Followers

Saturday, April 30, 2011

SIRAH DAIE: HIKAYAT LALANG WIRA PERKASA DI WARUNG KECIL

Lalang Wira Perkasa
Alkisah tersebutlah kisah seorang jejaka, Si Lalang Wira Perkasa. Pagi itu bangunlah dia dari tidur seperti saban kala. Dilihat kepada lukisan dunia dari jendela kamar. Pagi sudah cerah, mentari sudah muncul, lalu bergegas dia bersiap hendak ke Pondok Mergong. Sudah berjanji akan dia pada sahabatnya hari selepas kelmarin untuk ikut serta dalam pengajian terbuka ilmu kosong satu pagi itu. Lantas siap akan dia lalu susul menyelit keris pengantin di pinggangnya.

Berkayuhan dia datang ke Pondok Mergong. Akan malangnya, arakian manusia-manusia lain dia juga tidak mengetahui apa yang akan Allah takdirkan untuknya hari itu. Dia bakalan ketemu seseorang yang amat tidak ingin ditemuinya. Mengapa? Wallahualam. Siapa? Itu boleh aku jawab. Akulah orang itu.

Tamat pengajian dia ke warung kecil, terletak strategik di gerbang belakang Pondok Mergong. Di situ segala bermula. Pada mula aku perasan dia di situ. Tampak jelas dia cuba berpaling untuk ke warung lain tatkala mata terlihat aku. Tapi, kuasa Allah barangkali membuatkan dia tetap ke warung itu. Wallahualam. Mungkin aku tersilap sangka tentang itu. Mungkin mata akannya tidak tampak susukku.

Aku bersama seorang sahabat lain. Ibn Mansor rakan sepengajian dari Negeri Al-Fherakh. Kami melihat dia yang berpakai segak dan berslit keris pengantin. Dia duduk selang beberapa maktabun dari kami. Aku memanggilnya untuk turut serta bersama kami. Lalang Wira Perkasa terkejut. Dia pandang ke arahku. Mungkin pada waktu itu hatinya bicara "tak takutkah anak kecil ini dengan aku? bahkan aku ini diselit keris".

Masa kan perlu takut sama keris pengantin. Hanya gah dipandang tapi berhakikatkan ketakutan dan kebaruaan. Disuruh duduk pengatin duduk, disuruh diri pengantin berdiri, disuruh senyum ikut senyum, disuruh suap turut suap. Amat lemah walau keris terselit gah. Maka, pandangan Lalang Wira Perkasa itu aku balas dengan senyuman dan sedikit ayat Allah. Dia datang kepada kami.

Tidak banyak cerita yang kami bualkan. Aku sekadar bertanya khabaran dan perkembangannya. Bertanya akan pelajaran. Dia seperti malu-malu. Ngak aku tahu ngapaan. Mungkin kerana dia Lalang atau apaan. Malu ngapaan ni sih?

Linkungan lima belas waktu (minit) kami berngomongan. Aku lihat Lalang Wira Perkasa tidak selesa di situ. Barangkali tidak ada angin untuk membuat dia bisa lentok sana sini. Ada baiknya aku bacakan kafaratul majlis supaya dia tidak terus berkondisi itu. Maka, kupelawa untuk membayar semua yang di atas meja. Rupaannya semua sudah dibayar dulu. Cuma minum makanku saja yang belum dibayar. Makanya bayaran untuk apa yang kunikmati saja.

Ku pinta diri dari Lalang Wira Perkasa yang masih mahu duduk di kursiyun itu. Ku usap belakangnya sambil memanah senyuman manis. InsyaAllah senyuman itu ikhlas. Dia mengangguk. Mungkin fitrah manusia tidak suka akan kejahatan. Lalu diapun ngomong kecil pada aku, "Mohon faham akan apa hamba buat. Hamba cari makan". Aku tersenyum sahaja lalu meninggal akan warung itu bersama Lalang Wira Perkasa di situ.

Nauzubillah min zalik. Aku sebenarnya terpaku tadi. Sepatutnya aku menegur dia disitu. Akan tetapi aku masih lemah tatkala itu. Namun aku juga pusing. Kata benar apa ngomongnya tadi, ada juga makhluk yang mempersendakan Islam dan menolak Islam hanya kerana habuan dunia yang bakalan fana. Bakalan hilang dan pergi meninggalkan manusia. Aku bakalan tidak memohon laknat dari Allah seperti jahil orang sekarang berbuat. Yang aku pinta, "Ya Allah, jauhi aku dari penyakit cintakan dunia ini. Juga jangan gelincirkan aku, ibu bapaku, keluargaku, sahabatku, jamaahku dan seluruh muslim dan muslimat di jalan dunia yang penuh perhiasan. Jauhi akan juga dari aniaya orang-orang munafik." 

- Dunia itu musuh bagi Allah,
    Dunia itu juga musuh bagi pejuang Allah,
      Dan Dunia itu juga adalah musuh bagi musuh-musuh Allah.


Thursday, April 28, 2011

PESANAN UNTUKKU SEBELUM KE 'PONDOK MERGONG'

Sekian lamanya memerah keringat di kampung halaman semata-mata ingin melihat Islam ditegakkan. Segala macam adegan aku lalui. Ada tika aku bersyukur berterima kasih pada Rabb. Ada tika aku tertunduk mengenangkan betapa lemahnya diriku. Segala macam kondisi aku rasai. Pada aku itu semua adalah satu tarbiyah dan ujian dari Allah dalam mematangkan aku dan perjuangan ini.

Aku masih ingat situasi aku bagai selapis dengan mati. Mungkin itu tarbiyah terbesar untuk yang pernah Allah kurniakan kepadaku. Seusia selesai menjayakan program memenangkan Islam aku 'tumbang' di rumah. Kepala terasa berat dan panas. Aku sangkakan itu cuma demam biasa. Keesokkan pagi yang terasa surut sedikit. Tapi, pabila menjelangnya tengah hari, petang dan malam, Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. La hau la wala qu wa ta illa billah.

Ketika diusung dengan katil hospital, aku tak merasa bibirku. Terdahulu, aku sudah tidak merasa anggotaku. Segala-galanya kebas dari kaki sehingga ke kepala. Nafasku, Allah!!! Waktu itu aku berkata kecil, "Ya Allah adakah Engkau mahu menarik nikmat nafas dariku?". Aku tercungap. Sukar untuk bernafas.

Beberapa minggu sebelum itu aku menerima sepucuk surat. TAHNIAH!! Aku diterima menuntut di Pondok Mergong. Berbelah bahagi juga hatiku pada mulanya. Tapi pada saat terlantar itu aku fikir, "Allah, tak sempat aku nak ke sana. Engkau panggil aku". Aku teringat beberapa perkara. Antaranya kata-kata yang seringku ucapkan kepada seorang sahabat. "Sebelum aku mati dua perkara aku minta sangat pada Allah. Pertama, aku nak berjabat salam dan mengucup tangan Tuan Guru Nik Aziz. Dan kedua aku ingin sekali melihat PAS memerintah Malaysia dengan sistem Islam".

Dalam keadaan itu aku hanya berserah. Redha! Malam itu sahaja dalam masa lima jam sebanyak 13 botol air dimasukkan ke dalam dadaku. Doktor kata aku kurang air, kurang gula. Yang aku tahu aku memang kurang berat tapi tak sangka air dan gulapun kurang. Setelah pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan kadar tenaga yang aku gunakan dalam aktiviti seharian tidak secocok dengan tahap air, gula dan tenaga yang ada. Aku makan, aku minum tapi tenaga yang digunakan melebihi dari tenaga yang ada dalam badan.

Detik lima jam itu satu tempoh yang panjang bagiku. Alhamdulillah keadaan aku selepas itu semakin stabil cuma sosok tubuhku dari kurus bertambah-tambah kurus. Mendadak sungguh dalam masa 5 jam sahaja. Kadang-kadang terlintas di fikiranku, "Mungkinkah itu pesan untukku sebelum ke Pondok Mergong?". Aku berada di tengah-tengah garis hidup dan mati. Aku tahu setiap perkara ada hikmahnya. Dan aku yakin ada pesan untukku yang sungguh bermakna dalam 5 jam itu. Pesanan yang cukup bermakna dan tidak dapat diungkapkan dengan bait kata di sini.

Keesokkannya aku kembali normal. Walaupun ada kerisauan jantungku akan berair kerana kuantiti air yang dimasukkan malam itu cukup banyak dalam tempoh yang singkat. Alhamdulillah semuanya baik dan aku dibenarkan pulang petangnya. Beberapa hari lagi aku akan ke Pondok Mergong. Mungkin aliranku bukan aliran agama tetapi telah berbisik hatiku akan keyakinan ilmu Islam yang banyak menanti untuk aku kutip di sana. Justeru perihal itu benar sekali. Aku terasa seperti orang yang sangat bodoh duduk di Pondok Mergong ini. Rupanya banyak lagi ilmu baru yang belum pernah aku pelajari.  

Beberapa jam sebelum ke Pondok Mergong, Naqibku datang menemuiku. Saat yang tak dapat digambarkan.  Hiba, suka atau apaan ni? Dia turut meninggalkan pesan untukku. "Kamu sebagai umat Islam lebih-lebih lagi orang yang ingin menyebarkan Islam perlu ingat 3 perkara. Pertama, Jangan pernah tinggal kewajiban kamu sebagai muslim. Kedua, Wajibkan diri kamu dalam perkara-perkara sunat. Dan ketiga takutkanlah dosa kecil lebih dari kamu takutkan dosa besar".

Dua perkara yang awal itu sering aku dengar. Tapi yang ketiga itu agak membingungkan aku. Namun aku dapat jawapannya di Pondok Mergong. Bukanlah maknanya aku tidak perlu takut kepada dosa besar. Cuma ketakutan aku pada dosa kecil perlu lebih dari dosa besar.

Rasionalnya, InsyaAllah seorang mukmin itu amat sukar sekali melakukan dosa besar. Mustahil untuk minum arak, atau berzina, Nauzubillah min zalik. Tetapi dosa kecil boleh dilakukan dalam perjalanan hendak ke surau. Atau dalam kuliah atau di mana sahaja.

Umpama pemburu masuk ke hutan, yang ditakuti bukan beruang tetapi ular. Asbabnya, kebarangkalian untuk bertemu beruang itu amat kecil tetapi ular ada di mana-mana. Atas, bawah kiri dan kanan, depan belakang. Dan dosa-dosa kecil yang berbintik hitam di hati ini akan menjadi perisa kepada kelazatan dunia dan akan menyebabkan aku lali dari merasai kelazatan ibadah.

Kini aku berada di Pondok Mergong. InsyaAllah, aku mohon kalian semua doakan yang terbaik untukku.

- Aku dapat sesuatu dari pengalamanku ini tapi aku masih mencari cara untuk mengungkapkannya dengan kata-kata. 


Sunday, April 24, 2011

GERAKAN ISLAM PERLU ADA PRODUKSI SENDIRI?

Sedar tak sedar, hari demi hari televisyen kita semakin melampau. Syarikat produksi filem pula semakin hilang pedoman semata-mata mengejar keuntungan duniawi dalam menerbitkan karya-karya untuk tatapan masyarakat umum. Batas syarak diketepikan dalam persembahan mereka dan kemaksiatan dihalalkan malah cuba dilindung di sebalik alasan "Lihatlah mesej yang cuba disampaikan."

Setiap kali ada filem-filem yang ekstrem dan keterlaluan dikeluarkan alasan inilah yang akan diberi. Seakan mengajak penonton menghalalkan perkara yang haram dengan mengajak mereka melihat moral yang wujud pada filem dan bersikap pejam mata terhadap kemaksiatan yang berlaku. Nauzubillah, bukankah yang mengajak manusia menghalalkan perkara yang haram itu kerja iblis dan yahudi...

Kadang-kadang penat juga dengan rengekan terhadap filem-filem yang melampau ini. Bukan penat mendengar rengekan tersebut tetapi penat menunggu bila agaknya rengekan itu akan didengari? Kapan ya? Umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Semuanya tak kunjung tiba.

Habis tu nak buat macam mana? Berhenti merengek? Musuh tetap tak berhenti dengan kerja-kerja "mentarbiyah" minda manusia ke arah kekufuran. Ahh!!!! Susah sangat buat sendirilah. Memang dah tak boleh harapkan orang lain dah sekarang ni. Islam kena laksanakan sendiri. Ops!! Mungkinkah itu jawabnya??

Realiti dunia sekarang ini tidak semua "kotoran" boleh dicuci. Dalam erti kata lain, tidak semua keburukan boleh dipaksa berhenti. Lebih-lebih lagi dalam sebuah negara berfikrah sekular. Penulis masih ingat ketika belajar tentang kepekatan asid dan alkali di sekolah dahulu. Untuk meneutralkan kandungan asid dalam air, catalyst beralkali akan digunakan sehingga nilai pH air menjadi 7 iaitu nilai neutral.

Umpama realiti di zaman Rasulullah saw, kemungkaran berjaya dineutralkan dengan tumbuhnya 'pohon-pohon' kemaarufan sehingga menenggelamkan sang mungkar dari pandangan masyarakat. Kemungkaran menjadi malu-malu sebaliknya Islam terus dijulang dengan penuh bangga.

Kontra pula yang terjadi hari ini apabila kemungkaran menenggelamkan kemaarufan sehingga tidak punya rasa malu lagi dalam melakukan perkara mungkar. Sebaliknya kemaarufan dianggap asing dan pelik. Semuanya kerana kemungkaran itu kurang dipromosikan secara berseni kepada masyarakat.

Mengambil konsep ilmu untuk meneutralkan air berasid atau beralkali itu, penulis melihat sudah tiba masanya Islam mempunyai syarikat produksi sendiri untuk meneutralkan keburukan yang dibawa melalui persembahan karya dari pengkarya-pengkarya yang jelas menolak kesyumulan Islam dalam hasil seni mereka. Sebagaimana giatnya produksi menaja kemungkaran seperti itu juga Islam perlu aktif dalam menerbitkan filem-filem berlandaskan syarak dan mengenengahkan Islam dan tokoh-tokoh Islam sebagai role model generasi hari ini.

Mendengar cerita-cerita daripada orang terdahulu, teringin rasanya untuk berada dalam suatu zaman di mana TV3 pernah menayangkan kisah seorang wali hebat iaitu syeikh Abdul Qadir Jalani. Hakikatnya sekarang, kita dah tak boleh harapkan orang lain lagi dalam mempromosikan Islam ini kepada masyarakat. Bak kata Tuan Guru Nik Aziz, tugas mempromosi Islam dan gerakan Islam itu sendiri adalah kewajiban pejuang Islam dan bukan sesuatu yang boleh diharapkan kepada orang lain.

Dari sudut sambutan, yakinlah pada Allah. Allah pasti akan membantu orang-orang yang membantu agama-Nya. Tambahan lagi, masyarakat pada hari ini amat dahagakan ilmu lebih-lebih lagi ilmu kerohanian yang mempu memberi ketenangan dalam diri.

Kesimpulannya, penulis mengusulkan supaya satu usaha ke arah kewujudan syarikat produksi yang mampu menghasilkan karya-karya agung berlandaskan Islam serta persembahan secara syarak dapat diwujudkan sebagai "alkali" untuk meneutralkan taburan "asid" yang melanda dunia seni hari ini. Sesungguhnya, seni itu adalah sebahagian ilmu Islam yang perlu dipertahankan oleh umat Islam. Dan untuk ke arah itu, salah satu usahanya, gerakan Islam perlu kepada produksi sendiri. Wallahualam...


Wednesday, April 20, 2011

DOSA PAHALA JUGA WUJUD DALAM PILIHANRAYA

Takdir Allah perjuangan Islam di Malaysia hari ini terpaksa berpencak di gelanggang demokrasi dalam menjulang Islam sebagai tuan dalam sistem bernegara. Barangkali ada yang mengatakan demokrasi bukan sistem Islam sebaliknya tajaan barat yang semestinya mempunyai agenda tersendiri. Hakikatnya ia benar. Demokrasi sememangnya bukan sistem induk Islam tetapi demokrasi juga wujud dalam Islam sebagai pemain kecil dalam sistem syura Islam. 

Dalam konteks semasa, demokrasi di negara ini memberi ruang kepada setiap individu dalam masyarakat untuk memilih pemimpin yang akan menggalas amanah sebagai ketua negara melalui proses Pilihan Raya yang diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam lima tahun. Akan tetapi AWAS!! Tidak ada satu perkara di dunia ini yang terlepas dari ilmu Islam serta konsep dosa pahala termasuklah dalam membuat pemilihan tatkala Pilihan Raya.


Sabda Rasulullah saw;


“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. 
(Riwayat Malik dan al-Tirmizi)."

Tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin 'Uyainah ketika membicarakan hadis ini berkata;


“Hadis ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan kezaliman”
(Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar al-Fikr).


Yang disimpulkan daripada hadis ini ialah setiap ucapan yang membawa kepada kesan baik akan diberi pahala oleh Allah sedang ucapan yang membawa kesan buruk akan mengundang bala Allah serta dosa kepada si pelaku.


Dalam konteks semasa, mengundi dalam pilihanraya juga ditafsir sebagai suatu kalimat yang terikat dengan konsep dosa pahala dalam Islam. Setiap undi yang diberikan mempunyai kesan sama ada baik atau buruk.


Semestinya undi yang membawa kepada tertegaknya Islam, hukum-hakamnya serta segala isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah akan membawa kepada kebaikkan. Sebaliknya undi yang membawa kepada tertegaknya perundangan isme manusia dan membelakangi hak Allah sebagai pencipta akan membawa kepada keburukkan.


Sesuai dengan Islam itu sendiri yang bersifat syumuliyyah dan alamiyyah, setiap perkara pasti tidak terlepas dari dosa pahala, syurga neraka termasuk dalam perihal mengundi untuk menentukan pemimpin negara.


Islam telah menetapkan 2 ciri-ciri penting dan utama dalam memilih penguasa negara. Pemimpin yang dipilih hendaklah orang yang Al-Qawiy (kuat dan mampu) serta Al-Amin (amanah dan bertakwa). Hal ini bersandarkan dalil firman Allah swt;


“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” 
(Surah al-Qasas:26).


Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah;

“Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan…al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah-pent.)”.
 (m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam)

Bermakna apabila seseorang individu itu hendak mengundi, hendaklah diteliti calon-calon yang ada dari sudut Al-Qawiy serta Al-Amin. Jika tidak, si pengundi tersebut kemungkinan akan berlaku zalim apabila memberi undi kepada mereka yang bukan ahlinya. Sesungguhnya perihal zalim di sudut Islam adalah apabila kamu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Allah mengingatkan lagi dalam firmannya;

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”
 (Surah Hud: 113)

Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda;

“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.
 (Riwayat Muslim).

Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.



Sunday, April 17, 2011

GERAKAN ISLAM PERLU BERSTRATEGI

"Dan siapkanlah segala kemampuan dari pasukan berkuda yang siaga ditambat dengannya (supaya) kamu mampu menggertak musuh-musuh Allah dan musuh kamu serta kelompok lain (munafik) yang tidak kamu ketahui, tetapi Allah mengetahui...."
(Surah Al-Anfal ayat ke-60)

Demikian firman Allah yang Maha Benar lagi penuh dengan hikmah untuk mereka yang berfikir. Sesungguhnya kalam-kalam Allah sentiasa menitip aturan yang penting untuk diikuti setiap hamba-Nya untuk kelangsungan hidup manusia yang sejahtera. Bukankah Allah itu pencipta dan manusia itu 'barang ciptaan'-Nya. Justeru hanya Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia.

Dalam bait-bait kalimah yang tersusun indah di dalam Al-Quran, Allah swt turut menyertakan disiplin tingkah yang perlu dipatuhi oleh pejuang Islam. Antaranya adalah ayat Surah Al-Anfal di atas.

Pergerakan Islam perlu berstrategi. Hal ini merupakan salah satu disiplin yang wajib dipatuhi jamaah Islam dalam mengharungi perjalanan perjuangan yang penuh dugaan. Malangnya, jemaah Islam hari ini amat lemah dalam mengatur persediaan dan merencana strategi. Maka, harakah Islam terpaksa menerima hakikat perjuangan "sesungguhnya kebatilan berstrategi akan menewaskan kebenaran tanpa berstrategi".

Allah swt mengeluarkan bijih hikmah dari kekalahan tentera Islam di medan jihad Uhud. Tidak mustahil, Rabbul Azza Wa Jalla sedang mentarbiyah tentera-tentera Islam tentang kepentingan berstrategi. Tentera-tentera Islam yang leka dengan arahan strategi oleh Rasulullah telah ditewaskan oleh tentera musuh yang ketika itu hampir kalah. Tentera musuh berundur seketika dan Khalid Al Walid yang memimpin tentera musuh ketika itu menyusun kembali strategi lalu meyerang tentera Islam. Akhirnya Islam tewas dan Rasulullah saw tercedera.

Pergerakan islam hari ini perlu benar-benar menghadam mesej sebenar ketentuan Allah melalui peristiwa Uhud ini. Jamaah Islam perlu berstrategi berdepan musuh Allah.

Realiti hari ini, harakah Islam di Malaysia masih sambil lewa dalam mengambil iktibar dari kelemahan yang lalu. Contoh terbaru adalah isu borang 14 dalam PRU DUN Sarawak yang menjadi antara faktor kekalahan PR. Isu ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya hampir setiap kali pilihan raya akan timbul perkara seumpama ini. Bagi mereka yang dekat dengan proses pengundian tersebut akan percaya kerana mereka sendiri pernah melaluinya. Namun majoriti rakyat pasti akan melihat ini sebagai suatu usaha memburukkan imej pihak tertentu. Akhirnya isu ini menjadi senjata perang saraf pihak lawan.

Isu borang 14 ini pernah berlaku di Larut pada PRU ke-12 yang lalu. Juga dalam beberapa Pilihan Raya lain namun gerakan Islam seakan gagal mencari penyelesaian untuk masalah ini. Kadang-kala, isu seumpama ini timbul disebabkan ketidakcekapan pejuang Islam itu sendiri. Akibat daripada persediaan yang longgar, banyak perkara yang dianggap remeh tetapi penting diberi perhatian yang sambil lewa sahaja. Natijahnya, fitnah untuk perjuangan Islam.

Isu borang 14 itu adalah salah satu episod kelonggaran persiapan yag berlaku dalam merencana strategi bagi harakah Islam. Banyak lagi perkara-perkara lain yang membuktikan perancangan strategi pergerakan Islam yang masih lemah khususnya di peringkat pelaksanaan. Akan tetapi, penulis percaya usaha ke arah pembaikkan sedang berjalan. Semua sedia maklum "kegemilangan kota Rom tidak dibina dalam satu hari" bahkan "Islam itu juga diturunkan secara berperingkat" kerana ia sememangnya suatu proses panjang yang perlu dilalui.

Kesimpulannya, penulisan ini ingin mengajak semua pejuang Islam untuk bermuhasabah dalam segenap aspek perjuangan, mengasah setiap potensi dari disiplin ilmu berlainan yang wujud dalam diri pejuang untuk diadun bersama membentuk strategi perjuangan yang mampu menumbangkan musuh Islam dan musuh pejuang-pejuang Islam. Mudah-mudahan bermanfaat.


"Kebenaran berstrategi akan menewaskan kebatilan walau bagaimana kuat sekalipun kebatilan itu. Sesungguhnya Allah bersama perjuangan yang penuh berstrategi dan Allah itu Maha Kuat."


Saturday, April 16, 2011

KITA RAMAI "TENTERA" TAPI KURANG YANG BAWA "SENJATA"

"Hai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan tetaplah siaga (dengan senjata dan kuda-kuda yang ditambat di perbatasan negeri kamu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung"
(Surah Ali-Imran ayat 200)

Beberapa minggu kebelakangan ini pergerakan Islam di peringkat Kawasan giat mengadakan Mesyuarat Agong masing-masing sebagai memenuhi kewajiban yang terkandung di dalam Perlembagaan parti. Lebih sitnifikannya lagi tahun ini merupakan tahun pemilihan di setiap peringkat parti. Alhamdulillah kawasan penulis telah bermesyuarat pada 10 April yang lalu. Tahniah kepada Ustaz Fatah yang terus menerajui bahtera pergerakan pemuda di Teluk Intan. InsyaAllah, selepas ini giliran Negeri dan Pusat pula bersiap-siap untuk bermuktamar.

Berbicara mengenai mesyuarat agong atau muktamar yang menjadi acara tahunan bermakna kita berbicara tentang suatu tempat untuk para pejuang Islam berkumpul, bermuhasabah diri tentang apa usaha yang telah dilakukan dalam masa setahun yang lepas dan seterusnya merangka perancangan untuk jangka masa setahun yang akan datang.

Kepada sahabat-sahabat yang mempunyai banyak pengalaman bermuktamar pasti akan dapat melihat hakikat mukatamar walau di peringkat mana sekalipun tidak pernah terlepas daripada persoalan tarbiyah. Seumpama telah menjadi suatu kewajiban untuk perwakilan membangkitkan persoalan tarbiyah saban tahun. Penulis melihat perkara tersebut dari sudut positif. Bermakna, tarbiyah masih dijaga rapi sebagai senjata kita menghadapi musuh perjuangan. 

Mesyuarat Agong juga tempat untuk kita bertemu sahabat seperjuangan yang mungkin telah lama tidak bersua. Al-Maklum, penulis berada di perantauan meninggalkan sahabat berpencak di gelanggang Teluk Intan. InsyaAllah penulis bantu semampunya dari jauh.

Dalam pertemuan itu bermacam cerita dan ragam manusia. Kami bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dan perbincangan kami lebih menjurus kepada harakah Islam. Satu perkara yang menarik apabila seorang sahabat ini berkata "Kita ramai tentera tapi kurang yang bawa senjata". Satu metafora yang sungguh mendalam maknanya untuk difahami.

Apa yang diperkatakan sahabat penulis itu punya kaitan yang jelas dengan apa yang sering kali dibawa perwakilan dalam sidang muktamar yang diadakan setiap tahun. Jelas kita punya tentera yang ramai tapi kurang yang membawa senjata. Dalam erti kata yang lain, hari demi hari kita semakin hebat dengan kuantiti namun dari sudut kualiti masih banyak yang perlu diusahakan oleh lujnah tarbiyah dan pimpinan gerakan.

Dalam artikel terdahulu penulis ada berbicara mengenai piawaian pemuda Ansorullah yang menjadi dambaan harakah Islam untuk meneruskan kesinambungan perjuangan ini. Usaha ke arah itu telah wujud dan dilaksanakan namun masih wujud kelemahan ketara terutama sekali dari sudut pelaksanaannya yang tidak menyeluruh dan sistematik serta tidak mencapai target dalam ruang yang lebih luas. Semua perlu akur kepada prinsip "kebatilan berstrategi akan mengalahkan kebenaran tanpa strategi". Itu adalah sebuah hakikat.

Tidak hairanlah Islam mengajar kita supaya mengiringi usaha di sebalik munajat kita kepada Allah. Jika strategi tidak penting maka munajat dan tawakal kepada Allah sahaja sudah cukup tanpa perlu disertakan usaha. Akan tetapi Islam menyuruh manusia berusaha terlebih dahulu dan kemudiannya barulah berdoa.

Berbalik kepada persoalan asas, sememangnya diakui perjuangan Islam menerima penambahan para pejuang seiring meningkatnya usia perjuangan ini. Malangnya di situ peningkatan dari sudut kualiti pejuang tidaklah serancak penigkatan kuantiti pejuang. Masih ramai yang goyah apabila diuji Allah dijalan perjuangan bahkan ada yang berputus asa dan berhenti dari menyerahkan kudrat untuk gerakan walaupun masih menyokong gerakan.

Situasi muktahir ini menambahkan lagi tekanan. Pelbagai isu yang memalit perjuangan benar-benar menguji akidah seorang pejuang. Kadang-kala terdengar juga rungutan, "bila kita nak menang? Dah bertahun dah ni." dan bermacam lagi ragam yang lain.

Menjawab perkara ini, Ustaz Rizal (Dewan Ulama PAS Teluk Intan) pernah berkata sesungguhnya perjuangan seorang habibullah (kekasih Allah) adalah selama 23 tahun. Adakah layak untuk kita yang sekadar maqamnya hamba Allah untuk mencapai kemenangan dalam tempoh yang singkat? Layakkah kita merungut walaupun kita sudah bersusah selama 50 tahun untuk Islam sedangkan hakikat susah kita hanyalah 5% lamanya mengikut masa sehari di akhirat. Dalam erti kata lain kita baru berjuang lebih kurang satu jam masa di akhirat (50 tahun di dunia) sedang Allah menjanjikan balasan syurga selama-lamanya untuk mereka yang bekerja untuk agama Allah.

Di sinilah tarbiyah diperlukan. Bukan sekadar senjata menyerang musuh yang tampak bahkan senjata melawan musuh bersifat ilusi (yakni bisikan jahat iblis dan syaitan) yang sentiasa mencoba untuk meragukan manusia dengan kebenaran perjuangan Islam. Dan pimpinan harakah wajib membantu pejuang-pejuang yang ada menyediakan senjata-senjata mereka melalui program pengkaderan dan pentarbiyahan yang berstrategi sehingga ke akar umbi untuk membina sebuah jamaah yang hebat dari segi kuantitinya dan fantastika dari segi kualitinya. Sesungguhnya tarbiyah menyelamatkan pejuang.

Dengan ini barulah kita punya tentera-tentera yang siaga dengan senjata di tangan. InsyaAllah tentera-tentera inilah yang akan memacakkan panji Islam di kemuncak dunia tanda Islam kembali menguasai dengan limpahan rahmat. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kumpulan jamaah ini. IsyaAllah...Allahuakbar!!!


Friday, April 8, 2011

AWAS KELIBAT ANASIR MUNAFIQIN!!

Firman Allah swt;

"Sesungguhnya golongan munafiqin , mereka mahu menipu Allah swt sedang Allah yang memperdayakan mereka dan apabila mereka mendirikan solat , mereka dirikan dalam keadaan malas , mereka menunjuk - nunjuk dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit ."

Golongan munafiqin adalah musuh kepada agama Allah serta musuh kepada orang-orang Islam yang taat dan beriman kepada Allah. Dalam konteks gerakan Islam, golongan munafiqin merupakan musuh dalam selimut yang perlu diawasi kelibat mereka oleh pergerakan Islam dalam jemaah Islam.

Munafiqin menjadi musuh kerana sifat mereka yang menjadi gunting dalam lipatan, atau api dalam sekam, atau duri dalam daging, atau gergaji dua mata atau lidah bercabang dua yang lahir daripada tompokan hitam di dalam hati kerana kecintaan kepada nafsu dan dunia.

Rasulullah saw pernah memberikan tazkirah kepada umat Islam tentang kelibat golongan munafiqin yang sifatnya seperti lalang (angin tiup ke kanan dia ke kanan, angin tiup ke kiri dia ke kiri) ini sebagai ancaman kepada gerakan Islam di sepanjang zaman. Sabda Baginda saw;

"Sesungguhnya suatu yang paling ditakuti terhadap apa yang aku takut menimpa ummatku ialah semua munafiqin yang petah lidahnya ."

Senjata golongan munafiqin adalah kepetahan dalam berbicara. Mereka bijak memanipulasi sesuatu keadaan untuk mengiyakan apa jua tindakan mereka. Kadang-kala mereka tampil umpama seorang pejuang tulen dan sejati namun hakikat kemunafikkan mereka masih dapat dikesan dengan hujah-hujah yang lebih cenderung kepada nafsu duniawi semata-mata.

Inilah antara asbab mengapa ilmu termasuk di dalam 3 perkara penting yang perlu ada dalam diri seorang pejuang. Hujah golongan munafiqin boleh jadi hampir sama dengan hujah golongan mujahidin tetapi perbezaan akan jelas tampak dari sudut hujah tersebut digunakan. Seorang pejuang berhujah dengan qasad hanya kerana Allah menikut jalur-jalur syarak sedang munafiqin berhujah berlandaskan kesedapan nafsu mereka sahaja.

Diakui sememangnya sukar untuk mengesan kehadiran golongan ini terutama sekali apabila mereka sudah berada sebaris dalam saf gerakan Islam. Hakikat sebenar hanya Allah yang mengenali mereka  di tengah-tengah kelompok pejuang Islam yang berjuang kerana Allah. 

Secara zahir, bahasa harakinya sama seperti kita. Kita bertakbir, mereka bertakbir. Pakaiannya juga sama dan kadang-kala lebih alim dari kita. Bahkan mereka juga mampu membaca kitab perjuangan seperti kita. Justeru hanya Allah yang mengetahui siapakah pejuang Ansorullah dan siapa pula petualang munafiqin.

Walau bagaimanapun, pejuang Islam tetap perlu waspada dengan kehadiran mereka. Secara asasnya Al-Quran dan As-Sunnah telah menggariskan kriteria-kriteria yang terdapat pada golongan munafiqin al hipokrit ini.

a ] Berpaling dari melaksanakan hukum Allah [ an Nisa' : 60 - 61 ]
b ] Jahat adabnya terhadap Allah dan Rasul saw [ al Munafiqun : 5 / at Taubah : 61 ]
c ] Wala' [ kesetiaan ] mereka kepada musuh Allah swt [ al Hasyar : 11 ] d ] Negatif terhadap jihad [ Aali Imran : 167 ]
e ] Melakukan Mungkar dan menghalang perkara makruf [ at Taubah 67 ]
f ] Matlamat mereka ialah kepentingan mereka bukan redha Allah swt. [ al Hajj 11 ]
g ] Buruk akhlaknya terhadap anggota Gerakan Islam . [ al Ahzab 57 - 58 
]

Perlu difahami golongan munafiqin ini adalah kumpulan yang terdiri daripada manusia Islam yang mengaku Islam tetapi mereka tidak sedar sesungguhnya mereka telah terkeluar dari jalan Islam. Al-Quran turut menggariskan sifat-sifat orang munafiqin seperti berikut;

a ] Mereka melafazkan 2 kalimah syahadah [ al Munafiqun 1 ]
b ] Isytihar keiltizaman mereka terhadap Quran dan sunnah [ an Nisa' 81 ]
c ] Mereka juga mengerjakan solat [ an Nisa' 142 ]
d ] Mereka membaca alQuran [ al Bukhari bab Fadhail al Quran ]
e ] Bersedekah dan memberi derma [ at Taubah 54 ]
f ] Turut menghadhiri majlis Ilmu [ Muhammad 16 ]
g ] Membina masjid [ at Taubah 107 
]

Namun, amal baik mereka dilakukan dalam keadaan roh kebajikan yang telah mati. Lebih kepada kepuasan nafsu dan kepentingan duniawi.

Bahana yang dibawa golongan munafiqin ini lebih besar dari musuh-musuh Islam yang lain. Tidak ada peliknya jika golongan kafir menolak dan menghina Islam tetapi apabila golongan munafik menolak dan menghina Islam maka akan menimbulkan kekeliruan dan fitnah besar kepada Islam lebih-lebih lagi jika mereka itu golongan berpangkat.

Maka, tidak peliklah Allah akan mengazabkan orang munafiqin mendahului orang-orang kafir. Yang akan mengetuainya adalah orang berilmu yang menyembunyikan hakikat ilmu dalam kalangan munafiqin.

Menyedari keadaan ini, kita tidak boleh memandang ringan kewujudan jalur-jalur munafik dalam perjuangan. Mereka berkeupayaan memberi ancaman besar serta memulakan satu episod fitnah terhadap gerakan Islam lantaran kemampuan mereka menyerang secara halus dan menyuntik provokasi dari dalam jemaah. Langkah waspada perlu diambil secara berpasukan. Menjadi kewajiban pejuang Islam untuk menjaga adab berjemaah, senantiasa bermunajat dan melazimi doa rabitah. InsyaAllah, Allah akan menyelamatkan kita dari perbuatan khianat munafiqin.

Proses pembinaan aqidah, fikrah dan syakhsiah disamping mengawal jamaah dari anasir munafiqin ini juga perlu diteruskan melalui pemerkasaan amal tarbawi. Matlamat perjuangan Islam adalah Allah yang didorong oleh kecintaan yang jitu kepada-Nya sedang matlamat munafiqin adalah mengganggu fokus perjuangan Islam yang didorong oleh nafsu serta habuan dunia yang terbit dari kekotoran hati. Ingatlah, akhirnya yang bermatlamatkan Allah jua akan menang.



Wednesday, April 6, 2011

KE ARAH PEMUDA ANSORULLAH

Setiap kali mentelaah sejarah-sejarah silam perjuangan, pasti tidak dapat lari dengan fakta-fakta kukuh yang menunjukkan secara jelas keterlibatan pemuda dalam mencorak seni atur perjuangan termasuklah dalam konteks perjuangan Islam. Pemuda merupakan aset penting kepada perjuangan bahkan golongan pemuda jualah tempat Rasulullah saw bergantung harap untuk membantu perjuangan Islam. Sabda Rasulullah saw;

"...yang mendokong perjuanganku (Islam) ialah pemuda sedang yang menyanggahi (secara keras) adalah golongan tua"

Pemuda Islam wajib memperkemaskan diri dengan segala perkara yang perlu untuk menempatkan diri dalam kumpulan Pemuda Ansorullah yang sentiasa ada dan sedia untuk Islam. Itulah istilah Pemuda Ansorullah. Sentiasa siap siaga untuk bertempur atas nama Islam, menolak tepi segala perkara dunia yang lain dan terus menuju ke medan jihad tanpa sebarang keraguan barang sedikit terhadap seruan perjuangan menegakkan syariat Islam di muka bumi ini. Pemuda Ansorullah juga tidak gentar berdepan risiko serta implikasi negatif apabila menjulang panji Islam di medan tempur perjuangan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada kaumnya itu; "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalanku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)." Merekapun menjawab: "kamilah pembela-pembela (agama) Allah" (Setelah Nabi Isa tidak berada di kalangan mereka) maka sepuak dari Kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi tetap kafir. Lalu, Kami berikan pertolongan kepada yang Beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang"
(Surah As-Shaff ayat 14)

Prinsip utama Pemuda Ansorullah ialah kesediaan yang tidak berbelah bahagi untuk turun ke medan jihad menunaikan tanggungjawab dan amanah perjuangan bersama ikrar pejuang " إما نصر و إما شهادة" yang bermaksud "Sama ada menang atau gugur syahid".

Ansorullah merupakan kualiti dan tahap piawaian yang perlu dicapai setiap yang bergelar pejuang melalui pelbagai aktiviti yang disusun atur. Pejuang perlu menggarap semua lapangan gerak kerja yang melibatkan amal tarbawi (pengkaderan), amal siyasi (politik), amal kebajikan serta dakwah (penerangan) untuk melahirkan ciri-ciri Ansorullah dalam dada insan pejuang.

Terdapat beberapa aspek yang perlu 'dikejar' oleh Pemuda untuk meletakkan beberapa perkara dalam piawaian Ansorullah. Pertama, Ansorullah dari segi akidah dengan mempunyai pegangan serta prinsip perjuangan yang jelas dan mantap. Kedua, Ansorullah dari segi fikrah dengan timbunan kreativiti pemikiran serta pandangan ikhlas yang membina. Ketiga, Ansorullah dari segi akhlak dengan mempunyai nilai keperibadian yang tinggi serta kaya dengan akhlak-akhlak Islam. Dan yang keempat, Ansorullah dari segi aktiviti dengan keterlibatan dalam gerak kerja Islam secara maksima.

Maka, terdapat beberap asas utama yang perlu diketahui untuk mencapai piawaian Ansorullah dalam perkara-perkara tersebut. Pertama, Kefahaman Ilmu tasawur Islam secara jelas dan tepat. Kedua, pengetahuan luas dalam pelbagai disiplin ilmu yang berlainan. Ketiga, sentiasa beriltizam dan istiqamah dalam program pengkaderan dan pembinaan jemaah. Keempat, taqqarub yang erat kepada Allah swt. Manakala yang kelima, Intima' berasaskan aqidah Islam dengan penglibatan secara maksima serta mencapai sifar ponteng dalam program-program gerakan.  

Bermodalkan Islam sebagai produk tunggal dalam pasaran terbuka, setiap pejuang Islam menggalas kewajiban sebagai penggerak dalam sektor 'pengilangan', 'pemasaran' dan 'penjualan' kepada hampir 30 juta rakyat di Malaysia. Maka, sememangnya Islam memerlukan kepada pemuda yang pro-aktif, kreatif dan agreasif (bertaraf Ansorullah). Dengan itu, barulah 'pengguna' akan lebih yakin untuk menerima pakai Islam yang dibawa oleh pejuang.

Perlu difahami melahirkan generasi pemuda Ansorullah bukanlah bermakna membina jati diri pemuda yang offensive secara ekstrim, kasar dan ganas. Nilai Ansorullah yang ingin diterapkan di sini ialah nilai kepemudaan yang merangkumi;

a ] Pemuda yang beriman dan bertaqwa
b ] Pemuda yang berilmu pengetahuan dan berwibawa
c ] Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
d ] Pemuda yang berhemah dan berhikmah
e ] Pemuda yang berjiwa besar dan lapang dada
f ] Pemuda yang tangkas dan berani
g ] Pemuda yang cerdas dan cergas
h ] Pemuda yang sabar dan tabah
i ] Pemuda yang amanah dan setia 

Namun ini tidak bermakna kita perlu menukar Pemuda topi di kepala kepada serban di kepala. Pemuda bermotosikal kepada Pemuda gasing atau lain-lain. Setiap pejuang dengan disiplin ilmu berlainan seharusnya terus dengan minat masing-masing. Cuma yang membezakan adalah setiap tindakan mereka akan dilapik dengan syariat untuk meletakkan setiap perkara yang dilakukan itu dicatit sebagai amalan di sisi Allah Azza Wa Jalla.

Di sinilah kesahihan aqidah serta fikrah (antara piawaian mencapai Ansorullah) memainkan peranan. Dan di sini jugalah Islam dapat dipromosikan sebagai sebuah agama rahmat dan bukan agama yang bersifat menyekat. Bahkan, ini juga merupakan ruang dakwah secara halus yang dapat dipraktikkan oleh pejuang. Umpama menyerang dua sasaran dengan satu peluru, di samping mentarbiyah diri menuju Ansorullah kerja-kerja dakwah juga turut berjalan secara langsung.

Justeru, dengan beban tanggungjawab yang berat digalas oleh pemuda sebagai agen perubahan dalam masyarakat umumnya, setiap pejuang perlu lebih sedia dari yang perlu menghadapi ranjau perjuangan. Tidak sekadar duduk setelah membayar yuran ahli dan menyertai aktiviti sebaliknya Pemuda Islam perlu ke hadapan  merencana, menggerakkan dan menjayakan visi dan misi perjuangan Islam yang mempunyai susun atur sanad yang panjang terus kepada junjungan besar Rasulullah saw. 

Sesungguhnya perjuangan Pemuda Ansorullah bukanlah untuk mencari publisiti atau membina empayar politik sebaliknya perjuangan Pemuda Ansorullah adalah untuk Islam dan ummah dengan qasad perjuangan kerana Allah Ta'ala.


Tuesday, April 5, 2011

BIJAKSANA DALAM MENENTUKAN SIKAP!!!

Muktahir ini perjuangan Islam berdepan dengan pelbagai cabaran yang bersifat sensitif baik di peringkat nasional, peringkat kampus serta akar umbi. Perubahan yang juga disebut sebagai tsunami politik pada 2008 yang lalu sedikit sebanyak menjadi punca kepada perkembangan seumpama ini. Maka, berbondonglah manusia mula mendekatkan diri dengan Parti Islam termasuk mereka yang mempunyai agenda serta kepentingan peribadi setelah melihat gerakan Islam sebagai sebuah kerajaan yang menanti masa untuk ditabal penguasa di negara ini.

Dalam keadaan ini tidak dapat dinafikan musuh sentiasa mencari dan menanti kesilapan kecil dari kem gerakan Islam untuk melancarkan perang saraf yang mampu memporak-perandakan jamaah Islam. Sejarah Islam jelas membuktikan pada zaman jihad Rasulullah saw, Islam tidak dipedulikan musuh-musuh Islam tatkala lemah dan tidak bermaya tetapi keras ditentang dan diuji apabila semakin berkeyakinan dan berkuasa. Walhal Islam tatkala lemah dan Islam tatkala kuat adalah Islam yang sama iaitu Islam yang di bawa oleh Rasulullah saw. Maka timbul satu kefahaman di dalam jamaah sesungguhnya perjuangan mempertahankan kemenangan adalah lebih rumit berbanding perjuangan mencapai kemenangan.

Situasi pada hari ini merupakan suatu ujian serta tarbiyah langsung dari Allah untuk memantapkan kemahiran kepimpinan dalam diri-diri setiap pejuang Islam. Bukankah setiap yang berlaku itu ada hikmahnya? Tanpa isu-isu besar dan sensitif yang melanda pergerakan Islam, para pimpinan dan pendokong tidak akan berupaya mengasah diri mereka dalam menentukan sikap serta tindakan dalam sesuatu isu. Pejuang Islam tidak akan terdedah kepada prinsip hemah dalam tindakan, menganalisis kesan dalam menentukan aulawiyat sikap serta kemahiran-kemahiran kepimpinan yang lain.

Menegakkan Islam dan kebenaran seiring dengan mengekalkan kekuatan sokongan terhadap manhaj Islam dalam realiti perjuangan di malaysia ini bukanlah sesuatu yang mudah. MENTAL YANG MANTAP, JIWA YANG TABAH mesti seiring dengan HUJAH YANG KUKUH serta PELAKSANAAN SECARA BIJAKSANA DAN BERHEMAH. Umpama berada di tengah-tengah titik bulatan 360 darjah dengan semuanya menuju hala serta mengharapkan respons positif terhadap mereka. Itu sesuatu yang sukar. Mustahil untuk memuaskan hati semua orang.

Gerakan Islam hari ini bukan lagi berada di posisi defensive semata-mata. Tetapi peranan telah ditambah supaya bersikap offensive juga serta mampu bertindakbalas secara kreatif. Di sini, kebijaksanaan pimpinan dalam menegakkan kebenaran di samping menjaga jalur-jalur fitnah terhadap gerakan dari dikejutkan oleh musuh Islam amat diperlukan. Maka, dalam membicarakan soal ini, Ustaz Nasrudin Hassan berkata hanya pimpinan yang tinggi nilai taqarrubnya sahaja yang mampu selamat dengan ilham yang diberikan Allah.

Imam Bukhari tatkala menulis kitab Shahih Bukhari menunaikan solat sunat hajat kepada Allah memohon petunjuk setiap kali ingin memasukkan hadis ke dalam kitabnya. Sesuatu yang telah dilupakan hari ini adalah kebergantungan kita kepada Allah. Maka, terjadilah fenomena "tembak orang lain, orang lain yang kena" tatkala menentukan sikap dalam sesuatu isu yang mempunyai nilai pertimbangan yang berbeda. Dalam erti kata lain isu sensitif.

Penggerak Islam hari ini (terutama muda-mudi) perlu mula bijak menilai dari sudut keutamaan sikap yang perlu diambil dalam bertindakbalas terhadap sesuatu isu. Perlu dilihat dari sudut permaslahatan, kesan serta peluang untuk juak-juak pengkhianat agama memainkan isu-isu sensitif ini sebagai senjata serang hendap. Hal ini penting untuk kelangsungan perjuangan Islam berjalan seiring keadilan yang ditegakkan.

Kesimpulannya, kita perlu menyedari perjuangan Islam pada hari ini sudah berada di satu dimensi yang baru. Pejuang Islam perlu bijak merencana secara berhemah dalam menangani situasi hari ini yang cukup sensitif jika tidak diurus sebaik mungkin. Ingat!! Kuatkan diri masing-masing dengan tiga kunci utama perjuangan. Ilmu, Tarbiyah serta Jemaah. 


- Karya ini adalah ILUSI MINDA penulis sahaja....