Followers

Monday, January 24, 2011

TAUJIHAD DARI KISAH-KISAH PERJUANGAN SILAM

- ULASAN DARI KISAH-KISAH PEJUANG ISLAM ZAMAN RASULULLAH HINGGA ZAMAN KONTEMPORORI...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Segala puji bagi Allah yang memberikan kita semua dengan nikmat Iman dan Islam. Mudah-mudahan kita semua dikurniakan dengan hidayah serta keampunan dari Allah Azza Wa Jalla.

Mengkaji kisah-kisah para daie memberikan kita satu tazkirah bahawa menggalas tanggungjawab sebagai seorang pendakwah bukanlah satu tugas yang mudah. Baik melalui peribadi Rasulullah s.a.w. sebagai contoh tauladan terbaik untuk umat manusia sehinggalah kisah-kisah perjuangan dakwah zaman sahabat, tabi'ex serta golongan da'ie kontemporori. Semuanya mempunyai jalan cerita yang sama disebalik skrip yang berbeza. Cacian, herdikan, penghinaan, penganiayaan sehingga ke tahap mahu dibunuh. Itu semua adalah asam garam dalam perjuangan menyebarkan risalah dakwah Islamiyyah.

Rasulullah dicaci, dimaki, dilabel pemecah-belah masyarakat bahkan sampai mahu dibunuh oleh musuh-musuh Islam manakala sahabat seperti Bilal Bin Rabah diseksa dengan cara yang amat kejam dari sudut kemanusiaan. Golongan tabi'e dan kontemporori juga turut memahat nama-nama pejuang Islam yang bersusah payah dalam menyebarkan risalah dakwah. Misalnya Syeikh Ahmad Yassin di Palestin dan As-Syahid Hassan Al-Banna di Mesir.

Kisah-kisah yang dipaparkan dalam pelbagai kitab-kitab sirah ini seharusnya mampu mengejutkan kita dari lamunan. Pendakwah Islam hari ini perlu bangkit dan keluar daripada zon selesa. Persoalan demi persoalan perlu diajukan pada iman kita. Apakah cacian pertama kita kerana menegakkan Islam? Bilakah makian pertama kita kerana menyebarkan Islam? Pernahkah kita dilabel pemecah-belah masyarakat kerana mengajak manusia kepada agama Allah? Pernahkah kita merasa sulit kerana urusan agama Allah? 

Jika tidak itu bermakna kita masih berada di dalam zon selesa. Menikmati kesenangan hasil nikmat kurniaan Allah tanpa berusaha memerah keringat untuk gerak kerja Islam sedang Rasulullah s.a.w. hampir dibunuh kerana menyebarkan risalah dakwah.Maka, tinggal satu persoalan yang tinggal. Adakahlayak kita digelar da'ie jika realitinya kita masih berada di dalam zon selesa?

Kesimpulannya, pendakwah Islam hari ini perlu mengambil pengiktibaran daripada kisah-kisah perjuangan golongan terdahulu sebagai suatu taujihad dalam meningkatkan kualiti diri sebagai seorang da'ie. Kita perlu mula melangkah keluar dari zon selesa dan kembali kepada hakikat sebenar dunia dakwah Islamiyyah yang penuh pancaroba dan liku-liku perjuangan yang semestinya memerlukan kepada keutuhan iman dalam diri para da'ie.


No comments:

Post a Comment