Followers

Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

Monday, August 1, 2011

RAMADHAN BUKAN BULAN 'PUASA'

Ramadhan datang lagi!! Syukur kepada Allah Azza Wa Jalla yang masih mengekalkan nikmat hidup dan sihat kepada kita untuk bersama di awal Ramadhan ini. Mudah-mudahan Allah izinkan kita semua untuk tetap sihat menjalani ibadah di bulan Ramadhan 1430H.

Teringat akan kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz baru-baru ini, "Ini bukan bulan puasa tapi ini bulan Ramadhan".

Yang dimaksudkan dengan kata-kata Tuan Guru itu adalah kemuliaan Ramadhan bukanlah penghalang kepada manusia untuk terus bekerja memakmurkan muka bumi serta menegakkan Islam. Ramadhan bukan bulan 'puasa' yang memestikan kita menghentikan segala gerak kerja ke arah membebaskan manusia dari belenggu jahiliyyah moden kepada limpahan cahaya Islam yang penuh kesejahteraan.

Dikisahkan di dalam peperangan Mut'ah, Ja'afar Bin Abi Talib menyambar bendera panji Islam dari tangan Zaid Bin Harithah yang telah gugur syahid. Lantas Ja'afar berperang dengan sebelah tangan memegang pedang dan sebelah lagi menjulang bendera Islam. Dalam kekalutan perang Mut'ah datang musuh menyerang Ja'afar sehingga putus tangan kanannya namun Ja'afar tetap menjulang bendera Islam dengan tangan kirinya. Beliau diserang untuk kali kedua sehingga putus pula tangan kiri. Ja'afar rebah ke bumi dan syahid di bumi Mut'ah yang dibasahi darah syuhada.

Ketahuilah, tatkala seorang sahabat datang untuk memberikan air kepada Ja'afar dalam peperangan itu beliau menolak dan berkata, "Sesungguhnya aku sedang berpuasa"

Satu lagi kisah mashyur yang tercatat dalam sejarah Islam adalah kisah peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan. Tentera Islam seramai 313 orang yang serba kekurangan dan sedang berpuasa bertembung dengan 1000 tentera kafir Quraisy yang serba lengkap persenjataan mereka. Namun berbekalkan keimanan dan kebergantungan tinggi kepada Allah, Islam pulang dengan kemenangan.

Kisah-kisah ini adalah satu taujihad kepada generasi hari ini bahawa Ramadhan bukan bulan untuk kita berpuasa dari sudut gerak kerja, meninggalkan kerja-kerja Islam mahupun mengendurkan langkah kita. Ramadhan bukan bulan untuk kita berpuasa dari bermusyawarah mengatur strategi Islam, atau puasa berprogram mahupun berpuasa menuntut ilmu dan kerja-kerja lain.

Sejarah Islam telah membuktikan Ramadhan adalah bulan yang cukup bersejarah dengan peristiwa kejayaan Islam seperti peperangan Badar Al Kubra, peristiwa pembebasan Kota Makkah serta perluasan kuasa Islam ke Andalusia pada 91H. Semuanya berlaku pada bulan Ramadhan.

Kesimpulannya, puasa bukanlah alasan untuk manusia menghentikan atau mengendurkan langkah perjuangan mereka. Sebaliknya Ramadhan ini adalah kesempatan untuk manusia memacu dengan lebih laju segala kebaikkan kerana kejahatan syaitan dan iblis telah dibelenggu di dalam api neraka. Wallahua'lam.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN!!!
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA!!!
DAN IBADAH-IBADAH YANG LAIN!!!
ALLAHUAKBAR 3X!!!


Sunday, April 17, 2011

GERAKAN ISLAM PERLU BERSTRATEGI

"Dan siapkanlah segala kemampuan dari pasukan berkuda yang siaga ditambat dengannya (supaya) kamu mampu menggertak musuh-musuh Allah dan musuh kamu serta kelompok lain (munafik) yang tidak kamu ketahui, tetapi Allah mengetahui...."
(Surah Al-Anfal ayat ke-60)

Demikian firman Allah yang Maha Benar lagi penuh dengan hikmah untuk mereka yang berfikir. Sesungguhnya kalam-kalam Allah sentiasa menitip aturan yang penting untuk diikuti setiap hamba-Nya untuk kelangsungan hidup manusia yang sejahtera. Bukankah Allah itu pencipta dan manusia itu 'barang ciptaan'-Nya. Justeru hanya Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia.

Dalam bait-bait kalimah yang tersusun indah di dalam Al-Quran, Allah swt turut menyertakan disiplin tingkah yang perlu dipatuhi oleh pejuang Islam. Antaranya adalah ayat Surah Al-Anfal di atas.

Pergerakan Islam perlu berstrategi. Hal ini merupakan salah satu disiplin yang wajib dipatuhi jamaah Islam dalam mengharungi perjalanan perjuangan yang penuh dugaan. Malangnya, jemaah Islam hari ini amat lemah dalam mengatur persediaan dan merencana strategi. Maka, harakah Islam terpaksa menerima hakikat perjuangan "sesungguhnya kebatilan berstrategi akan menewaskan kebenaran tanpa berstrategi".

Allah swt mengeluarkan bijih hikmah dari kekalahan tentera Islam di medan jihad Uhud. Tidak mustahil, Rabbul Azza Wa Jalla sedang mentarbiyah tentera-tentera Islam tentang kepentingan berstrategi. Tentera-tentera Islam yang leka dengan arahan strategi oleh Rasulullah telah ditewaskan oleh tentera musuh yang ketika itu hampir kalah. Tentera musuh berundur seketika dan Khalid Al Walid yang memimpin tentera musuh ketika itu menyusun kembali strategi lalu meyerang tentera Islam. Akhirnya Islam tewas dan Rasulullah saw tercedera.

Pergerakan islam hari ini perlu benar-benar menghadam mesej sebenar ketentuan Allah melalui peristiwa Uhud ini. Jamaah Islam perlu berstrategi berdepan musuh Allah.

Realiti hari ini, harakah Islam di Malaysia masih sambil lewa dalam mengambil iktibar dari kelemahan yang lalu. Contoh terbaru adalah isu borang 14 dalam PRU DUN Sarawak yang menjadi antara faktor kekalahan PR. Isu ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya hampir setiap kali pilihan raya akan timbul perkara seumpama ini. Bagi mereka yang dekat dengan proses pengundian tersebut akan percaya kerana mereka sendiri pernah melaluinya. Namun majoriti rakyat pasti akan melihat ini sebagai suatu usaha memburukkan imej pihak tertentu. Akhirnya isu ini menjadi senjata perang saraf pihak lawan.

Isu borang 14 ini pernah berlaku di Larut pada PRU ke-12 yang lalu. Juga dalam beberapa Pilihan Raya lain namun gerakan Islam seakan gagal mencari penyelesaian untuk masalah ini. Kadang-kala, isu seumpama ini timbul disebabkan ketidakcekapan pejuang Islam itu sendiri. Akibat daripada persediaan yang longgar, banyak perkara yang dianggap remeh tetapi penting diberi perhatian yang sambil lewa sahaja. Natijahnya, fitnah untuk perjuangan Islam.

Isu borang 14 itu adalah salah satu episod kelonggaran persiapan yag berlaku dalam merencana strategi bagi harakah Islam. Banyak lagi perkara-perkara lain yang membuktikan perancangan strategi pergerakan Islam yang masih lemah khususnya di peringkat pelaksanaan. Akan tetapi, penulis percaya usaha ke arah pembaikkan sedang berjalan. Semua sedia maklum "kegemilangan kota Rom tidak dibina dalam satu hari" bahkan "Islam itu juga diturunkan secara berperingkat" kerana ia sememangnya suatu proses panjang yang perlu dilalui.

Kesimpulannya, penulisan ini ingin mengajak semua pejuang Islam untuk bermuhasabah dalam segenap aspek perjuangan, mengasah setiap potensi dari disiplin ilmu berlainan yang wujud dalam diri pejuang untuk diadun bersama membentuk strategi perjuangan yang mampu menumbangkan musuh Islam dan musuh pejuang-pejuang Islam. Mudah-mudahan bermanfaat.


"Kebenaran berstrategi akan menewaskan kebatilan walau bagaimana kuat sekalipun kebatilan itu. Sesungguhnya Allah bersama perjuangan yang penuh berstrategi dan Allah itu Maha Kuat."


Saturday, March 26, 2011

POLITIK FITNAH DI MALAYSIA - SUATU KAJIAN ILMIAH

Muktahir ini negara digemparkan dengan pelbagai isu politik yang menghangatkan lagi pertembungan antara dua parti seteru di negara ini. Natijah daripada penyakit cintakan dunia yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin berakidah sekular, pelbagai cara dilakukan semata-mata untuk memastikan diri  terus berkuasa meskipun terpaksa bergelumang dengan dosa besar fitnah.
   
Menyingkap semula fakta yang tersimpan di dalam lipatan sejarah, kewujudan politik fitnah di negara ini bukanlah sesuatu yang baru. Hakikatnya, negara telah lama dihidangkan dengan adegan politik fitnah yang cukup mengaibkan khususnya kepada individu yang terlibat secara langsung dan menjadi mangsa kepada politik fitnah di negara ini. Bahkan, bukan sekadar individu yang terkesan dengan permainan politik fitnah malah Islam dalam sejarah di Malaysia juga pernah dimangsakan oleh pemain-pemain politik fitnah di Malaysia.

Bukan sesuatu yang mudah untuk membuat satu unjuran secara tepat di manakah tapak bercambahnya budaya politik fitnah ini. Namun penulis lebih berpendapat bahawa kemerdekaan yang dicapai negara merupakan suatu bentuk politik fitnah dengan Islam menjadi mangsa pertama kepada gerakan sekularisme berpandangan barat. Islam diisytihar sebagai agama rasmi namun definisi Islam di dalam perlembagaan bukanlah dirujuk kepada hakikat Islam sebenar sebaliknya definisi yang digunakan untuk mentafsir perkataan "Islam" di dalam perlembagaan diceduk dari kamus pemikiran sekular yang ditaja kelompok yahudi dan musuh-musuh Islam. Dalam keadaan separa sedar, saban tahun kita meraikan politik fitnah sulung di Malaysia dengan Islam dimangsakan golongan yang rakus dengan keduniaan ini.

Untuk menceritakan satu persatu kisah politik fitnah di negara ini mungkin memerlukan ruang yang lebih luas. Cukuplah penulis hadirkan di dalam artikel ini beberapa contoh kisah politik fitnah yang pernah memanaskan senario politik negara.

Tahun 80an menyaksikan negara menukil satu kisah pilu dalam sejarah politik Malaysia gara-gara politik fitnah di bawah kepimpinan pemimpin yang disifatkan paling zalim dalam barisan kepimpinan yang pernah menerajui bahtera sekularisme di Malaysia. Isu memali merupakan rentetan daripada fitnah yang dibawa parti sekular apabila melihat gerakan pencerahan semakin menampakkan kesan dari sudut penerimaan rakyat.

Ustaz Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Ibrahim Libya telah menjadi sasaran fitnah berikutan kuliah-kuliahnya yang menjelaskan batas-batas iman dan kufur mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat Islam ketika itu. 

Bingung dengan perkembangan negatif (bagi golongan sekular) itu mereka memulakan gerak kerja politik fitnah dengan melabelkan Ustaz Ibrahim Libya bersama para daie yang lain (antaranya Ustaz Abdul Latif Mohamad di Besut) sebagai membawa ajaran neo-khawarij serta dituduh membawa perpecahan kepada umat Islam dengan mengkafirkan sesama umat Islam. Hakikatnya mereka hanya memberi penjelasan tentang batas-batas akidah dalam Islam. Kemuncak politik fitnah ini adalah kekecohan yang berlaku di Baling atau dikenali sebagai Tragedi Memali telah meragut nyawa As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya bersama lebih 1 000 para syuhada yang lain (AL-FATIHAH).

Untuk rekod, permainan politik fitnah secara kecil-kecilan paling banyak dilakukan ketika kempen pilihanraya baik pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum. Pernah dalam satu pilihanraya Umum fitnah ditabur khususnya kepada masyarakat bukan Islam kononnya semua dari mereka akan dipotong tangan atau disunatkan sekiranya Islam menang dan memerintah Malaysia. Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk menjayakan serangan fitnah ini termasuk mencetak beribu-ribu risalah bergambar dan berwarna yang menunjukkan Tok Guru sedang memegang parang berdarah sambil mengejar lelaki cina. Satu fitnah terhadap hakikat Islam yang sememangnya menjadi penghalang kepada kebenaran Islam dengan masyarakat non-muslim.

Pasca PRU 2008 memperlihatkan kawasan penguasaan kelompok sekular mengcil apabila terlepas 5 negeri kepada lawan politik. Maka, bermula dari saat pertama pelbagai serangan fitnah membabitkan individu, binatang, perkauman malah agama juga.

Di Selangor, golongan sekular laknatullah ini pernah memainkan isu babi. Selangor dilabel sebagai negeri yang cuba menjadikan babi sebagai penduduk negeri kerana jumlah binatang itu yang banyak. Tetapi fitnah tetap fitnah. Hujah yang mematikan segala langkah mereka apabila didedahkan jumlah yang luar biasa banyak itu adalah warisan dari kerajaan sekular terdahulu. Ketika fitnah dilancarkan, kerajaan Selangor baru berusia 3 bulan. Andai kata semua khinzir di Selangor pada ketika itu bunting, anak benihnya pun masih belum dilahirkan lagi. Bermakna, jumlah yang ada merupakan jumlah sedia ada yang ditinggalkan kerajaan dahulu.

Di Perak, gerakan Islam difitnah sebagai tunduk kepada sahabat siyasi iaitu sebuah parti yang diketuai ramai pemimpin-pemimpin cina. Haji Nizar Jamaluddin dituduh tunduk kepada kehendak pemimpin-pemimpin cina. Tetapi rakyat Perak bijak menilai. Pemimpin yang dikatakan mengawal pentadbiran Haji Nizar itu adalah antara pemimpin paling lantang menyuarakan hak orang Melayu walaupun berketurunan cina. Pernah dalam satu sidang dewan, Ngeh Koo Ham (pemimpin yang dimaksudkan) bangun dan meminta bantuan dari kerajaan negeri kepada sekolah agama rakyat di negeri itu dinaikkan dua kali ganda berikutan keadaan sekolah agama yang kritikal kesan daripada dipinggirkan pada zaman sekularisme.

Seorang lagi pemimpin iaitu Nga Kor Ming juga adalah antara yang paling lantang di Dewan Undangan Negeri dalam isu tanah rezab orang-orang Melayu yang telah digadaikan pemimpin-pemimpin sekular dahulu. Malah, beliau merupakan pemimpin yang membongkarkan realiti tanah rezab Melayu yang dijual kepada tauke-tauke Cina kaya serta kroni-kroni kerajaan terdahulu.

Bukan setakat dalam negara, politik fitnah tajaan pemimpin sekular di Malaysia turut menyerang individu di luar negara. Contohnya anak kepada Tuan Guru Nik Aziz iaitu Ustaz Nik Abduh Nik Aziz sehingga beliau pernah merasa 'nikmat' dipenjara tanpa sebarang sabitan kesalahan yang jelas. Sehingga hari ini beliau masih belum mengetaui kesalahan beliau dan bukti beliau bersalah.

Kedah, Pulau Pinang dan suatu ketika dahulu Kelantan juga mengalami perkara yang sama. Tetapi watak paling utama yang menjadi mangsa politik fitnah ini adalah Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Bermula dengan adegan fitnah 1 pada 1998, seterusnya konspirasi fitnah 2 dan terkini konspirasi fitnah 3 yang cukup mengaibkan perbadi beliau.

Secara ringkas, adegan fitnah 1 bermula apabila DSAI dilihat tidak boleh menjadi regu kepada kepimpinan Tun M. Tambah menggetirkan apabila DSAI menghidu perbuatan mengkayakan kroni oleh kepimpinan sekular ini khususnya apabila beliau memangku jawatan Perdana Menteri selama 3 bulan sebelum beliau dipecat. Akhirnya plan konspirasi 1 dijalankan dan akhirnya DSAI meringkuk di dalam penjara dengan 1001 persoalan yang tidak dijawab berkaitan kes beliau.

Episod fitnah 2 pula direncana dengan skrip yang sama cuma pelakon yang berbeza. Skrip serta jalan cerita fitnah 2 yang hampir sama dengan fitnah episod 1 menyebabkan kelemahan perancangan rencana fitnah tersebut juga hampir sama. Beberapa fakta yang mengelirukan dalam kes ini antaranya keengganan pihak polis mengambil keterangan Hasanuddin dan isteri yang merupakan alibi kukuh DSAI dalam kes ini.

10 lagi DNA yang dikesan di seluar dalam Saiful (pelakon S) juga tidak diselidik milik siapa. Yang difokuskan adalah DNA milik lelaki Y sahaja. Tambahan lagi, pengakuan pelakon S yang berubah-ubah apabila mengatakan dia diliwat secara paksa sedang kes dibaca dengan peruntukkan hubungan luar tabie, liwat secara rela. Kenyataan dia menemui DSNR untuk mendapatkan nasihat juga agak meragukan. Rapatnya dia dengan musuh politik DSAI itu.

laporan forensik HKL
Lawak fitnah 2 juga berlaku apabila Saiful mengatakan duburnya tidak dicuci dari hari dia kononnya diliwat sehingga hari dia melakukan pemeriksaan. Bahkan tindakan menggelapkan laporan forensik HKL yang mengatakan dia tidak diliwat juga agak meragukan. Hakikatnya, kes yang semakin sampai ke penghujung ini mempunyai keraguan yang banyak sama seperti episod fitnah 1.

Merasakan 'filem' fitnah ini tidak dapat memukau pandangan rakyat yang semakin jelik dengan fitnah politik maka satu lagi 'filem' fitnah dirancang untuk menjatuhkan DSAI dari pentas politik Malaysia. Awal-awal lagi DSAI menyatakan "LAWAN TETAP LAWAN". Jika dahulu fitnah DSAI adalah lelaki dengan lelaki kali ini mereka menggunakan kreativiti dengan menfitnah DSAI dengan wanita pula.

Malangnya episod fitnah 3 ini lebih besar lubang bohongnya. Dalam masa beberapa hari sahaja pelbagai kenyataan bercanggah dikeluarkan pihak yang dikenali dengan Datuk T. T bermaksud trio iaitu gabungan pimpinan UMNO yang mempunyai dendam kesumat secara langsung dengan DSAI iaitu Dato Rahim Thamby Chik yang pernah dikaitkan dengan kes rogol sehingga menyebabkan Lim Guan Eng dipenjara di ISA kerana membela wanita Melayu yang dizalimi itu. Kedua adalah watak Datuk Shazky Ezray Abdullah yang mirip wajah DSAI dan dipercayai wajah di dalam video fitnah tersebut dan ketiga ialah Datuk Shuib Lazim, bendahari PERKASA yang diketahui menjadi barua kepada parti sekular.

Walaupun skrip telah dirombak namun adegan fitnah 1 dan 2 iaitu penuduh (dalam fitnah 3 Datuk T) berjumpa DSNR masih tidak di'trim'. Mereka dilaporkan bertemu DSNR sebelum menayangkan video ini di Parlimen. Kenyataan meragukan mengenai jam Omega serta cara mereka menemui video ini juga meragukan. Malah, kenyataan bercanggah pada dua hari berlainan mengenai tarikh sebenar mereka mengetahui isi kandungan video ini juga menimbulkan keraguan besar.

Ketika menayangkan video kepada wartawan (Isnin) Datuk Shazky mengatakan dia mendapati perakam tersebut merakam aksi seks ketika membawa perakam itu keluar dari Hotel Carcosa selepas kononnya mencari jam Omega milik Anwar. Kenyataan bercanggah dikeluarkan pada sidang media bersama Datuk Rahim Thamby Chik (selasa) apabila dia mengatakan dia hanya mengetahui isi perakam tersebut seminggu lalu.

Ditanya penglibatan Datuk Rahim Thamby Chik dalam kes ini, Datuk Shazky mengatakan dia menghubungi Datuk Rahim untuk mendapatkan hotel yang mempunyai kawalan keselamatan tanpa melibatkan polis. Malah dia juga membuat kenyataan bahawa dia menghubungi Datuk Rahim Thamby Chik kerana beliau memerlukan bantuan mencari hotel sedemikian kerana beliau bukan orang Kuala Lumpur tetapi orang Kedah. Sesuatu yang aneh kerana Datuk Shazky seorang jutawan dikenali sebagai individu yang sering berurusan di Kuala Lumpur dan mempunyai hubungan rapat dengan media-media asing.

Dari sudut keraguan video pula terdapat beberapa perkara yang meragukan seperti;

1. Pada awal rakaman, terdapat seorang lelaki lain yang sedang menguruskan rakaman video pada ketika orang yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim masuk ke dalam bilik. Sewajarnya orang itu (yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim) sedar bahawa perlakuannya akan dirakam. Mustahil sesiapa yang waras akan melakukan adegan sedemikian kecuali dia diupah.
2. Tempoh masa rakaman yang menunjukkan muka si pelaku adalah terlalu pendek. Ditambah dengan rakaman yang dibuat di dalam hitam putih; menyukarkan untuk betul-betul mengesahkan identiti si pelaku.
3. Bahu si pelaku terlalu lebar dan tegap berbanding bahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
4. Bahagian belakang si pelaku (punggung) juga berisi dan jelas berbeza dengan tubuh badan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
5. Di akhir adegan, si pelaku bangun dan tubuh badannya dirakam dengan jelas. Perutnya adalah buncit dan terlalu besar jika dibandingkan dengan perut Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
6. Warna kulitnya adalah terlalu cerah dan hampir tidak dapat dibezakan dengan warna kulit wanita terlibat

Fakta diatas disokong oleh salah seorang pimpinan tertinggi Syarikat Akhbar The Star yang diketahui bermusuh hebat dengan DSAI.

Cerita fitnah 3 ini baru bermula tatkala fitnah 2 semakin tiba ke penghujung. Dalam jangka waktu terdekat ini penulis yakin pelbagai perkara aneh akan berbangkit. Dari pemerhatian penulis isu ini merupakan cara blok sekular mengalihkan tumpuan tatkala berdepan rakyat dalam PRU ke-13 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Seorang sahabat dalam mesejnya kepada saya berkata "Mereka semakin kejam. Sahabat semua, adakah kita hanya berdiam dengan fitnah terang-terangan ini. Pemimpin zalim dan kaki fitnah ini perlu disanggah dan dinyahkan dari kepimpinan negara. Ayuh sahabat BANGKIT!!"

Walau bagaimana hebatpun perancangan manusia ketahuilah perancangan Allah Maha Hebat. Penulis tinggalkan pembaca semua dengan firman Allah;

"...Ketahuilah fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan..."
(Surah Al-Baqarah ayat 191)


Monday, March 7, 2011

PERLAKSANAAN HUDUD: PERSPEKTIF ISLAM DAN PERLEMBAGAAN

Beberapa hari kebelakangan ini, blogger-blogger sekular cenderung memainkan isu pelaksanaan hudud di negeri-negeri yang telah berjaya dimerdekakan harakah Islam. Golongan ini mencanangkan bahawa cita-cita untuk menegakkan hukum Islam hanyalah suatu retorik untuk mendapatkan sokongan. Yang pasti tindakan mereka ini mencerminkan kecetekan penguasaan ilmu agama terutama sekali fiqh aulawiyat serta kemampuan mengaitkan situasi semasa dengan peruntukkan perlembagaan negara.

Pertamanya, tindakan blogger-blogger blok mungkar yang ditaja pihak tertentu ini umpama "si pencuri menasihati orang lain supaya jangan mencuri". Analogi lain yang boleh diguna umpama "orang tidak solat suruh orang pergi solat". Sesuatu yang aneh yang sememangnya menjadi tabiat golongan ini yang sentiasa mencari jalan menghina dan menjatuhkan perjuangan Islam.

Hakikatnya setelah dinilai secara teliti mengikut garis agama dan keutamaannya ketika ini, terdapat pelbagai faktor besar yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam (hudud) termasuk di negeri-negeri yang dikuasai oleh gerakan Islam. InsyaAllah, saya akan menghuraikan salah satu faktor terbesar yang menghalang pelaksanaan hukum tersebut.

Sememangnya melihat kepada peruntukkan undang-undang yang ada setiap kerajaan negei mempunyai hak untuk melaksanakan hukum hudud berikutan kuasa agama yang terletak pada kerajaan negeri. Tetapi, masih ada satu halangan besar lain yang menjadikan pelaksanaan hudud di negeri-negeri bukan lagi satu keutamaan Islam dalam konteks semasa.

Kuncinya adalah FITNAH AGAMA. Halangan terbesar adalah beberapa peruntukkan dalam perlembagaan terutama sekali perkara 75 perlembagaan Malaysia iaitu;

Perkara 75. Ketidakselarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang Negeri.
Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.

Persoalannya di sini, apa kaitan peruntukkan perlembagaan di atas dengan fitnah terhadap agama Islam?

Untuk lebih jelas, saya hadirkan dalam tulisan ini satu contoh yang akan berlaku sekiranya undang-undang Hudud dilaksanakan. Misalnya, berlaku satu kes kecurian dan kes tersebut dibawa ke mahkamah syariah dan dihakimi dengan undang-undang Islam. Setelah cukup kesemua syarat dan perkara yang mensabitkan kesalahan maka si pesalah pun dihukum mengikut hukum hudud diatas kezaliman yang dilakukan.

Walaubagaimanapun, sesuatu perlu kita sedari bahawa kedudukan mahkamah syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sekaligus berada di bawah hierarki kehakiman yang lain sepeti mahkamah tinggi, mahkamah sivil dan mahkamah persekutuan. Jangan lupa, mahkamah bertunjangkan isme manusia ini juga mempunyai peruntukkan dalam kes-kes jenayah seperti kesalahan mencuri yang dijadikan contoh tadi.

Hal ini bermakna, pihak defendan boleh mengemukakan rayuan di mahkamah sivil atau membawa kes mereka ke mahkamah yang lebih tinggi. Secara tidak langsung, keputusan di mahkamah syariah boleh dibatalkan sekiranya mahkamah tinggi atau mahkamah persekutuan menjatuhkan hukuman berdasarkan kepada prinsip yang terkandung di dalam perkara 75 perlembagaan Malaysia.

BUKANKAH ITU AKAN MENJADI SATU FITNAH BESAR KEPADA ISLAM? Hukum Islam yang datang dari Allah bisa diketepikan oleh undang-undang manusia yang diciptakan Allah. Ini jelas satu penghinaan besar terhadap agama Islam. Amat tidak layak Allah yang Maha Besar tunduk pada undang-undang ciptaan manusia. Allah itu Maha Besar.

Mendalami kefahaman tentang keutamaan dalam Islam, dalam perkara ini jelas kita perlu melihat kepada maslahah serta kesan yang bakal ditinggalkan dengan pelaksanaan hudud terhadap Islam. Mudahnya, keutamaan ketika ini bukanlah pelaksanaan hudud tetapi adalah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan pusat supaya Islam dapat diletakkan sebagai 'tuan' menunjangi dasar negara.

Hakikat hari ini Islam hanya dipandang setaraf dengan Majlis Perbandaran (Majlis Agama Islam) atau setaraf Jabatan Kerja Raya (Jabatan Agama Islam) atau setaraf Institut Jantung Negara (Institut Kefahaman Islam) walhal Islam sepatutnya diletakkan di tempat paling atas sebagai dasar ke arah pembinaan negara.

Kesimpulannya, bukan tidak mahu dilaksanakan hudud di negeri-negeri tersebut. Hakikatnya harakah Islam yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan sentiasa meneliti setiap aspek dalam menentukan sikap dalam sesuatu perkara. Mudah-mudahan tulisan ini dapat menangkis segala tohmahan busuk hati yang dilemparkan terhadap perjuangan suci Islam. ALLAHUAKBAR!!!


- Tulisan ini adalah hasil kajian peribadi penulis. Copy paste untuk penyebaran amat dialu-alukan. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah kepada kita semua untuk terus teguh pada jalan agama-Nya.


Saturday, February 26, 2011

BOB LOKMAN - ASKAR BARU PERJUANGAN ISLAM

ALHAMDULILLAH Setelah aku melalui segala jalan syahwat, ALLAH memberikan aku gambaran AKHIRAT. Maka aku mula berjalan mencari kebenaran dan semalam 16 Rabi'ul awal, aku melangkah masuk kedalam gerbang hijau yg bertonggakkan Ulama' yg sangat ditakuti oleh pencinta dunia.

Mengalir airmata bila borang ahli disambut oleh DS Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah. Biar pun aku bukan sesiapa dikalangan orang PAS, tapi aku dapat merasakan kehangatan persaudaraan yg dihulurkan oleh mereka.
Aku menjadi insaf dikalangan anak2 muda PAS yg rugged tapi ikhlas dalam perjuangan dan aku merasa amat malu diperhatikan oleh mereka bilamana aku merasa seperti seluruh hidup aku sebelum ini diselubungi syahwat keduniaan hingga aku merasa aku teramat tua dikalangan mereka. Terlintas juga dibenak ku, mungkin kerana anak2 muda inilah orang bijak pandai seperti Mahathir menolak PAS.

Biarlah tua, biarlah bertongkat, tapi sekarang aku tahu ALLAH maha pengampun dan penyanyang. Maka oleh kerana itu aku akan patuh kepada kehendak ALLAH dalam ayat 104 Surah Aali-Imran. PAS akan aku jadikan wadah perjuangan utk mempopularkan ALLAH kepada mereka yg belum kenal akan kekuasaanNYA. Aku jadi insaf betapa aku yg lahir dalam keluarga Islam keturunan Ulama', terabai dengan kefahaman Islam yg pernah diterapkan kedalam jiwaku. Apatah lagi mereka yg tidak pernah tahu mengenai Islam, bagaimana mereka akan merasa takut pada ALLAH. Utk itu sekali ini aku akan terus bercerita kepada sesiapa sahaja sesuatu yg membuatkan mereka bertaqwa kepada ALLAH.

Lagikan setiap ibu bapa sayangkan anak2 yg dilahirkan, inikan pula ALLAH yg menciptakan kita dan segalanya. Biar pun Iblis dan yahudi memang dilaknat oleh ALLAH, namun satu masa dahulu mereka adalah hamba ALLAH yg baik. selepas itu dengan takdir ALLAH mereka dijadikan sebagai contoh buruk kepada sesiapa yg tidak bertaqwa kepada ALLAH. Ini Kuasa ALLAH. kalau tiada keburukan kita tidak pandai menilai kebaikan sebagai mana kalau tiada ketaqwaan maka tiadalah kita mengerti bahawa ALLAH itu maha diatas segalanya.

Hari ini  bila jiwa berada didalam PAS, ada satu semangat baru yg membuatkan aku berfikir mengapa ALLAH menjadikan aku. Pagi tadi bila ada member2 yg bertanya, mengapa aku menganut PAS, aku tahu bahawa aku sudah diterima utk bekerja oleh ALLAH. Inilah masanya untuk berubah dan mengubah sebahagian besar kenalan, kepada jalan baru bagi mereka yg fasiq.

Belum ramai yg menerima Islam sebenar. Kalau tidak sudah tentu Malaysia diperintah oleh Ulama'. Masalahnya siapa yg Islam dalam orang Melayu? Utk mereka yang mencari jawapan bacalah Sirah Rasulullah berulang kali, maka kita akan nampak siapa Abu Bakar, siapa Abu Jahal dan siapa Abdullah bin Ubai dalam bangsa Melayu. Kerana itulah aku memohon utk masuk PAS. Lepas ni kita akan baca ada yg marah dgn apa yg aku kata. Itu biasa, sebagaimana ada orang yg marahkan harimau membunuh lembu.

Ini kerana kita tidak mengerti SUNNATULLAH. Kalau kita susah di dunia, kita lupa bahawa itu kehendak ALLAH, apatah lagi bila kita mewah.

Sudah berkali-kali PAS kalah dalam pilihanraya. Memang susah nak menang kerana ini bukan perang Badar dimana Malaikat juga turun berperang dengan perintah ALLAH. Janganlah mengharapkan Malaikat turun beratur dipusat2 mengundi yg diadakan oleh suruhan jaya pilihan raya yg tidak mengikut suruhan ALLAH. Ini demokrasi omputeh yang memberikan peluang kemenangan kepada org yg mempunyai syahwat duniawi.

Kerana itu perlunya kita memperkenalkan Islam adalah sistem terbaik utk mentadbir dunia kepada manusia Malaysia. Ini adalah kerana ramai manusia lupa bahawa ALLAH yg mencipta dunia dan hanya hukum ALLAH sahaja yg sesuai dilaksanakan. Mereka yg menolak selalunya mereka yg tidak tahu apa hukum ALLAH.

Selalunya mereka ditakutkan oleh yahudi yg memang mengetahui apa isi Al Quran dan mereka telah tahu lebih awal melalui Taurat bahawa Islam itu perfect dan mereka tidak mahu kita menjadi ummat Muhammad. Maka kita akan luput dari mendapatkan Syufaat Rasul dipadang Mahsyar nanti.

Dan kali ini aku bersedia utk berjuang dengan PAS, dan aku bersedia untuk kalah setelah menjalankan segala syarat2 perjuangan.

YA ALLAH, BERIKAN KEMENANGAN KEPADA PAS, SEKIRANYA MEREKA LAYAK UNTUK MENERIMA HADIAH KEMENANGAN DARI MU, DEMI ISLAM BERKEMBANG SUBUR DI BUMI MALAYSIA YG DULU TERIKAT DGN PERIKATAN DAN KINI KAKU DALAM BARISAN.

- Karya hati ikhlas seorang sahabat baru...ASKAR BARU PERJUANGAN ISLAM, Mohd Hakim Bin Lokman (Bob Lokman)

Wednesday, February 2, 2011

BERTUDUNGLAH WAHAI PUTERIKU - SANA SINI SITU TUHAN KITA TETAP ALLAH!!

Firman Allah;

"Wahai Nabi! Perintahkanlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta kaum wanita yang beriman supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup tubuh (semasa mereka keluar). Cara begini lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik-baik). Dengan itu mereka tidak akan diganggu." - (Surah Al-Ahzhab ayat 59)

Baru-baru ini saya dikejutkan dengan hakikat wanita Islam yang wujud di ketika ini. Umpama Tuhan itu bertempat bagi mereka. Seperti kematian itu sesuatu yang dapat ditentukan manusia. Lihatlah gambar di sebelah. 

Antara kandungan di bahagian bawah "I know some of u could hate me coz my personality...Maybe I Study at Islamic College, wear a Tudung...Waahha...kat luar x pakai tudung...! Well, I don't want to be a hyprocrite person who wear a Tudung tanpa kerelaan hatinya. In College I just patuh pada peraturan saja. Wahahah..."

Nauzubillah....Ape semua ini...?

Beberapa tahun lalu ada kajian dari pelajar Islam di Mesir tentang kesedaran umat Islam terhadap Islam di Malaysia. Banyak perkara di kajian untuk menjadi penyelesaian terbaik terhadap semua permasalahan termasuk isu aurat.

Kajian itu menyimpulkan bahawa masih ramai wanita Islam di Malaysia yang jahil tentang pemakaian tudung atau lebih tepatnya lagi menutup aurat. Ada yang bertudung tapi tetap mendedahkan aurat. Pakaian ketat, jarang atau terdedah di tempat-tempat lain. Wanita Islam tidak faham atau pura-pura tidak faham?

Belum sampai seru? Itu antara jawapan popular bila bercakap isu tudung. Dalam kata lain masih belum dapat hidayah Allah. Benarkah? Habis tu ayat Al-Quran diatas tu untuk siapa? Bukankah itu seru dari Tuhan Yang Mencipta. 

Hakikat hidayah terbahagi kepada dua. Hidayah Dilalah dan hidayah taufiq. Hidayah dilalah mrangkumi bimbingan atau petunjuk ke arah kebenaran. Ia dari Allah tetapi melalui pengantara manusia manakala hidayah taufiq mutlak dari Allah tanpa pengantara kepada hamba-Nya. Fikirkan kembali, tidak adakah di dunia ini sejak kita hidup hingga mati yang mengingtakan kita pada kewajiban bertudung dan menutup aurat? Jika tidak saya nyatakan di sini kepada semua wanita-wanita Islam. BERTUDUNGLAH WAHAI PUTERIKU!

Ada juga yang berkata "Iman itu letaknya di hati." Kekeliruan ini berlaku disebabkan penafsiran oleh bukan ahli terhadap sabda Rasulullah s.a.w.

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada paras rupa dan harta kekayaanmu. Tetapi DIA melihat hati-hati dan amalan kamu semua."

Pengarang kitab Nuzhat Al-Muttaqin berkata hadis ini menunjukkan bahawa pahala bergantung kepada keikhlasan hati, ketulusan niat, hati sentiasa terjaga dari menyeleweng dan bersih dari segala sifat tercela yang dimurkai Allah. Ulasan ini terdapat di setiap huraian buku-buku akidah kecuali yang tersesat dari pegangan Sunnah Wal Jamaah. Jelas tidak tepat langsung jika kita megatakan tudung itu bukan satu isu.

Keimanan seseorang itu ditentukan Allah berdasarkan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah. Hati yang bersih dan tunduk pada Allah akan memancarkan cahaya iman melaui lisan dan perbuatan manakala hati yang penuh bintik kekotoran akan memperlihatkan keburukan melalui lisan dan perbuatan.

Kesimpulannya, bertudung ini bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng. Ia satu isu besar. Tudung menjadi satu simbol yang membezakan wanita Islam dan wanita kafir. Jadi menutup aurat merupakan perkara besar bagi wanita Islam. Bukan setakat cantuman urat-urat benang. Tudung lambang kepatuhan seorang muslimat terhadap Allah s.w.t. 

Maka, Bertudunglah Wahai Puteriku!! Di kolej atau di rumah, kedai runcit hingga kedai mamak, sana sini situ TUHAN KITA TETAP ALLAH AZZA WA JALLA!!


Saturday, January 8, 2011

PINGGAN KOSONG SATU, CAWAN KOSONG SATU

"Tidaklah layak digelar pemimpin seseorang itu sekiranya dia mampu memesan makanan mahal-mahal di kedai-kedai sedang rakyat bawahannya hanya mampu pesan "PINGGAN KOSONG SATU, CAWAN KOSONG SATU". - Nurhafizul Badrul Hisham

Taqwim 2010 telah melabuhkan tirainya. Bermula tahun baru 2011 dengan setiap dari rakyat Malaysia memasang azam yang semestinya menginginkan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini. Malangnya, saban tahun rakyat dipaparkan dengan adegan yang kurang menyenangkan hati. Apa lagi kalau bukan isu KENAIKKAN HARGA!

Tidak dapat dinafikan isu kenaikkan harga barang-barang keperluan harian pada hari ini umpama sudah menjadi badi kepada masyarakat negara ini. Natijahnya, negara hari ini memperlihatkan keadaan rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Dari situ bermulalah rantaian masalah-masalah lain seperti peningkatan jenayah, sosial dan sebagainya.

Peningkatan harga minyak petrol baru-baru ini menambahkan lagi tekanan tersebut di awal tahun baru ini. Dan tatkala ini rakyat sudah melihat samar-samar kemungkinan harga minyak masak juga akan dinaikkan berikutan krisis minyak masak yang berlaku. Seperti satu kebetulan, kitaran jalan cerita ini berlaku setiap tahun yang akhirnya membawa kepada kenaikkan harga. Cuma objek dan barangnya sahaja berbeza.

Persoalannya, benarkah peningkatan harga ini benar-benar tidak dapat dibendung lagi? Benarkah masyarakat di negara ini perlu menerima hakikat bahawa yang ada di hujung jalan dalam isu ini adalah jalan mati? Jalan buntu.
Saya teringin berkongsi akan suatu kisah tentang seorang khilafah Islam terkemuka, Khalifah Umar Abdul Aziz. Kehebatannya saya pasti ramai yang sudah mengetahui malah keperibadian beliau dikagumi oleh masyarakat bukan Islam dunia.

Menyingkap sejarah pemerintahan beliau, dapatlah dirumuskan bahawa kunci kepada kejayaan cemerlang pentadbiran beliau adalah Islam yang sejati. Dalam tempoh pemerintahannya yang singkat, beliau berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat sehingga ke tahap menimbulkan kesukaran untuk mencari sang fakir yang layak menerima zakat. Begitulah kehebatannya.
Pernah dikisahkan pada suatu hari khalifah Umar Abdul Aziz sedang menulis surat yang berkaitan urusan kerajaan maka digunakan pelita kerajaan ketika menulis surat itu. Tiba-tiba datang anaknya untuk berjumpa beliau. Lalu beliau bertanya kepada anaknya adakah kedatangannya ini atas urusan rasmi kerajaan atau urusan peribadi? Maka kata anaknya atas urusan peribadi. Kemudian Khalifah Umar memadam pelita kerajaan lalu membuka pelita miliknya sendiri lalu merekapun berurusan.

Kisah ini bukan sekadar menunjukkan kepada kita betapa kayanya keperibadian khalifah Islam ini. Bahkan kisah ini memberi kita satu kesedaran bahawa Islam memandang kepimpinan itu sebagai suatu amanah yang berat untuk dipikul. Ia bukan satu kemegahan, kebangga atau kelebihan sebaliknya amanah yang akan dipertanggungjawabkan Allah s.w.t. di akhirat kelak.
Kembali kepada permasalahan kenaikkan harga, sudah sampai masanya untuk masyarakat di negara ini dan masyarakat dunia untuk kembali kepada pemerintahan berteraskan Islam yang syumul. Semua perlu sedar bahawa pemerintahan yang tunduk kepada Allah adalah pemerintahan yang mampu membawa kesejahteraan dan keharmonian kepada masyarakat.

Pemerintah hari ini banyak menggunakan amanah yang diberi sebagai kesempatan untuk mengaut keuntungan duniawi. Tidak pelik sekiranya rakyat sesuatu negara itu jatuh miskin. Namun menjadi sesuatu kepelikan yang luar biasa apabila rakyat terus mengalami tekanan kewangan sedar penguasa tidur bersama wang didakapan. Pendek kata, rakyat miskin terus miskin, pembesar kaya terus kaya.

Cuba bezakan gaji pembesar dan rakyat marhein. Jurangnya cukup besar bahkan golongan pembesar terus disuap dengan pelbagai kemudahan eksklusif atas nama yang pelbagai. Lebih teruk dari itu, pemerintahan yang kufur kepada Allah akan menjadikan rasuah, riba, penyelewengan dan pembaziran sebagai amalan harian mereka.

Lihat sahaja hakikat pada hari ini. Apabila melibatkan golongan pembesar akan tampak jelas pelbagai pembaziran akan berlaku. Contohnya, pelbagai gedung-gedung mewah bernilai jutaan ringgit dibina semata-mata untuk ditonton orang sedang rakyat terus roboh dengan pembinaan gedung berjuta ringgit yang tidak ada manfaatnya untuk rakyat. 

Namun atas nama pembangunan ia dilaksanakan sedangkan kita terlupa untuk membangunkan modal insan rakyat dari segenap aspek termasuk ekonominya. Masalah seumpama ini menjadi lebih parah dengan isu penyelewengan, riba dan rasuah.

Kesimpulannya, dunia hari ini memerlukan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz. Patuh dan taat pada Allah sehingga tidak tergamak dirinya untuk mengkhianati amanah walau dengan nilai satu sen. Khazanah negara diurus dan dipulangkan semula kepada rakyat. Dan amat tidak bertanggungjawablah dia jika rakyat menderita kesusahan sedang penguasa hidup bersenang-lenang. Akhirnya saya ulangi semula kata-kata saya di awal tadi.

"Tidaklah layak digelar pemimpin seseorang itu sekiranya dia mampu memesan makanan mahal-mahal di kedai-kedai sedang rakyat bawahannya hanya mampu pesan "PINGGAN KOSONG SATU, CAWAN KOSONG SATU".

Monday, November 29, 2010

ISTERI TAK TAHU MASAK vs LELAKI TAK BOLEH JADI IMAM

OLEH:
Ms Syariffanor Hisham
Department of Computer Science
University of York
Heslington, York
United Kingdom 



Berapa ramai lelaki yang boleh menjadi imam? Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya disuruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.Berapa ramai lelaki yang boleh menjadi imam? Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya disuruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.

"Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.

"Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak.

Wanita sepatutnya buat begitu juga. Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai. Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan menyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya. Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan. Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga. Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain. Betul juga. Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawap tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa queen control. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!




Wednesday, November 10, 2010

HINDARI KEBURUKAN UNTUK KEBAIKKAN

Tatkala senja hampir bertandang, mengusir sore hari yang terbentang, di sana muncul kelibat seorang jejaka menghampiri madrasah usang. Di situ tempat bertapaknya pancaran ilmu Islam. Langkah jejaka itu langkah insaf. Setapak demi setapak memijak lantai dunia sambil kepala tertunduk tawaduk.

Beberapa kilas kemudian, datang seorang lelaki berusia, siap berjubah dan berserban dengan wajah bercahaya. Mungkin itu cahaya iman. Ujar si jejaka di dalam hati tatkala terpandang wajahnya. Dia adalah ulama pimpinan di daerah itu. Tukang rujuk dalam pelbagai kemaslahatan umat zaman itu.

Dirai jejaka itu umpama tetamu istimewa. Hingga ke satu saat, jejaka itu menangis, teresak-esak tangisannya. Dia ingin bertaubat. Banyak benar dosa yang telah dilakukan hingga tidak terungkap olehnya.

Maka, berkata ulama pimpinan itu . “Tidak perlu kamu cerita akan aibmu. Ini bukan agama kristian. Cukuplah Allah mengetahui niatmu. Nescaya pancaran tulus hatimu akan memadam dosa-dosamu itu.”

“Terima kasih Ulama pimpinan. Namun, jika tiada berat bagimu berikanlah anak satu nasihat yang membantu dalam sisa hidup ini. Sungguh ujian ke hadapan ini pasti akan lebih berat buatku.”

“Jika nasihat yang engkau mahu maka ingatlah kata-kata ini. Berusahalah menjauhi keburukan dan kemungkaran nescaya Allah akan datang denan balasan kebaikkan untukmu.” Malam itu mereka pun bersurai. Namun si jejaka meminta izin tidur di madrasah kerana sudah habis hartanya dihumban kerana semuanya hasil dosa.

Tatkala malam semakin pekat kehitaman, perutnya tiba-tiba terasa perit kelaparan. Ditahannya sehingga sepertiga malam. Ketika itu syaitan dan barua-baruanya membisik jahat di telinga. Akhirnya dia nekad untuk pergi mencuri. Buat santapan dirinya yang lapar.

Dia menceroboh ke sebuah rumah besar umpama gudang. Diseludup dirinya ke dalam sehingga tiba di ruang dapur. Makanan cukup banyak. Kata Iblis “Ambil sahaja apa yang kamu mahu. Kamu sedang lapar.”

Tangan hampir menggengam makanan yang ada sehinggalah tergiang di telinganya kata-kata ulama pimpinan tadi, “Berusahalah menjauhi keburukan dan kemungkaran nescaya Allah akan datang dengan balasan kebaikkan untukmu.”. lalu dibatal hasrat buruknya itu.

Dia pun melangkah keluar. Menyelinap pintu ke pintu hingga tertolak akan sebuah pintu. Wah! Di dalamnya penuh harta cantik-cantik, mahal-mahal dan banyak sekali sedang dia sendiri juga sudah tidak berharta. Iblis sekali lagi membisik “Ambillah walau sedikit. Bukankah engkau sudah tidak punya harta.”
Sekali lagi tangannya hampir menggengam harta-harta itu. Dan sekali lagi juga terngiang di telinganya nasihat ulama pimpinan “Berusahalah menjauhi keburukan dan kemungkaran nescaya Allah akan datang dengan balasan kebaikkan untukmu.” Maka dibatalkan hasrat jahatnya itu tadi.

Dia terus menuju jalan keluar. Namun matanya terpandang akan seorang wanita muda putih rupawan yang sedang nyenyak tidur. Wanita itu tuan punya kediaman. Maka, iblis meniupkan nafsu jejaka itu. Bisik iblis “Dia habuan kamu malam ini. Lakukan apa yang perlu kamu lakukan. Musnahkan kehormatannya.”

Jejaka itupun menghampiri wanita cantik sehingga terngiang sekali lagi di telinganya pesan ulama pimpinan “Berusahalah menjauhi keburukan dan kemungkaran nescaya Allah akan datang dengan balasan kebaikkan untukmu.”. Akhirnya, jejaka itu pulang ke madrasah tanpa satupun habuan dunia namun syaitan terseksa kerananya.

Menghampiri solat subuh, ulama pimpinan itu kembali ke madrasah. Tidak berapa lama, datang wanita muda putih rupawan bersama beberapa teman bertemu ulama pimpinan. Dia berkata, “Wahai Ulama Pimpinan. Sesungguhnya aku menemukan jejak-jejak kaki bahawa rumahku telah dicerobohi tetapi tidak ada apa-apa perkara yang hilang termasuk kehormatanku. Namun aku khuatir yang dia akan kembali sedang aku janda yang kematian suami. Tiada yan menjagaku.”

“Bila tamat tempoh iddah mu?” Tanya ulama pimpinan.

“Sudah tamat.” Kata wanita itu.

Lalu ulama pimpinan itupun memanggil si jejaka dan berkata, “Wahai wanita mulia, sesungguhnya jejaka ini dalam keampunan Allah. Kahwinilah dia dan dia akan menjadi penjaga kepadamu dari sebarang bahaya dunia dengan izin Tuhanmu.”

Maka berkahwinlah mereka berdua. Semuanya hasil nasihat ulama pimpinan. Pemuda itu berkata di dalam hatinya, “Aku menolak makanan dari jalan haram yang hanya mampu mengenyangkan aku sehari. Aku menolak harta dari jalan yang haram yang hanya mampu menyenangkan aku seketika. Aku menolak wanita dari jalan haram yang hanya mampu memuaskan aku sementara. Dan Allah membalasnya dengan kekenyangan, kesenangan dan teman dampingan untukku di baki hidup duniaku di jalan yang halal.”

“BENARLAH katanya, Berusahalah menjauhi keburukan dan kemungkaran nescaya Allah akan datang denan balasan kebaikkan untukmu