengan debat terbuka yang diatur serta disangsikan. Gerakan Islam telah sedia dengan pasukan mereka bersama hujah, dalil dan fakta sementara golongan sekular sekadar menyahut cabaran tanpa ada wakil yang rela berdepan. Cabaran disahut sekadar untuk mengaburi mata rakyat supaya mereka tidak dilihat sebagai golongan yang salah.

Akhirnya, debat yang direncana itu terpaksa dibatalkan atas alasan menjaga perpaduan rakyat. Rakyat terus diperbodohkan dan Islam terus dalam fitnah agama.

Di bawah kepimpinan ulama, gerakan memberikan penerangan dalam isu ini kepada rakyat diteruskan tetap diteruskan walaupun siri tangkapan terhadap pemimpin seperti Ustaz Abdul Latif Muhammad, Ibrahim Libya serta pemimpin yang lain dilakukan secara besar-besaran. Kawasan yang paling terjejas dengan isu ini adalah Besut Terengganu. Menanbah 'perasa' kepada 'menu fitnah' kali ini segala jentera digunakan.

Dari BTN, media yang menambah panas sehinggalah diterbitkan satu tayangan filem yang menunjukkan wujud masyarakat yang solat dua imam pada bulan Ogos 1982 di saluran RTM. Isu ini juga menjadi senjata kitar semula setiap kali Pilihan Raya Umum diadakan di Malaysia. Malah, setelah dibatalkan debat terbuka mereka mengadakan pula satu debat olok-olok setelah rakyat mula meragui mereka. Debat ini diketuai Ustaz Nakhaie, 'pejuang Islam' berwajah sekular.

Sememangnya 'perang saraf' golongan sekular melaui isu ini antara senjata paling tajam. Tumpuan perjuangan Islam hampir terganggu malah ada yang telahpun terganggu tumpuan mereka sehingga hampir-hampir hilang fokus serta keutamaan dalam perjuangan.

Walaubagaimanapun, perjuangan Islam tetap diikat dengan akidah Islam. Biarlah rakyat menolak kerana kejahilan serta kedangkalan ditipu golongan yang memusuhi Islam asalkan Allah menerima serta redha terhadap perjuangan ini. Maka, atas prinsip tarbiyah itu perjuangan Islam ini terus bersabar, istiqamah dan tawakal dalam perjuangan. Dan Alhamdulillah, hari demi hari Allah merungkai satu persatu tali fitnah yang dibelit pada tubuh Islam dan hari-demi hari Islam semakin diterima semula. ALLAHUAKBAR!!!

- Saya ditanya siapa perjuangan Islam yang dimaksudkan dan siapa golongan sekular? Perjuangan Islam ialah PAS dan sekular itu UMNO.


Saturday, March 19, 2011

ISU TAKFIR DI MALAYSIA - SUATU KAJIAN ILMIAH

Sudah hampir seminggu juga saya tidak menulis. Kesibukkan dengan tugas-tugas harian ditambah lagi dengan kajian mengenai isu takfir (kafir-mengkafir) yang pernah meletus di negara ini. Buat masa ini saya masih dalam pengkajian bagaimana isu ini boleh berbangkit di Malaysia namun saya merasakan tidak salah untuk saya menulis sedikit hasil dapatan saya di ruangan ini.

Gelodak isu kafir mengkafir ini bermula pada awal 80an. Jika dilihat dengan lebih teliti, kronologi yang membawa kepada isu takfir ini bermula sejak 1960an lagi tetapi menjadi satu isu besar bermula pada tahun 1982 apabila berlakunya transformasi kepimpinan golongan profesional kepada golongan ulama dalam manhaj perjuangan Islam Malaysia.

Bermula dari situ, dengan kebijaksanaan kepimpinan ulama gerakan Islam mula memperhebatkan program-program tarbiyah terhadap ahli-ahlinya serta mempergiatkan usaha-usaha dakwah kepada masyarakat. Buat pertama kalinya, setelah satu resolusi oleh kepimpinan ulama iaitu, Haji Yusof Rawa untuk memberi lebih penekanan terhadap persoalan tarbiah dan kaderisasi dakwah, penekanan terhadap akidah umat Islam mula dijalankan secara berstrategi melalui majlis-majlis ilmu. Maka, berlakulah suatu keadaan yang digelar fenomena penjelasan batas-batas iman dan kufur di seluruh pelusok negara.

Antara kitab-kitab yang termasuk di dalam silibus membentuk kefahaman umat tentang hakikat Islam termasuklah kitab "Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah" yang telah diharamkan di Malaysia karya Syeikh Abdul Kadir Al-Mandili seorang tokoh ulama yang mengajar di Mekah. Kitab-kitab yang dikarang ulama-ulama besar serta tokoh gerakan Islam yang lain seperti Maududi dan Sayydi Qutb turut menjadi panduan dalam menjelaskan batas-batas iaman dan kufur kepada masyarakat yang sememangnya dahaga kepada curahan ilmu seperti ini.

Pihak pemerintah yang berfahaman sekular berasa tergugat dengan keadaan terbaru pada waktu itu. Gerakan dakwah besar-besaran menjelaskan perihal keimanan dan kekufuran kepada masyarakat mula memperlihatkan wajah sebenar golongan pemerintah yang berselindung di sebalik nama Islam dengan mengambil agama secara separuh-separuh dan bukan secara syumul (menyeluruh).

Maka, melihat kepada perkembangan negatif (bagi pihak sekular) itu, pemerintah mula memainkan isu takfir kononnya gerakan Islam tersebut mengkafirkan sesama Islam dan tindakan itu jelas terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah.

Ustaz Abdul Latif (salah seorang yang ditangkap kerana isu ini) dalam satu kenyataan menegaskan beliau dan para daie yang lain pada waktu itu hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat tanpa menuding jari kepada sesiapa dengan mengatakan seseorang itu kafir. Mereka mengajar berpandukan kitab yang diiktiraf ulama Ahli Sunnah Wa Jamaah. Buktinya tidak ada seorang ulama kerajaanpun yang berani menyanggah hujah mereka dari dahulu hingga sekarang. Bahkan suatu debat mengenai isu ini yang hangat diperkatakan ketika itu juga tidak dapat dilaksanakan apabila golongan pemerintah takut untuk duduk semeja di medan debat.

Ketika mengulas isu ini, Prof Dr Yusof Al-Qardhawi, ketua persatuan ulama sedunia mengatakan bahawa isu takfir ini merupakan isu universal yang berlaku hampir di setiap negara umat Islam khususnya di negara yang memperlihatkan kebangkitan harakah perjuangan Islam. Dapatlah disimpulkan bahawa isu takfir ini adalah suatu isu yang sengaja dimainkan oleh golongan yahudi dan musuh-musuh Islam lain melalui lidah kepimpinan sekular yang beragama Islam.

Dr Yusof Al-Qardhawi turut menggariskan 3 punca utama yang membawa kepada menularnya isu takrif ini secara umum iaitu;

1. Wujud jurang kontradiksi yang luas di antara realiti kebejatan masyarakat dengan idealisme kehidupan Islamiah yang serba menyeluruh. Jurang yang wujud melahirkan rasa kurang senang sehingga membawa kepada sikap menolak atau memencilkan masyarakat yang di luar kelompok sendiri.

2. Penindasan yang keterlaluan dan zalim oleh pihak pemerintah terhadap aktivis Islam sehingga menyebabkan timbul reaksi melampau dari pihak yang dimangsakan akibat provokasi tersebut.

3. Kedangkalan ilmu para pendakwah sendiri tentang hukum hakam dan kaedah dakwah yang terbaik sehingga timbul keberanian yang melulu dalam menghukum dan melabelkan orang lain secara lantang.

Kesimpulannya dalam konteks Malaysia, kewujudan isu takrif pada asasnya merupakan usaha golongan sekular untuk memberikan gambaran yang buruk dan ekstrem terhadap gerakan Islam di negara ini. InsyaAllah, saya akan kembali dengan artikel yang lain untuk membedah semula sejarah dalam isu ini lebih-lebih lagi dari sudut kesan atau kejadian-kejadian penting yang berlaku ketika isu ini memuncak.




Wednesday, March 9, 2011

ADAKAH "KALAH" DALAM KAMUS PERJUANGAN ISLAM?

Selama menyusuri lautan tarbiyah perjuangan Islam, satu-satunya perkataan yang tidak pernah penulis dengari adalah "kita kalah". Sebaliknya kata-kata yang wujud dalam perjuangan Islam ialah "belum menang lagi". Walau apapun yang berlaku, para mujahid Allah diasuh supaya berpegang kepada janji kemenangan daripada Allah swt. Bermakna, tidak ada kalah dalam kamus pejuang-pejuang Islam yang istiqamah dengan perjuangan.

Firman Allah swt;

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (terdahulu) telah berperang (berjuang) dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk kepada musuh dan ingatlah, Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar."

Seorang ulama muda, Ustaz Nasarudin Hassan dalam amanatnya pernah berkata, "Justeru Islam menang dengan kebenaran yang diperjuangkan bukan dengan ramainya orang yang menyokongnya. Menang kalah bukan dinilai melalui kekalahan pungutan mata tetapi melihat sejauh mana para mujahid tetap setia dan istiqmah meneruskan cita-cita perjuangan."

Dalam proses pembentukkan fikrah perjuangan Islam, para amilin sentiasa mengingatkan kita (pejuang Islam) tentang halangan serta dugaan yang bakal dilalui oleh perjuangan Islam. Keperitan dicerca dan dihina sehingga menimbulkan kebencian kepada dunia. Jika sikap yang diambil adalah dengan terus menggengam erat pada tali Allah, bermakna kita telah menjuarai satu pertembungan hebat bersenjatakan ilmu dan tarbiyah mempertahankan kota akidah Islam.

Tidak kurang juga dugaan dalam bentuk godaan dengan dunia menawarkan harta, wanita dan takhta untuk menghiasi diri pejuang Islam dalam kefanaan dunia. Yang pasti, pejuang yang benar-benar ikhlas dan memahami matlamat perjuangan yang sebenar mampu mengharungi dugaan yang lebih hebat daripada dugaan cacian dan penghinaan ini.

Telah maklum sesungguhnya jalan perjuangan Islam penuh duri dan liku. Dan jaraknya bukan pula dekat untuk digapai oleh penggembleng kudrat yang menggerakkan perjuangan ini. Musim-musim yang tidak menentu membuatkan setiap jiwa-jiwa perlu disiapkan dengan persiapan yang ampuh. 

Sesungguhnya Allah telah berfirman;

"Jika sekiranya perjuangan ini mudah mencapai kemenangan dan dekay destinasinya nescaya ramailah orang yang akan mengikut kamu (wahai Muhammad) akan tetapi perjuangan ini jauh perjalanannya dan sukar dirasakan mereka (dalam mencapai kemenangan)."

Namun Rasulullah saw telah menjanjikan kebahagiaan buat mereka yang terus tetap hati mereka menjulang panji perjuangan Islam walau dicaci nista, dihina bahkan dimaki hamun. Sabda Baginda saw.

"Islam bermula dalam keadaan yang asing. Kelak ia akan kembali asing sebagaimana ia bermula maka berbahagialah (mereka yang tetap berpegang walau dipandang sebagai) orang-orang yang asing"

Maka, para mujahid Islam wajib berpegang kepada janji Kekasih Allah ini dengan keyakinan ini menjadi benteng mempertahankan diri dari terjerumus ke lembah dunia yang penuh hiasan bersifat ilusi. Mudah-mudahan kita semua terus diberi hidayah untuk berjuang atas nama Allah dalam mengajak umat manusia ke arah pengabdian diri semata-mata kepada Allah. 

Sesungguhnya kemenangan itu sentiasa di pihak Islam. Meski zahirnya berbeza, hakikatnya yang zahir itu bukanlah seperti yang dizahirkan. Dan kepada seluruh pejuang Islam, teruskan usahamu. Sesungguhnya kalungan sebagai pemenang oleh Allah Azza Wa Jalla menunggu kalian di akhirat sana. Teruskan Usaha. Teruskan Perjuangan. ALLAHUAKBAR!!!


Monday, March 7, 2011

PERLAKSANAAN HUDUD: PERSPEKTIF ISLAM DAN PERLEMBAGAAN

Beberapa hari kebelakangan ini, blogger-blogger sekular cenderung memainkan isu pelaksanaan hudud di negeri-negeri yang telah berjaya dimerdekakan harakah Islam. Golongan ini mencanangkan bahawa cita-cita untuk menegakkan hukum Islam hanyalah suatu retorik untuk mendapatkan sokongan. Yang pasti tindakan mereka ini mencerminkan kecetekan penguasaan ilmu agama terutama sekali fiqh aulawiyat serta kemampuan mengaitkan situasi semasa dengan peruntukkan perlembagaan negara.

Pertamanya, tindakan blogger-blogger blok mungkar yang ditaja pihak tertentu ini umpama "si pencuri menasihati orang lain supaya jangan mencuri". Analogi lain yang boleh diguna umpama "orang tidak solat suruh orang pergi solat". Sesuatu yang aneh yang sememangnya menjadi tabiat golongan ini yang sentiasa mencari jalan menghina dan menjatuhkan perjuangan Islam.

Hakikatnya setelah dinilai secara teliti mengikut garis agama dan keutamaannya ketika ini, terdapat pelbagai faktor besar yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam (hudud) termasuk di negeri-negeri yang dikuasai oleh gerakan Islam. InsyaAllah, saya akan menghuraikan salah satu faktor terbesar yang menghalang pelaksanaan hukum tersebut.

Sememangnya melihat kepada peruntukkan undang-undang yang ada setiap kerajaan negei mempunyai hak untuk melaksanakan hukum hudud berikutan kuasa agama yang terletak pada kerajaan negeri. Tetapi, masih ada satu halangan besar lain yang menjadikan pelaksanaan hudud di negeri-negeri bukan lagi satu keutamaan Islam dalam konteks semasa.

Kuncinya adalah FITNAH AGAMA. Halangan terbesar adalah beberapa peruntukkan dalam perlembagaan terutama sekali perkara 75 perlembagaan Malaysia iaitu;

Perkara 75. Ketidakselarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang Negeri.
Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.

Persoalannya di sini, apa kaitan peruntukkan perlembagaan di atas dengan fitnah terhadap agama Islam?

Untuk lebih jelas, saya hadirkan dalam tulisan ini satu contoh yang akan berlaku sekiranya undang-undang Hudud dilaksanakan. Misalnya, berlaku satu kes kecurian dan kes tersebut dibawa ke mahkamah syariah dan dihakimi dengan undang-undang Islam. Setelah cukup kesemua syarat dan perkara yang mensabitkan kesalahan maka si pesalah pun dihukum mengikut hukum hudud diatas kezaliman yang dilakukan.

Walaubagaimanapun, sesuatu perlu kita sedari bahawa kedudukan mahkamah syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sekaligus berada di bawah hierarki kehakiman yang lain sepeti mahkamah tinggi, mahkamah sivil dan mahkamah persekutuan. Jangan lupa, mahkamah bertunjangkan isme manusia ini juga mempunyai peruntukkan dalam kes-kes jenayah seperti kesalahan mencuri yang dijadikan contoh tadi.

Hal ini bermakna, pihak defendan boleh mengemukakan rayuan di mahkamah sivil atau membawa kes mereka ke mahkamah yang lebih tinggi. Secara tidak langsung, keputusan di mahkamah syariah boleh dibatalkan sekiranya mahkamah tinggi atau mahkamah persekutuan menjatuhkan hukuman berdasarkan kepada prinsip yang terkandung di dalam perkara 75 perlembagaan Malaysia.

BUKANKAH ITU AKAN MENJADI SATU FITNAH BESAR KEPADA ISLAM? Hukum Islam yang datang dari Allah bisa diketepikan oleh undang-undang manusia yang diciptakan Allah. Ini jelas satu penghinaan besar terhadap agama Islam. Amat tidak layak Allah yang Maha Besar tunduk pada undang-undang ciptaan manusia. Allah itu Maha Besar.

Mendalami kefahaman tentang keutamaan dalam Islam, dalam perkara ini jelas kita perlu melihat kepada maslahah serta kesan yang bakal ditinggalkan dengan pelaksanaan hudud terhadap Islam. Mudahnya, keutamaan ketika ini bukanlah pelaksanaan hudud tetapi adalah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan pusat supaya Islam dapat diletakkan sebagai 'tuan' menunjangi dasar negara.

Hakikat hari ini Islam hanya dipandang setaraf dengan Majlis Perbandaran (Majlis Agama Islam) atau setaraf Jabatan Kerja Raya (Jabatan Agama Islam) atau setaraf Institut Jantung Negara (Institut Kefahaman Islam) walhal Islam sepatutnya diletakkan di tempat paling atas sebagai dasar ke arah pembinaan negara.

Kesimpulannya, bukan tidak mahu dilaksanakan hudud di negeri-negeri tersebut. Hakikatnya harakah Islam yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan sentiasa meneliti setiap aspek dalam menentukan sikap dalam sesuatu perkara. Mudah-mudahan tulisan ini dapat menangkis segala tohmahan busuk hati yang dilemparkan terhadap perjuangan suci Islam. ALLAHUAKBAR!!!


- Tulisan ini adalah hasil kajian peribadi penulis. Copy paste untuk penyebaran amat dialu-alukan. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah kepada kita semua untuk terus teguh pada jalan agama-Nya.


Sunday, March 6, 2011

CABARAN PEJUANG-PEJUANG ISLAM: "KEKAL PUTIH DALAM LUMPUR HITAM"

Bismillahirahmanirrahim...

Detik berganti detik, hari berganti hari. Alhamdulillah, perjuangan Islam terus subur tumbuh disegenap penjuru dunia. Bersenjatakan ilmu dan tarbiyah dipimpin mursyid harakah Islam, seorang demi seorang pejuang dilahirkan seiring dengan syahidnya pejuang-pejuang Islam terdahulu kerana sesungguhnya perjuangan Islam tidak akan pernah pupus dengan penggerak yang ikhlas menyerahkan segalanya termasuk nyawa kepada Allah.

Rasulullah SAW melalui lisan Baginda yang bersandar kepada wahyu Allah telah menjanjikan kemenangan untuk Islam. Sehari umur dunia meningkat, maknanya sehari kemenangan Islam makin dekat, sehari kehancuran mungkar datang mendekat. Itu adalah keyakinan kita sebagai umat Islam yang berdepan dengan pelbagai wajah musuh yang wujud dalam perjuangan nyata ini.

SOALNYA...APA KHABAR IMAN KITA HARI? ADAKAH KITA TERGOLONG DALAM JEMAAH PENEGAK ISLAM?  DAN CUKUP SIAGAKAH KITA UNTUK 'BERPEDANG' ATAS PANJI ISLAM? 

Kita menyakini bahawa Islam akan menang juga pada akhirnya. Cuma, adakah kita berada di landasan yang betul untuk mendaftarkan nama kita sebagai kudrat yang membantu ke arah kemenangan ini? Hakikatnya, wujud atau tidak kita dalam perjuangan, Islam tetap akan dijulang. Maka amat rugilah mereka yang leka dalam menyumbang tenaga dan hanya menjadi penonton kepada kemenangan Islam.

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesungguhnya bermulanya datang Islam dalam keadaan asing (aneh) dan akan datang Islam akan kembali asing seperti permulaannya. Namun, berbahagialah orang-orang yang asing itu"

Sahabat bertanya,

"Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan asing itu?"

Rasulullah SAW berkata,

"Orang-orang yang melakukan kebaikkan di saat orang sibuk melakukan kerosakan"
(HR MUSLIM)

Menganalisi hakikat keadaan dunia hari ini, dapatlah disimpulkan bahawa antara perjuangan besar umat Islam hari ini adalah untuk terus setia dan istiqamah pada perjuangan agama Allah ini. Realiti di zaman Rasulullah, kebaikkan itu mengatasi kemungkaran hingga orang jadi malu-malu berlaku mungkar. Diri terasa bodoh dan asing kerana kemungkaran yang dilakukan. Akhirnya kemungkaran ditinggalkan kerana jernih pancaran Al-Maaruf.

Zaman berubah setelah hampir 1500 tahun berlalu. Realiti hari ini menyaksikan kemungkaran mengatasi kebaikkan hingga manusia jadi malu-malu untuk berbuat baik. Diri terasa amat asing dan dipandang bodoh oleh orang lain. Namun ketahuilah sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah bersaksi bahawa mereka inilah yang akan mendapat keuntungan di akhirat kelak.

Oleh itu, pejuang Islam perlu menyedari keutamaan mereka ketika ini. Mereka perlu sentiasa sedia dalam lautan leka. Perlu terus maaruf dalam godaan mungkar. Dalam erti kata lain, 'kekal putih dalam lumpur hitam'.
Maka, ketahuilah kunci Istiqamah pejuang-pejuang Islam adalah pengisian tarbiyah yang mantap dalam kekosongan ruang dada.

Kesimpulannya, setiap dari kita yang bergelar pejuang perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan senjata tarbiyah dan ilmu. Terus fokus kepada perjuangan dengan tidak membenarkan alir-alir nafsu melekakan kita dalam perjuangan. Sesungguhnya kemenangan Islam itu semakin hampir. Bergegaslah kalian semua menghadirkan kudrat untuk kemenangan itu. ALLAHUAKBAR!!