"Tidaklah layak digelar pemimpin seseorang itu sekiranya dia mampu memesan makanan mahal-mahal di kedai-kedai sedang rakyat bawahannya hanya mampu pesan "PINGGAN KOSONG SATU, CAWAN KOSONG SATU". - Nurhafizul Badrul Hisham
Taqwim 2010 telah melabuhkan tirainya. Bermula tahun baru 2011 dengan setiap dari rakyat Malaysia memasang azam yang semestinya menginginkan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini. Malangnya, saban tahun rakyat dipaparkan dengan adegan yang kurang menyenangkan hati. Apa lagi kalau bukan isu KENAIKKAN HARGA!
Tidak dapat dinafikan isu kenaikkan harga barang-barang keperluan harian pada hari ini umpama sudah menjadi badi kepada masyarakat negara ini. Natijahnya, negara hari ini memperlihatkan keadaan rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Dari situ bermulalah rantaian masalah-masalah lain seperti peningkatan jenayah, sosial dan sebagainya.
Peningkatan harga minyak petrol baru-baru ini menambahkan lagi tekanan tersebut di awal tahun baru ini. Dan tatkala ini rakyat sudah melihat samar-samar kemungkinan harga minyak masak juga akan dinaikkan berikutan krisis minyak masak yang berlaku. Seperti satu kebetulan, kitaran jalan cerita ini berlaku setiap tahun yang akhirnya membawa kepada kenaikkan harga. Cuma objek dan barangnya sahaja berbeza.
Persoalannya, benarkah peningkatan harga ini benar-benar tidak dapat dibendung lagi? Benarkah masyarakat di negara ini perlu menerima hakikat bahawa yang ada di hujung jalan dalam isu ini adalah jalan mati? Jalan buntu.
Saya teringin berkongsi akan suatu kisah tentang seorang khilafah Islam terkemuka, Khalifah Umar Abdul Aziz. Kehebatannya saya pasti ramai yang sudah mengetahui malah keperibadian beliau dikagumi oleh masyarakat bukan Islam dunia.
Menyingkap sejarah pemerintahan beliau, dapatlah dirumuskan bahawa kunci kepada kejayaan cemerlang pentadbiran beliau adalah Islam yang sejati. Dalam tempoh pemerintahannya yang singkat, beliau berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat sehingga ke tahap menimbulkan kesukaran untuk mencari sang fakir yang layak menerima zakat. Begitulah kehebatannya.
Pernah dikisahkan pada suatu hari khalifah Umar Abdul Aziz sedang menulis surat yang berkaitan urusan kerajaan maka digunakan pelita kerajaan ketika menulis surat itu. Tiba-tiba datang anaknya untuk berjumpa beliau. Lalu beliau bertanya kepada anaknya adakah kedatangannya ini atas urusan rasmi kerajaan atau urusan peribadi? Maka kata anaknya atas urusan peribadi. Kemudian Khalifah Umar memadam pelita kerajaan lalu membuka pelita miliknya sendiri lalu merekapun berurusan.
Kisah ini bukan sekadar menunjukkan kepada kita betapa kayanya keperibadian khalifah Islam ini. Bahkan kisah ini memberi kita satu kesedaran bahawa Islam memandang kepimpinan itu sebagai suatu amanah yang berat untuk dipikul. Ia bukan satu kemegahan, kebangga atau kelebihan sebaliknya amanah yang akan dipertanggungjawabkan Allah s.w.t. di akhirat kelak.
Kembali kepada permasalahan kenaikkan harga, sudah sampai masanya untuk masyarakat di negara ini dan masyarakat dunia untuk kembali kepada pemerintahan berteraskan Islam yang syumul. Semua perlu sedar bahawa pemerintahan yang tunduk kepada Allah adalah pemerintahan yang mampu membawa kesejahteraan dan keharmonian kepada masyarakat.
Pemerintah hari ini banyak menggunakan amanah yang diberi sebagai kesempatan untuk mengaut keuntungan duniawi. Tidak pelik sekiranya rakyat sesuatu negara itu jatuh miskin. Namun menjadi sesuatu kepelikan yang luar biasa apabila rakyat terus mengalami tekanan kewangan sedar penguasa tidur bersama wang didakapan. Pendek kata, rakyat miskin terus miskin, pembesar kaya terus kaya.
Cuba bezakan gaji pembesar dan rakyat marhein. Jurangnya cukup besar bahkan golongan pembesar terus disuap dengan pelbagai kemudahan eksklusif atas nama yang pelbagai. Lebih teruk dari itu, pemerintahan yang kufur kepada Allah akan menjadikan rasuah, riba, penyelewengan dan pembaziran sebagai amalan harian mereka.
Lihat sahaja hakikat pada hari ini. Apabila melibatkan golongan pembesar akan tampak jelas pelbagai pembaziran akan berlaku. Contohnya, pelbagai gedung-gedung mewah bernilai jutaan ringgit dibina semata-mata untuk ditonton orang sedang rakyat terus roboh dengan pembinaan gedung berjuta ringgit yang tidak ada manfaatnya untuk rakyat.
Namun atas nama pembangunan ia dilaksanakan sedangkan kita terlupa untuk membangunkan modal insan rakyat dari segenap aspek termasuk ekonominya. Masalah seumpama ini menjadi lebih parah dengan isu penyelewengan, riba dan rasuah.
Kesimpulannya, dunia hari ini memerlukan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz. Patuh dan taat pada Allah sehingga tidak tergamak dirinya untuk mengkhianati amanah walau dengan nilai satu sen. Khazanah negara diurus dan dipulangkan semula kepada rakyat. Dan amat tidak bertanggungjawablah dia jika rakyat menderita kesusahan sedang penguasa hidup bersenang-lenang. Akhirnya saya ulangi semula kata-kata saya di awal tadi.
"Tidaklah layak digelar pemimpin seseorang itu sekiranya dia mampu memesan makanan mahal-mahal di kedai-kedai sedang rakyat bawahannya hanya mampu pesan "PINGGAN KOSONG SATU, CAWAN KOSONG SATU".
No comments:
Post a Comment