Followers

Showing posts with label Bina Fikrah. Show all posts
Showing posts with label Bina Fikrah. Show all posts

Friday, October 7, 2011

MERAWAT PENYAKIT UMAT: DI MANA KITA BERMULA

Pembentukan dan pembinaan sesebuah bangsa, merealisasikan impian dan memperjuangkan sebuah prinsip memerlukan seluruh bangsa atau sekurang-kurangnya sekelompok manusia yang mahu menggerakkan usaha  mencapai cita-cita memiliki elemen-elemen yang mampu menjadikan jiwa-jiwa mereka kental dan bertenaga. Maka, dalam aspek merawat penyakit umat sesuatu bangsa itu perlu kembali kepada asas ini iaitu melahirkan kumpulan daie yang lengkap dengan ciri-ciri Ibadurrahman dalam rangka menyebarkan Islam yang merupakan ubat paling mujarab kepada penyakit yang melanda masyarakat.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al Quran;

"Dan tidak kami utusankan engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk sekalian alam"

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna menggariskan kriteria jiwa yang kental kepada 4 aspek utama iaitu kemahuan tinggi yang tidak mampu digugat oleh kelemahan diri. Kesetiaan sejati yang tidak mengenal erti kompromi dan pembelotan. Pengorbanan agung yang tidak kenal erti tamak, kedekut atau keinginan untuk dipandang tinggi. Dan Memahami prinsip iaitu keyakinan tinggi terhadap Islam, menghormati prinsip, aturan dan tidak melakukan kesilapan, penyelewengan atau terpengaruh dengan prinsip yang lain.

Keempat-empat perkara ini merupakan asas rohani yang akan membentuk kekuatan rohani yang agung dengan keteguhan sebuah prinsip yang benar. Pengamalan asas-asas rohani ini secara berjemaah akan mencorak sebuah bangsa yang mampu bangkit, membentuk satu semangat berlandaskan keilmuan untuk mengembalikan kehidupan sejahtera yang telah sekian lama hilang dari 'pelukan' sesuatu bangsa itu.

Dalam konteks merawat penyakit ummah, mana-mana pendakwah yang kehilangan walaupun hanya salah satu daripada keempat-empat asas tersebut akan gagal dalam mengislahkan ummah yang parah tercedera dengan penyakit yang melanda. Bangsa akan terus malang dan tidak punya harga. Bangsa akan lesu, tidak mampu menuju kejayaan hakiki atau bergerak merealisasikan impian mereka. Sebaliknya bangsa akan terus hanyut dalam dunia sangkaan, khayalan dan impian.

Ramai yang menyangka, manusia memerlukan kekuatan kebendaan dalam menghidupkan semangat kebangkitan ummah untuk kembali mengenal fungsi dan matlamat mereka di dunia. Namun, lembaran sejarah telah membuktikan bagaimana ubat kepada penyakit umat itu terletak pada pendakwah yang bersih rohani dengan pengisian tarbiyah yang tersusun dan berdisiplin sepertimana pendekatan yang dibawa oleh Said Hawwa.

Proses pentarbiyahan rohani dengan pengisian ilmu sebagai senjata dan pengamalan secara istiqamah sebagai peluru akan melahirkan individu-individu yang mampu menyentuh hati saudara-saudara mereka ke arah pengislahan akhlak umat. Atas dasar yang kukuh, mereka berjuang membawa dakwah Islam, mengajak manusia berintima dengan prinsip Islam, jurupandu dalam memperbaiki jiwa dan akhlak umat. Mereka tidak akan mundur dengan perjuangan mereka meski dihambat dengan seribu sunnah orang berjuang baik cacian, makian, penghinaan, fitnah mahupun dicabar nyawa mereka.

Apabila bangsa sudah punya harga diri, sudah punya kekuatan rohani, sudah sebati dengan akhlak yang murni nescaya bangsa itu adalah bangsa yang dirahmati dan diberi Allah dengan segala kekuatan baik kekuatan kebendaan, perpaduan mahupun yang lain-lain.

Kesimpulannya, bermulanya proses merawat penyakit umat adalah dengan mengisi dada individu muslim dengan pengisian rohani dan pentarbiyahan diri secara sistematik dan teratur. Ilmu yang diperolehi perlu dibaja dengan pengamalan secara istiqamah. Kemudian, individu-individu muslim ini akan bergabung sesama mereka dalam satu jamaah dan seterusnya menyuntik ubat-ubatan yang mampu memulihkan penyakit umat. Maka, TARBIYAH ISLAM!! Di situlah kita bermula!

   

Friday, August 12, 2011

KITA DAN 'MEREKA' BERBEZA

"Kita bukan pertubuhan politik, meskipun persoalan siasah berlandaskan Islam merupakan intipati fikrah yang perlu diperjuangkan. Kita bukan pertubuhan kebajikan, meskipun amal-amal kebajikan dan kerja-kerja Islam adalah tujuan kita yang besar. Tetapi kita adalah Gerakan Islam."
- Rumusan Hassan Al Banna dalam kitab Ma za ya' ni karya Fathi Yakan

Al Imam Hassan Al Banna seorang pemimpin agung kontemporori sering kali memberikan kita mutiara kata yang mampu membuatkan kita berfikir. Dengan rahmat Allah, melalui lisan As Syahid telah cukup menggambarkan hakikat kesyumulan Islam. Kata-kata beliau masih relevan walaupun sudah berdekad lamanya masa berlalu.

Antara kata-kata beliau yang memberi kesan kepada pejuang Islam adalah tentang fikrah kita sebagai pejuang Islam. Bagi penulis, beliau bukan sekadar mengatakan sedimikian (seperti di atas) kepada pertubuhan politik atau pertubuhan kebajikan semata-mata. Tetapi, As Syahid cuba memasukkan suatu roh atau fahaman tentang asal tujuan kita berintima dengan perjuangan Islam. Kita bukan pertubuhan politik, atau pertubuhan kebajikan, atau pertubuhan hak asasi akan tetapi kita adalah gerakan Islam. Dalam konteks apa yang ingin dikongsikan dalam artikel ini bahawa kita bukan gerakan mahasiswa sebaliknya kita adalah Gerakan Islam (Allahuakbar).

As Syahid dapat melihat satu permasalahan besar yang sering menghantui umat Islam tatkala mengeluarkan kata-kata sedemikian. Kegagalan para pejuang Islam dalam menentukan sikap dalam situasi-situasi yang rumit lagi bercelaru sehingga fokus utama perjuangan terganggu dan terbantut. Penulis mengkaji perkara ini dan sering juga bertemu dengan jemaah yang gagal menguruskan perbezaan pendapat dengan baik dan berdisiplin. Maka, setiap kali penulis bertemu dengan suasana ini setiap kali itu jugalah penulis dapat melihat salah satu puncanya adalah kefahaman (Al Fahmu).

Di situ penulis melihat tarbiyahnya mati. Usrah tidak hidup. Jika adapun usrahnya umpama pertemuan kedai kopi yang langsung tidak ada kualiti yang mampu menyatukan kefahaman ahli. Hubungan dengan Allah terabai dan andai dijaga sekalipun hubungan itu tidak sampai ke tahap hubungan seorang pejuang dengan Tuhannya sebaliknya hubungan itu sekadar hubungan manusia biasa yang tidak ada kualiti yang diperlukan. Kesannya, kesatuan fikrah gagal dibentuk dalam kerangka untuk menguatkan jemaah itu sendiri.

Dalam situasi ini, apabila pemerkasaan tarbiyah yang menjadi tunjang kepada pemerkasaan fikrah tidak wujud, mudahlah untuk seseorang pejuang itu diresapi dengan fikrah yang samar sehingga wujud kecelaruan fikrah. Kebiasaannya berlaku apabila kita gagal memahami kewujudan proksi sebagai alat memperjuangkan Islam dan bukan perjuangan proksi yang diperjuangkan. Itulah makna besar kata-kata Imam Hassan Al Banna.

Bagi penulis, barah yang sedang melanda anak muda hari ini adalah permasalahan fikrah. Senjata idealisme mahasiswa sedang merasuk minda-minda pejuang Islam yang berdarah muda. Tidak ada masalah untuk menjadi anak muda beridealisme kerana menjadi fitrah manusia untuk mempunyai idea dan cara fikir tersendiri. Tetapi untuk meletakkan idealisme mahasiswa yang dipacu oleh perjuangan mahasiswa adalah sesuatu yang tidak patut ada dalam pemikiran pejuang Islam.

Apa itu idealisme?
Asal kalimah Idealisme adalah dari perkataan idea. Idealisme adalah satu perkara yang cuba mengangkat pemikiran manusia sebagai suatu ikutan berasaskan logik dan rasional. Bagi penulis adalah sesuatu yang salah untuk pemikiran seseorang itu atau sekumpulan itu diangkat sebagai suatu kuasa dan perjuangan yang harus diperjuangkan. Salah sama sekali dari sudut Islam itu sendiri apabila isme manusia diangkat sebuah perjuangan. Bukankah itu salah satu cabang syirik.

Perjuangan di bawah kepompong Idealisme Mahasiswa adalah perjuangan yang menolak kewujudan disiplin berjemaah dan konsep wala. Wala mereka pada sebahagian perkara yang mudah dan dipersetujui mereka. Dan mereka adalah kelompok yang duduk di tengah antara dua atas jenama jemaah. Mengkritik pihak kiri sama dengan mengkritik pihak kanan dan cuba melepaskan diri mereka kononnya dari satu kuasa yang mereka gelar diktator agama. Wala bagi mereka pula adalah sekatan hak dan ketaksuban yang dasyhat terhadap golongan yang mereka label diktator agama ini. Mereka menuntut mahasiswa diberi stand tersendiri sehingga mereka lupa stand yang diredhai Allah hanyalah pegangan Islam.
  
Apakah Mahasiswa Islam Tidak Boleh Beridealisme? 
Sewajibnya yang perlu ada dalam pemikiran anak muda adalah Islam. Maka jadilah Mahasiswa Beridealisme Islam yang diikat dengan adab-adab serta disiplin jemaah. Sesungguhnya Wala yang menjadi kekuatan sebuah gerakan Islam bukan dibina atas ketaksuban tetapi dibina atas kefahaman terhadap ilmu agama. Di situlah wujud ilmu Aulawiyat serta kefahaman adab dan disiplin berjemaah.

Tidak dinafikan tidak ada gerakan Islam yang sempurna yang terlepas dalam melakukan kesalahan. Bahkan sejarah Islam memperlihatkan sebuah kerajaan Islam yang zalim telah wujud dan memerintah. Maka, Imam Al Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumuddin tatkala membicarakan syarat-syarat mencegah kemungkaran ada menyebut, "Pencegahan yang dilakukan tidak menimbulkan (mafsadah) keburukan yang lebih besar."

Yang dimaksudkan bukanlah tidak boleh mencegah kemungkaran tersebut. Tetapi huraian perbicaraan lebih kepada sikap yang diambil dalam mencegah kemungkaran yang dilakukan perlu mengambil kira kesannya selepas itu. Di sinilah ilmu keutamaan memainkan peranan. Jangan sampai kerana manfaat seorang menyebabkan mafsadah pada dua orang. Atau kerana kebaikkan sekumpulan kecil menyebabkan mafsadah sekumpulan besar. Atau kebaikkan kawasan menyebabkan mafsadah wilayah. Atau kebaikkan wilayah menyebabkan mafsadah besar pada negeri. 

Oleh sebab itu  konsep wala pada pimpinan yang lebih tinggi diwujudkan. Bukan kerana ketaksuban tetapi wala adalah konsep yang terbina dari kekayaan ilmu Islam untuk mewujudkan keharmonian dalam gerakan dan keutamaan yang lebih besar yang perlu dipertahankan. 

Bagaimana Dengan Prinsip Perjuangan?
Sebelum memperkatakan tentang persoalan ini, perlu ditegaskan dalam konsep wala tidak bermakna pimpinan tidak boleh ditegur sebaliknya teguran itu perlu dalam ruangan yang betul mengikut adab berjemaah. Semua boleh untuk membangkang dalam mesyuarat atau perbicaraan tertutup tetapi untuk menzahirkan perbezaan sehingga menggugatkan keutamaan yang lebih besar adalah sesuatu yang cukup bahaya.

Mungkin suatu ketika kita akan melihat seolah-olah kita telah lari dari prinsip perjuangan yang dahulunya kita canang. Maka, kerisauan timbul sehingga kita merasakan situasi hari ini akan memberi senjata kepada lawan untuk menyerang kita suatu hari nanti akan tetapi kita lupa tentang hakikat mempertahankan Negara Islam (meskipun sebuah negara yang zalim) itu lebih utama dari membenarkan tertegaknya Negara Sekular yang syirik.

Tidak dinafikan kezaliman yang dilakukan kerajaan Islam akan menjadi backfire kepada gerakan Islam itu sendiri. Tetapi kita perlu ingat! Sebuah kerajaan Islam mungkin melakukan kezaliman A atau kezaliman B. Tetapi sebuah kerajaan Syirik akan melakukan kezaliman A juga kezaliman B, kezaliman C, kezaliman D dan yang lainnya.

Bahkan sekiranya kerajaan Syirik itu tidak melakukan kezaliman sama sekalipun masih perlu dipertahankan kerajaan Islam kerana sebuah kerajaan Syirik akan menjauhkan rakyat dari Islam sedang kerajaan Islam akan mendekatkan rakyatnya dengan Islam. Hakikatnya senjata yang lebih besar kita berikan kepada lawan sekiranya perbuatan kita menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan meskipun tindakan tidak dituju secara langsung kepada gerakan Islam. Fitnah lebih besar pada Islam dan kita akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang terjadi. Di situlah kita perlu memikirkan kesan setiap tindakan kita secara lebih luas dengan mengenengahkan kepentingan Islam.

Kesimpulan...
InsyaAllah artikel ini akan bersambung. Akan tetapi ditegaskan di sini, ya akhi wa ukhti sesungguhnya kita dan mereka berbeza. Jangan terjerumus ke dalam perangkap revolusi pemikiran dan idealisme mahasiswa. Kita sudah punya pegangan sendiri yakni Islam. Di sana punya disiplin-disiplin tersendiri yang akarnya adalah keilmuan. Maka lakukanlah atas stand Islam dan bukan atas stand mahasiswa, atau apapun selain dari Islam. Kita bukan third force (kuasa ketiga) sebaliknya kita adalah penyumbang tenaga kepada Islam. Kita adalah tentera Islam. 'Mereka' mungkin bersama kita tetapi kita dan 'mereka' berbeza.

Wallahualam...


Friday, May 20, 2011

SIRI BINA FIKRAH PEMUDA: KEKAL PUTIH DALAM LUMPUR HITAM

Tingkatkan kesedaran taqafah dan Tasawwur Amal Islami (ilmu pengetahuan) dalam menghadapi serangan pemikiran yang kian mencabar. Keteguhan aqidah imaniyah penting untuk menangkis segala syubhah yang dibawa melalui virus ideologi berpaksikan isme-isme manusia. Dan bergabung dengan kepimpinan serta gerak kerja Islam. Hasilnya kita akan selamat dari lingkaran propaganda yang berbentuk fitnah. Dari situ, Allah akan mengiktiraf kita sebagai pembantu agama Allah.

Maka, antara yang menjadi isu dalam wajah bagi mencapai tahap diri yang bersedia untuk menjadi penggerak agama Allah adalah cabaran untuk kekal putih dalam lumpur hitam. Dalam erti kata yang lain untuk mengekalkan keteguhan akhlak Islam dalam keruntuhan akhlak manusia kian parah.

Kepincangan nilai dan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda hari ini amat membimbangkan. Bahkan, ia telah menjadi barah yang kronik kepada ummah di setiap pelosok dunia. Ini hasil 'baik' yang dituai oleh pakatan jahat yahudi dan barat dalam mengorentasikan budaya kuning untuk meneruskan penjajahan mereka ke atas minda umat Islam.

Mereka meransang nafsu dan menaja pelbagai bentuk kemaksiatan tanpa had batasan sehingga menarik muda/i Islam menjadi manusia liar dan buas. Muda/i Islam diajak memuaskan nafsu yang tidak pernah akan kunjung puas. Media massa dijadikan tunggangan menggerakkan kerja untuk menuang minyak ke dalam geloran nyalaan api nafsu. Mencetus perasaan samar-samar tentang kewujudan dosa meski muda/i Islam tahu akan wujudnya dosa. 

Tidak setakat itu, senjata menyerang akhlak umat Islam dicipta saban hari dalam pelbagai bentuk dan sudut. Majalah, video-video, capaian internet sehinggalah kepada perkara-perkara yang dekat dengan diri umat Islam seperti berpakaian, makanan dan lain-lain. Pendek kata, sentiasa sahaja senjata berpeluru bahaya ini diacukan ke arah muda/i Islam tanpa mengira tempat, waktu dan ketika.

Maka, ini cabaran bagi muda/i Islam yang bergelar pejuang. Hakikat hari ini kita berada di lautan lumpur hitam. Cabarannya, kita perlu kekal putih di dalam lumpur hitam tersebut. Sesuatu yang sukar jika dilihat secara logik akal namun semuanya akan menjadi mudah jika kembali kepada Islam. Bahkan, bukan sekadar seseorang pejuang itu kekal putih dalam lumpur hitam tetapi lebih dari itu tidak mustahil untuk lumpur hitam itu sendiri untuk dibersihkan dan diputihkan.

Setiap yang menggelarkan diri sebagai pejuang perlu mampu menangkis fitnah yang dibawa ini. Jangan dilalaikan dengan perkara-perkara yang menjurus ke arah nafsu. Jangan membuang masa dengan sia-sia sebaliknya setiap detik bagi diri pejuang itu perlulah diqasadkan hanya kerana Allah sebagai sebuah ibadah yang memutikkan hasil untuk diri.

Kesimpulannya, terdapat 4 perihal penting yang perlu dilakukan oleh para pejuang agama Allah ini iaitu;
1) Melaksanakan semua kewajiban diri sebagai manusia di muka bumi ini.
2) Mewajibkan diri dalam perkara-perkara sunnah setakat kemampuan seperti melazimi puasa sunat, solat sunat, dan mengamalkan sunnah dalam perbuatan harian seperti sunnah memakai pakaian, sunnah memakai kasut dan sebagainya.
3) Menjaga hubungan baik sesama manusia.
4) Istiqamah dalam kerja/amalan baik yang dilakukan.

Ringkasan kepada 4 perkara ini adalah hablum minallah dan hablum minannas. InsyaAllah, dengan terjaganya hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia maka akan selamatlah kalian (pejuang Islam) dari kehitaman lumpur bahkan lumpur itu akan bisa kalian (pejuang Allah) jernih putihkan.


Thursday, May 12, 2011

SIRI BINA FIKRAH PEMUDA: SERANGAN PEMIKIRAN

Kata Al Fadhil Ustaz Hafiz Mohd Nor, musuh Islam itu senantiasa merencana dan merencana. Mereka tidak akan pernah berhenti sehinggalah Allah menghentikan mereka dengan hari kiamat.

Maka, di antara rencana musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam hari ini adalah dengan melancarkan agenda pemikiran untuk mengganggu gugat akidah umat Islam melalui penjajahan moden iaitu penjajahan pemikiran. Perkara ini sememangnya telah diketahui umum. Bahkan, kata-kata serta beberapa penulisan pimpinan golongan mungkar menguatkan lagi perkara itu. Theodore Hertzel yang juga pencetus kepada kewujudan Negara haram Israel pernah berkata;

"misi kalian (musuh-musuh Islam) bukanlah mengeluarkan mereka dari Islam, walaupun yang terakhir ini merupakan keberhasilan yang paling gemilang. Tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka dari Islam..jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri, orang Islam yang gemar berfoya-foya, suka dengan kemaksiatan, hidup semata-mata untuk cari harta dan jabatan..jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kalian sudah berhasil..laksanakan dan tunaikan misi kalian ini dengan penuh kesedaran"
(petikan ucapan ketika Persidangan Yahudi di Basel, Switzerland)

Sejak berkurun lamanya, ummah dihentam dengan serangan pemikiran yang bertalu-talu. Tumpuan utama mereka adalah muda-mudi Islam kerana golongan muda merupakan nadi kepada perjuangan Islam yang perlu dihentikan musuh Islam. 

Rekod memperlihatkan kebanyakkan serangan pemikiran ini berpusat di barat. Antara produk yang paling berjaya memanipulasi minda manusia khususnya umat Islam adalah ideologi sekularisme, satu pemikiran yang berjaya memenjarakan agama di sebalik dinding-dinding rumah ibadat. Idealisme inilah yang melahirkan kenyataan "Islam suku politik suku" atau "Islam dan politik tidak boleh disamakan" atau kenyataan yang bersifat menidakkan kesyumulan Islam seperti "Hukum Islam tidak sesuai dengan zaman sekarang".

Tidak sekadar itu, musuh-musuh Islam sentiasa cuba ke hadapan dalam menanam kehendak mereka dalam pemikiran umat Islam melibatkan pelbagai disiplin ilmu yang wujud di dunia ini. Dalam erti kata yang lain, skop gerak kerja mereka melibatkan 360 darjah dalam bulatan. Penjajahan pemikiran juga berlaku dalam bidang ekonomi, sosial, ilmu sains dan bidang-bidang lain.

Dalam konteks ekonomi, musuh Islam memperkenalkan kapitalisme sebagai 'pemain' yang mewakili mereka untuk mempengaruhi minda manusia. Sistem yang mendokong orentasi ekonomi ribawi yang jelas ditolak oleh ideologi Islam yang dibawa Muhammad saw. Dalam bab sosial pula, musuh Islam mewujudkan pelbagai seni pemikiran yang menjauhkan manusia dari manhaj Rabbani untuk didokong oleh umat Islam. Kebebasan melampau ditaja dan dijenamakan atas kalimah hak asasi manusia sedang hak Allah sebagai Rabbul a'lamin ditidakkan. 

Pendek kata, muda-mudi Islam hari ini menjadi sasaran serangan pemikiran musuh Islam yang datang dari segenap penjuru dan arah. 

Musuh-musuh Islam menyedari bahawa Islam tidak mungkin dapat dilumpuhkan melalui serangan fizikal iaitu melalui peperangan. Maka, mereka mengubah strategi mereka dengan menghantar askar-askar halus meresap dan menyerang umat Islam dengan pemuda menjadi sasaran utama.

Misi mereka adalah untuk menjauhkan umat Islam daripada fahaman Islam yang sebenar selain merekrut 'askar-askar' baru dari kalangan umat Islam sendiri untuk dijadikan boneka kepada propaganda yang sedang mereka rencanakan. Hasilnya hari ini, boneka musuh-musuh Islam ini ada di setiap pelusuk dunia bahkan mereka juga turut berorganisasi dan gerakan mereka bersistematik.

Boneka-boneka ini wujud dimana-mana. Di Turki, Pakistan, Malaysia dan negar-negara dunia lain. Mereka wujud dengan membawa perjuangan atas isme-isme manusia yang diilhamkan oleh Iblis yang sememangnya bermusuh dengan manusia. Mereka wujud dalam perjuangan Sekularisme, Nasionalisme, dan isme-isme yang lainnya.

Maka, di sini penulis berwasiat kepada muda-mudi Islam bahawa ideologi terbaik memandu manusia mengimarakkan muka bumi Allah ini tidak lain tidak bukan adalah ideologi yang datangnya dari Allah sendiri iaitu ideologi Islam. Bukankah Allah yang menciptakan manusia? Justeru Allah lebih berhak dan mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Bukannya manusia itu sendiri.

Oleh itu, setiap daripada muda-mudi Islam, kunci kesinambungan perjuangan Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling supaya tidak tenggelam dan lemas dengan ideologi bersifat menyesatkan dan melemahkan tajaan musuh-musuh Islam. Pemuda/i perlu kukuh dan mantap dengan tassawuf Islam yang mampat serta fikrah yang jelas sebagai benteng diri berdepan serangan pemikiran yang dilancarkan golongan laknatullah ini. Insafilah firman Allah swt;


"Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan."
(Surah Ali Imran ayat 196-197)


Wednesday, May 11, 2011

SIRI BINA FIKRAH PEMUDA: CABARAN PEMUDA HARI INI

Pemuda adalah aset ummah, mata-mata rantai yang masih 'segar' penyambung perjuangan warisan yang haq. Pemuda juga adalah institusi utama dalam menggerakkan ummah, memadu tenaga, memerah keringat minda dan mengalirkan sungai semangat dalam perjuangan yang didokong. Maka, tidak hairanlah jika ada yang mengatakan tempat pemuda adalah di saf yang paling depan, pemegang panji perjuangan. Sabda Rasulullah saw;

"Aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk (lembut dan unik). Sesunggguhnya Allah telah mengutusiku dengan ugama yang lurus lagi tolerensi lalu aku telah dibantu kukuh oleh para pemuda sedang orang - orang tua menyanggahiku."

Dan sabda Baginda saw lagi;

"Sesungguhnya Allah mengkagumi pemuda - pemuda yang tiada baginya sebarang kerosakkan moral."
 ( Riwayat Ahmad dan Abu Yu’la )

Pemuda hari ini sewajarnya menjadi pemuda yang peka terhadap persekitaran dan isu yang timbul. Fakta ini jelas kerana antara elemen pembentukan ummah adalah menganalisis keadaan semasa dan keadaan semasa itu semestinya akan bersangkutan dengan isu-isu semasa. Justeru, di bahu setiap pemuda itu telah sedia tergalas satu tanggungjawab dalam menentukan masa depan ummah yang lebih baik. Maka, pemuda perlu sentiasa 'bermain' dengan perkembangan semasa yang berlaku di persekitaran mereka dalam skop yang lebih luas.

Yang bernama pemuda amat tidak layak untuk sekadar menjadi penonton sehingga alpa diulit mimpi dan buaian impian palsu. Pemuda perlu ada keinsafan untuk secara sukarela menghadirkan kesediaan untuk ke hadapan menangani realiti semasa dengan sentiasa sensitif terhadap isu yang berlaku. Sabda Rasulullah saw;

"… dan barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang muslim yang lain maka ia bukan dari kalangan mereka (orang muslim)." 

Realiti semasa, pemuda hari ini tidaklah tenggelam dalam menyuarakan isu-isu nasional. Tetapi tahap kesedaran pemuda juga bukanlah pada tahap yang baik seperti gerakan mahasiswa di Mesir suatu ketika dahulu yang menubuhkan Ikhwanul Muslimin atau gerakan mahasiswa di negara jiran Indonesia yang berjaya membawa satu perubahan besar di negara itu suatu masa lalu.

Yang jelas, gerakan mahasiswa di Malaysia masih diperingkat pembinaan. Sememangnya mahasiswa di Malaysia masih tidak mempunyai capaian untuk didabik dada sebagaimana gerakan mahasiswa di negara-negara lain yang lebih ke hadapan. 

Dalam membina fikrah serta kekuatan pemuda, terdapat beberapa cabang cabaran yang perlu ditempuhi oleh golongan muda hari ini iaitu;

~ Kegagalan mencipta isu
~ Kegagalan memanfaatkan isu yang timbul
~ Kesilapan menentukan sikap sehingga menimbulkan (back fire)
~ Sifat isu yang mudah luput
~ Kegagalan menafsir sesuatu isu secara tepat

Oleh itu, pemuda perlu sentiasa waspada dan bersiaga menghadapi cabaran ini. Pemuda perlu membina keupayaan diri untuk berdepan cabaran ini dengan mewujudkan sensitiviti yang tinggi dalam diri yang hanya boleh dilakukan dengan tahap pembacaan yang tajam, olahan tarbiyah yang mantap serta kritis dalam membentuk pengalaman lalu menjadi nilai tambah keupayaan diri.

Tanpa persiapan sedemikian, pemuda akan terperangkap dalam manipulasi musuh yang amat licik. Realiti hari ini mempamerkan suatu hakikat yang amat meresahkan kita apabila ramai pemuda/i muslim tersungkur di hadapan musuh seterusnya menjadi agen musuh yang menentang Islam. Dari situ lahirnya penentang Islam berijazah syariah dan lain-lainnya. Bahkan wujud juga pengkhianat perjuangan akibat daripada nilai tarbiyah yang masih tidak sebati dalam diri.

Penulis tinggalkan Siri Bina Fikrah Pemuda yang pertama ini dengan sabda Rasulullah saw. InsyaAllah semoga bertemu dalam Siri Bina Fikrah Pemuda yang seterusnya. 

"Tidak berganjak kaki seorang hamba pada hari qiamat sehingggalah ia disoal berkenaan dengan empat perkara :Ke manakah dihabiskan umurnya , bagaimana ia manafaatkan usia mudanya , dari mana diperolehi hartanya dan ke mana pula ia belanjakannya dan apa yang telah direalisasikan ilmu miliknya"
(Riwayat At-Tarmizi)