Followers

Monday, August 1, 2011

RAMADHAN BUKAN BULAN 'PUASA'

Ramadhan datang lagi!! Syukur kepada Allah Azza Wa Jalla yang masih mengekalkan nikmat hidup dan sihat kepada kita untuk bersama di awal Ramadhan ini. Mudah-mudahan Allah izinkan kita semua untuk tetap sihat menjalani ibadah di bulan Ramadhan 1430H.

Teringat akan kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz baru-baru ini, "Ini bukan bulan puasa tapi ini bulan Ramadhan".

Yang dimaksudkan dengan kata-kata Tuan Guru itu adalah kemuliaan Ramadhan bukanlah penghalang kepada manusia untuk terus bekerja memakmurkan muka bumi serta menegakkan Islam. Ramadhan bukan bulan 'puasa' yang memestikan kita menghentikan segala gerak kerja ke arah membebaskan manusia dari belenggu jahiliyyah moden kepada limpahan cahaya Islam yang penuh kesejahteraan.

Dikisahkan di dalam peperangan Mut'ah, Ja'afar Bin Abi Talib menyambar bendera panji Islam dari tangan Zaid Bin Harithah yang telah gugur syahid. Lantas Ja'afar berperang dengan sebelah tangan memegang pedang dan sebelah lagi menjulang bendera Islam. Dalam kekalutan perang Mut'ah datang musuh menyerang Ja'afar sehingga putus tangan kanannya namun Ja'afar tetap menjulang bendera Islam dengan tangan kirinya. Beliau diserang untuk kali kedua sehingga putus pula tangan kiri. Ja'afar rebah ke bumi dan syahid di bumi Mut'ah yang dibasahi darah syuhada.

Ketahuilah, tatkala seorang sahabat datang untuk memberikan air kepada Ja'afar dalam peperangan itu beliau menolak dan berkata, "Sesungguhnya aku sedang berpuasa"

Satu lagi kisah mashyur yang tercatat dalam sejarah Islam adalah kisah peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan. Tentera Islam seramai 313 orang yang serba kekurangan dan sedang berpuasa bertembung dengan 1000 tentera kafir Quraisy yang serba lengkap persenjataan mereka. Namun berbekalkan keimanan dan kebergantungan tinggi kepada Allah, Islam pulang dengan kemenangan.

Kisah-kisah ini adalah satu taujihad kepada generasi hari ini bahawa Ramadhan bukan bulan untuk kita berpuasa dari sudut gerak kerja, meninggalkan kerja-kerja Islam mahupun mengendurkan langkah kita. Ramadhan bukan bulan untuk kita berpuasa dari bermusyawarah mengatur strategi Islam, atau puasa berprogram mahupun berpuasa menuntut ilmu dan kerja-kerja lain.

Sejarah Islam telah membuktikan Ramadhan adalah bulan yang cukup bersejarah dengan peristiwa kejayaan Islam seperti peperangan Badar Al Kubra, peristiwa pembebasan Kota Makkah serta perluasan kuasa Islam ke Andalusia pada 91H. Semuanya berlaku pada bulan Ramadhan.

Kesimpulannya, puasa bukanlah alasan untuk manusia menghentikan atau mengendurkan langkah perjuangan mereka. Sebaliknya Ramadhan ini adalah kesempatan untuk manusia memacu dengan lebih laju segala kebaikkan kerana kejahatan syaitan dan iblis telah dibelenggu di dalam api neraka. Wallahua'lam.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN!!!
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA!!!
DAN IBADAH-IBADAH YANG LAIN!!!
ALLAHUAKBAR 3X!!!


No comments:

Post a Comment