Followers

Friday, August 12, 2011

KITA DAN 'MEREKA' BERBEZA

"Kita bukan pertubuhan politik, meskipun persoalan siasah berlandaskan Islam merupakan intipati fikrah yang perlu diperjuangkan. Kita bukan pertubuhan kebajikan, meskipun amal-amal kebajikan dan kerja-kerja Islam adalah tujuan kita yang besar. Tetapi kita adalah Gerakan Islam."
- Rumusan Hassan Al Banna dalam kitab Ma za ya' ni karya Fathi Yakan

Al Imam Hassan Al Banna seorang pemimpin agung kontemporori sering kali memberikan kita mutiara kata yang mampu membuatkan kita berfikir. Dengan rahmat Allah, melalui lisan As Syahid telah cukup menggambarkan hakikat kesyumulan Islam. Kata-kata beliau masih relevan walaupun sudah berdekad lamanya masa berlalu.

Antara kata-kata beliau yang memberi kesan kepada pejuang Islam adalah tentang fikrah kita sebagai pejuang Islam. Bagi penulis, beliau bukan sekadar mengatakan sedimikian (seperti di atas) kepada pertubuhan politik atau pertubuhan kebajikan semata-mata. Tetapi, As Syahid cuba memasukkan suatu roh atau fahaman tentang asal tujuan kita berintima dengan perjuangan Islam. Kita bukan pertubuhan politik, atau pertubuhan kebajikan, atau pertubuhan hak asasi akan tetapi kita adalah gerakan Islam. Dalam konteks apa yang ingin dikongsikan dalam artikel ini bahawa kita bukan gerakan mahasiswa sebaliknya kita adalah Gerakan Islam (Allahuakbar).

As Syahid dapat melihat satu permasalahan besar yang sering menghantui umat Islam tatkala mengeluarkan kata-kata sedemikian. Kegagalan para pejuang Islam dalam menentukan sikap dalam situasi-situasi yang rumit lagi bercelaru sehingga fokus utama perjuangan terganggu dan terbantut. Penulis mengkaji perkara ini dan sering juga bertemu dengan jemaah yang gagal menguruskan perbezaan pendapat dengan baik dan berdisiplin. Maka, setiap kali penulis bertemu dengan suasana ini setiap kali itu jugalah penulis dapat melihat salah satu puncanya adalah kefahaman (Al Fahmu).

Di situ penulis melihat tarbiyahnya mati. Usrah tidak hidup. Jika adapun usrahnya umpama pertemuan kedai kopi yang langsung tidak ada kualiti yang mampu menyatukan kefahaman ahli. Hubungan dengan Allah terabai dan andai dijaga sekalipun hubungan itu tidak sampai ke tahap hubungan seorang pejuang dengan Tuhannya sebaliknya hubungan itu sekadar hubungan manusia biasa yang tidak ada kualiti yang diperlukan. Kesannya, kesatuan fikrah gagal dibentuk dalam kerangka untuk menguatkan jemaah itu sendiri.

Dalam situasi ini, apabila pemerkasaan tarbiyah yang menjadi tunjang kepada pemerkasaan fikrah tidak wujud, mudahlah untuk seseorang pejuang itu diresapi dengan fikrah yang samar sehingga wujud kecelaruan fikrah. Kebiasaannya berlaku apabila kita gagal memahami kewujudan proksi sebagai alat memperjuangkan Islam dan bukan perjuangan proksi yang diperjuangkan. Itulah makna besar kata-kata Imam Hassan Al Banna.

Bagi penulis, barah yang sedang melanda anak muda hari ini adalah permasalahan fikrah. Senjata idealisme mahasiswa sedang merasuk minda-minda pejuang Islam yang berdarah muda. Tidak ada masalah untuk menjadi anak muda beridealisme kerana menjadi fitrah manusia untuk mempunyai idea dan cara fikir tersendiri. Tetapi untuk meletakkan idealisme mahasiswa yang dipacu oleh perjuangan mahasiswa adalah sesuatu yang tidak patut ada dalam pemikiran pejuang Islam.

Apa itu idealisme?
Asal kalimah Idealisme adalah dari perkataan idea. Idealisme adalah satu perkara yang cuba mengangkat pemikiran manusia sebagai suatu ikutan berasaskan logik dan rasional. Bagi penulis adalah sesuatu yang salah untuk pemikiran seseorang itu atau sekumpulan itu diangkat sebagai suatu kuasa dan perjuangan yang harus diperjuangkan. Salah sama sekali dari sudut Islam itu sendiri apabila isme manusia diangkat sebuah perjuangan. Bukankah itu salah satu cabang syirik.

Perjuangan di bawah kepompong Idealisme Mahasiswa adalah perjuangan yang menolak kewujudan disiplin berjemaah dan konsep wala. Wala mereka pada sebahagian perkara yang mudah dan dipersetujui mereka. Dan mereka adalah kelompok yang duduk di tengah antara dua atas jenama jemaah. Mengkritik pihak kiri sama dengan mengkritik pihak kanan dan cuba melepaskan diri mereka kononnya dari satu kuasa yang mereka gelar diktator agama. Wala bagi mereka pula adalah sekatan hak dan ketaksuban yang dasyhat terhadap golongan yang mereka label diktator agama ini. Mereka menuntut mahasiswa diberi stand tersendiri sehingga mereka lupa stand yang diredhai Allah hanyalah pegangan Islam.
  
Apakah Mahasiswa Islam Tidak Boleh Beridealisme? 
Sewajibnya yang perlu ada dalam pemikiran anak muda adalah Islam. Maka jadilah Mahasiswa Beridealisme Islam yang diikat dengan adab-adab serta disiplin jemaah. Sesungguhnya Wala yang menjadi kekuatan sebuah gerakan Islam bukan dibina atas ketaksuban tetapi dibina atas kefahaman terhadap ilmu agama. Di situlah wujud ilmu Aulawiyat serta kefahaman adab dan disiplin berjemaah.

Tidak dinafikan tidak ada gerakan Islam yang sempurna yang terlepas dalam melakukan kesalahan. Bahkan sejarah Islam memperlihatkan sebuah kerajaan Islam yang zalim telah wujud dan memerintah. Maka, Imam Al Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumuddin tatkala membicarakan syarat-syarat mencegah kemungkaran ada menyebut, "Pencegahan yang dilakukan tidak menimbulkan (mafsadah) keburukan yang lebih besar."

Yang dimaksudkan bukanlah tidak boleh mencegah kemungkaran tersebut. Tetapi huraian perbicaraan lebih kepada sikap yang diambil dalam mencegah kemungkaran yang dilakukan perlu mengambil kira kesannya selepas itu. Di sinilah ilmu keutamaan memainkan peranan. Jangan sampai kerana manfaat seorang menyebabkan mafsadah pada dua orang. Atau kerana kebaikkan sekumpulan kecil menyebabkan mafsadah sekumpulan besar. Atau kebaikkan kawasan menyebabkan mafsadah wilayah. Atau kebaikkan wilayah menyebabkan mafsadah besar pada negeri

Oleh sebab itu  konsep wala pada pimpinan yang lebih tinggi diwujudkan. Bukan kerana ketaksuban tetapi wala adalah konsep yang terbina dari kekayaan ilmu Islam untuk mewujudkan keharmonian dalam gerakan dan keutamaan yang lebih besar yang perlu dipertahankan. 

Bagaimana Dengan Prinsip Perjuangan?
Sebelum memperkatakan tentang persoalan ini, perlu ditegaskan dalam konsep wala tidak bermakna pimpinan tidak boleh ditegur sebaliknya teguran itu perlu dalam ruangan yang betul mengikut adab berjemaah. Semua boleh untuk membangkang dalam mesyuarat atau perbicaraan tertutup tetapi untuk menzahirkan perbezaan sehingga menggugatkan keutamaan yang lebih besar adalah sesuatu yang cukup bahaya.

Mungkin suatu ketika kita akan melihat seolah-olah kita telah lari dari prinsip perjuangan yang dahulunya kita canang. Maka, kerisauan timbul sehingga kita merasakan situasi hari ini akan memberi senjata kepada lawan untuk menyerang kita suatu hari nanti akan tetapi kita lupa tentang hakikat mempertahankan Negara Islam (meskipun sebuah negara yang zalim) itu lebih utama dari membenarkan tertegaknya Negara Sekular yang syirik.

Tidak dinafikan kezaliman yang dilakukan kerajaan Islam akan menjadi backfire kepada gerakan Islam itu sendiri. Tetapi kita perlu ingat! Sebuah kerajaan Islam mungkin melakukan kezaliman A atau kezaliman B. Tetapi sebuah kerajaan Syirik akan melakukan kezaliman A juga kezaliman B, kezaliman C, kezaliman D dan yang lainnya.

Bahkan sekiranya kerajaan Syirik itu tidak melakukan kezaliman sama sekalipun masih perlu dipertahankan kerajaan Islam kerana sebuah kerajaan Syirik akan menjauhkan rakyat dari Islam sedang kerajaan Islam akan mendekatkan rakyatnya dengan Islam. Hakikatnya senjata yang lebih besar kita berikan kepada lawan sekiranya perbuatan kita menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan meskipun tindakan tidak dituju secara langsung kepada gerakan Islam. Fitnah lebih besar pada Islam dan kita akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang terjadi. Di situlah kita perlu memikirkan kesan setiap tindakan kita secara lebih luas dengan mengenengahkan kepentingan Islam.

Kesimpulan...
InsyaAllah artikel ini akan bersambung. Akan tetapi ditegaskan di sini, ya akhi wa ukhti sesungguhnya kita dan mereka berbeza. Jangan terjerumus ke dalam perangkap revolusi pemikiran dan idealisme mahasiswa. Kita sudah punya pegangan sendiri yakni Islam. Di sana punya disiplin-disiplin tersendiri yang akarnya adalah keilmuan. Maka lakukanlah atas stand Islam dan bukan atas stand mahasiswa, atau apapun selain dari Islam. Kita bukan third force (kuasa ketiga) sebaliknya kita adalah penyumbang tenaga kepada Islam. Kita adalah tentera Islam. 'Mereka' mungkin bersama kita tetapi kita dan 'mereka' berbeza.

Wallahualam...


No comments:

Post a Comment