Followers

Friday, October 7, 2011

MERAWAT PENYAKIT UMAT: DI MANA KITA BERMULA

Pembentukan dan pembinaan sesebuah bangsa, merealisasikan impian dan memperjuangkan sebuah prinsip memerlukan seluruh bangsa atau sekurang-kurangnya sekelompok manusia yang mahu menggerakkan usaha  mencapai cita-cita memiliki elemen-elemen yang mampu menjadikan jiwa-jiwa mereka kental dan bertenaga. Maka, dalam aspek merawat penyakit umat sesuatu bangsa itu perlu kembali kepada asas ini iaitu melahirkan kumpulan daie yang lengkap dengan ciri-ciri Ibadurrahman dalam rangka menyebarkan Islam yang merupakan ubat paling mujarab kepada penyakit yang melanda masyarakat.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al Quran;

"Dan tidak kami utusankan engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk sekalian alam"

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna menggariskan kriteria jiwa yang kental kepada 4 aspek utama iaitu kemahuan tinggi yang tidak mampu digugat oleh kelemahan diri. Kesetiaan sejati yang tidak mengenal erti kompromi dan pembelotan. Pengorbanan agung yang tidak kenal erti tamak, kedekut atau keinginan untuk dipandang tinggi. Dan Memahami prinsip iaitu keyakinan tinggi terhadap Islam, menghormati prinsip, aturan dan tidak melakukan kesilapan, penyelewengan atau terpengaruh dengan prinsip yang lain.

Keempat-empat perkara ini merupakan asas rohani yang akan membentuk kekuatan rohani yang agung dengan keteguhan sebuah prinsip yang benar. Pengamalan asas-asas rohani ini secara berjemaah akan mencorak sebuah bangsa yang mampu bangkit, membentuk satu semangat berlandaskan keilmuan untuk mengembalikan kehidupan sejahtera yang telah sekian lama hilang dari 'pelukan' sesuatu bangsa itu.

Dalam konteks merawat penyakit ummah, mana-mana pendakwah yang kehilangan walaupun hanya salah satu daripada keempat-empat asas tersebut akan gagal dalam mengislahkan ummah yang parah tercedera dengan penyakit yang melanda. Bangsa akan terus malang dan tidak punya harga. Bangsa akan lesu, tidak mampu menuju kejayaan hakiki atau bergerak merealisasikan impian mereka. Sebaliknya bangsa akan terus hanyut dalam dunia sangkaan, khayalan dan impian.

Ramai yang menyangka, manusia memerlukan kekuatan kebendaan dalam menghidupkan semangat kebangkitan ummah untuk kembali mengenal fungsi dan matlamat mereka di dunia. Namun, lembaran sejarah telah membuktikan bagaimana ubat kepada penyakit umat itu terletak pada pendakwah yang bersih rohani dengan pengisian tarbiyah yang tersusun dan berdisiplin sepertimana pendekatan yang dibawa oleh Said Hawwa.

Proses pentarbiyahan rohani dengan pengisian ilmu sebagai senjata dan pengamalan secara istiqamah sebagai peluru akan melahirkan individu-individu yang mampu menyentuh hati saudara-saudara mereka ke arah pengislahan akhlak umat. Atas dasar yang kukuh, mereka berjuang membawa dakwah Islam, mengajak manusia berintima dengan prinsip Islam, jurupandu dalam memperbaiki jiwa dan akhlak umat. Mereka tidak akan mundur dengan perjuangan mereka meski dihambat dengan seribu sunnah orang berjuang baik cacian, makian, penghinaan, fitnah mahupun dicabar nyawa mereka.

Apabila bangsa sudah punya harga diri, sudah punya kekuatan rohani, sudah sebati dengan akhlak yang murni nescaya bangsa itu adalah bangsa yang dirahmati dan diberi Allah dengan segala kekuatan baik kekuatan kebendaan, perpaduan mahupun yang lain-lain.

Kesimpulannya, bermulanya proses merawat penyakit umat adalah dengan mengisi dada individu muslim dengan pengisian rohani dan pentarbiyahan diri secara sistematik dan teratur. Ilmu yang diperolehi perlu dibaja dengan pengamalan secara istiqamah. Kemudian, individu-individu muslim ini akan bergabung sesama mereka dalam satu jamaah dan seterusnya menyuntik ubat-ubatan yang mampu memulihkan penyakit umat. Maka, TARBIYAH ISLAM!! Di situlah kita bermula!