Followers

Showing posts with label Mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label Mahasiswa. Show all posts

Friday, August 12, 2011

KITA DAN 'MEREKA' BERBEZA

"Kita bukan pertubuhan politik, meskipun persoalan siasah berlandaskan Islam merupakan intipati fikrah yang perlu diperjuangkan. Kita bukan pertubuhan kebajikan, meskipun amal-amal kebajikan dan kerja-kerja Islam adalah tujuan kita yang besar. Tetapi kita adalah Gerakan Islam."
- Rumusan Hassan Al Banna dalam kitab Ma za ya' ni karya Fathi Yakan

Al Imam Hassan Al Banna seorang pemimpin agung kontemporori sering kali memberikan kita mutiara kata yang mampu membuatkan kita berfikir. Dengan rahmat Allah, melalui lisan As Syahid telah cukup menggambarkan hakikat kesyumulan Islam. Kata-kata beliau masih relevan walaupun sudah berdekad lamanya masa berlalu.

Antara kata-kata beliau yang memberi kesan kepada pejuang Islam adalah tentang fikrah kita sebagai pejuang Islam. Bagi penulis, beliau bukan sekadar mengatakan sedimikian (seperti di atas) kepada pertubuhan politik atau pertubuhan kebajikan semata-mata. Tetapi, As Syahid cuba memasukkan suatu roh atau fahaman tentang asal tujuan kita berintima dengan perjuangan Islam. Kita bukan pertubuhan politik, atau pertubuhan kebajikan, atau pertubuhan hak asasi akan tetapi kita adalah gerakan Islam. Dalam konteks apa yang ingin dikongsikan dalam artikel ini bahawa kita bukan gerakan mahasiswa sebaliknya kita adalah Gerakan Islam (Allahuakbar).

As Syahid dapat melihat satu permasalahan besar yang sering menghantui umat Islam tatkala mengeluarkan kata-kata sedemikian. Kegagalan para pejuang Islam dalam menentukan sikap dalam situasi-situasi yang rumit lagi bercelaru sehingga fokus utama perjuangan terganggu dan terbantut. Penulis mengkaji perkara ini dan sering juga bertemu dengan jemaah yang gagal menguruskan perbezaan pendapat dengan baik dan berdisiplin. Maka, setiap kali penulis bertemu dengan suasana ini setiap kali itu jugalah penulis dapat melihat salah satu puncanya adalah kefahaman (Al Fahmu).

Di situ penulis melihat tarbiyahnya mati. Usrah tidak hidup. Jika adapun usrahnya umpama pertemuan kedai kopi yang langsung tidak ada kualiti yang mampu menyatukan kefahaman ahli. Hubungan dengan Allah terabai dan andai dijaga sekalipun hubungan itu tidak sampai ke tahap hubungan seorang pejuang dengan Tuhannya sebaliknya hubungan itu sekadar hubungan manusia biasa yang tidak ada kualiti yang diperlukan. Kesannya, kesatuan fikrah gagal dibentuk dalam kerangka untuk menguatkan jemaah itu sendiri.

Dalam situasi ini, apabila pemerkasaan tarbiyah yang menjadi tunjang kepada pemerkasaan fikrah tidak wujud, mudahlah untuk seseorang pejuang itu diresapi dengan fikrah yang samar sehingga wujud kecelaruan fikrah. Kebiasaannya berlaku apabila kita gagal memahami kewujudan proksi sebagai alat memperjuangkan Islam dan bukan perjuangan proksi yang diperjuangkan. Itulah makna besar kata-kata Imam Hassan Al Banna.

Bagi penulis, barah yang sedang melanda anak muda hari ini adalah permasalahan fikrah. Senjata idealisme mahasiswa sedang merasuk minda-minda pejuang Islam yang berdarah muda. Tidak ada masalah untuk menjadi anak muda beridealisme kerana menjadi fitrah manusia untuk mempunyai idea dan cara fikir tersendiri. Tetapi untuk meletakkan idealisme mahasiswa yang dipacu oleh perjuangan mahasiswa adalah sesuatu yang tidak patut ada dalam pemikiran pejuang Islam.

Apa itu idealisme?
Asal kalimah Idealisme adalah dari perkataan idea. Idealisme adalah satu perkara yang cuba mengangkat pemikiran manusia sebagai suatu ikutan berasaskan logik dan rasional. Bagi penulis adalah sesuatu yang salah untuk pemikiran seseorang itu atau sekumpulan itu diangkat sebagai suatu kuasa dan perjuangan yang harus diperjuangkan. Salah sama sekali dari sudut Islam itu sendiri apabila isme manusia diangkat sebuah perjuangan. Bukankah itu salah satu cabang syirik.

Perjuangan di bawah kepompong Idealisme Mahasiswa adalah perjuangan yang menolak kewujudan disiplin berjemaah dan konsep wala. Wala mereka pada sebahagian perkara yang mudah dan dipersetujui mereka. Dan mereka adalah kelompok yang duduk di tengah antara dua atas jenama jemaah. Mengkritik pihak kiri sama dengan mengkritik pihak kanan dan cuba melepaskan diri mereka kononnya dari satu kuasa yang mereka gelar diktator agama. Wala bagi mereka pula adalah sekatan hak dan ketaksuban yang dasyhat terhadap golongan yang mereka label diktator agama ini. Mereka menuntut mahasiswa diberi stand tersendiri sehingga mereka lupa stand yang diredhai Allah hanyalah pegangan Islam.
  
Apakah Mahasiswa Islam Tidak Boleh Beridealisme? 
Sewajibnya yang perlu ada dalam pemikiran anak muda adalah Islam. Maka jadilah Mahasiswa Beridealisme Islam yang diikat dengan adab-adab serta disiplin jemaah. Sesungguhnya Wala yang menjadi kekuatan sebuah gerakan Islam bukan dibina atas ketaksuban tetapi dibina atas kefahaman terhadap ilmu agama. Di situlah wujud ilmu Aulawiyat serta kefahaman adab dan disiplin berjemaah.

Tidak dinafikan tidak ada gerakan Islam yang sempurna yang terlepas dalam melakukan kesalahan. Bahkan sejarah Islam memperlihatkan sebuah kerajaan Islam yang zalim telah wujud dan memerintah. Maka, Imam Al Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumuddin tatkala membicarakan syarat-syarat mencegah kemungkaran ada menyebut, "Pencegahan yang dilakukan tidak menimbulkan (mafsadah) keburukan yang lebih besar."

Yang dimaksudkan bukanlah tidak boleh mencegah kemungkaran tersebut. Tetapi huraian perbicaraan lebih kepada sikap yang diambil dalam mencegah kemungkaran yang dilakukan perlu mengambil kira kesannya selepas itu. Di sinilah ilmu keutamaan memainkan peranan. Jangan sampai kerana manfaat seorang menyebabkan mafsadah pada dua orang. Atau kerana kebaikkan sekumpulan kecil menyebabkan mafsadah sekumpulan besar. Atau kebaikkan kawasan menyebabkan mafsadah wilayah. Atau kebaikkan wilayah menyebabkan mafsadah besar pada negeri

Oleh sebab itu  konsep wala pada pimpinan yang lebih tinggi diwujudkan. Bukan kerana ketaksuban tetapi wala adalah konsep yang terbina dari kekayaan ilmu Islam untuk mewujudkan keharmonian dalam gerakan dan keutamaan yang lebih besar yang perlu dipertahankan. 

Bagaimana Dengan Prinsip Perjuangan?
Sebelum memperkatakan tentang persoalan ini, perlu ditegaskan dalam konsep wala tidak bermakna pimpinan tidak boleh ditegur sebaliknya teguran itu perlu dalam ruangan yang betul mengikut adab berjemaah. Semua boleh untuk membangkang dalam mesyuarat atau perbicaraan tertutup tetapi untuk menzahirkan perbezaan sehingga menggugatkan keutamaan yang lebih besar adalah sesuatu yang cukup bahaya.

Mungkin suatu ketika kita akan melihat seolah-olah kita telah lari dari prinsip perjuangan yang dahulunya kita canang. Maka, kerisauan timbul sehingga kita merasakan situasi hari ini akan memberi senjata kepada lawan untuk menyerang kita suatu hari nanti akan tetapi kita lupa tentang hakikat mempertahankan Negara Islam (meskipun sebuah negara yang zalim) itu lebih utama dari membenarkan tertegaknya Negara Sekular yang syirik.

Tidak dinafikan kezaliman yang dilakukan kerajaan Islam akan menjadi backfire kepada gerakan Islam itu sendiri. Tetapi kita perlu ingat! Sebuah kerajaan Islam mungkin melakukan kezaliman A atau kezaliman B. Tetapi sebuah kerajaan Syirik akan melakukan kezaliman A juga kezaliman B, kezaliman C, kezaliman D dan yang lainnya.

Bahkan sekiranya kerajaan Syirik itu tidak melakukan kezaliman sama sekalipun masih perlu dipertahankan kerajaan Islam kerana sebuah kerajaan Syirik akan menjauhkan rakyat dari Islam sedang kerajaan Islam akan mendekatkan rakyatnya dengan Islam. Hakikatnya senjata yang lebih besar kita berikan kepada lawan sekiranya perbuatan kita menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan meskipun tindakan tidak dituju secara langsung kepada gerakan Islam. Fitnah lebih besar pada Islam dan kita akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang terjadi. Di situlah kita perlu memikirkan kesan setiap tindakan kita secara lebih luas dengan mengenengahkan kepentingan Islam.

Kesimpulan...
InsyaAllah artikel ini akan bersambung. Akan tetapi ditegaskan di sini, ya akhi wa ukhti sesungguhnya kita dan mereka berbeza. Jangan terjerumus ke dalam perangkap revolusi pemikiran dan idealisme mahasiswa. Kita sudah punya pegangan sendiri yakni Islam. Di sana punya disiplin-disiplin tersendiri yang akarnya adalah keilmuan. Maka lakukanlah atas stand Islam dan bukan atas stand mahasiswa, atau apapun selain dari Islam. Kita bukan third force (kuasa ketiga) sebaliknya kita adalah penyumbang tenaga kepada Islam. Kita adalah tentera Islam. 'Mereka' mungkin bersama kita tetapi kita dan 'mereka' berbeza.

Wallahualam...


Thursday, March 31, 2011

SIR WA HAZAR - KERAHSIAAN YANG MEMBANTUTKAN?

Rasulullah SAW dalam sirahnya memperlihatkan dua bentuk gerakan dakwah dalam mengembangkan Islam kepada umat manusia keseluruhannya. Pertama, melalui gerakan berbentuk sir (kerahsiaan) dan kedua gerakan secara jahar (terang-terangan). Maka, gerakan Islam meletakkan selain gerakan secara jahar perlunya juga sir dalam menjaga manhaj perjuangan Islam. Permasalahannya di sini, kesilapan para penggerak Islam dalam memahami istilah sir dalam perjuangan menyebabkan sir yang sepatutnya menjadi senjata gerakan Islam bertukar menjadi kerahsiaan yang membantutkan perjuangan.

Dari sudut definisinya, sir bermaksud kerahsiaan manakala hazar pula bermaksud kewaspadaan. Malangnya, realiti hari ini memperlihatkan perkara yang disebutkan sir itu telah disalah tafsir oleh kebanyakkan penggerak Islam. Dan, itu jugalah yang berlaku dalam konteks Malaysia. Maka, berlakulah perbezaan dalam sir yang diamalkan Rasulullah saw dan yang difahami oleh umat Islam hari ini. Al-Fadhil Ustaz Azizan dalam mengulas isu ini pernah berkata "Sir yang diamalkan Rasulullah saw dalam perjuangan baginda merupakan strategi yang menguntungkan Islam sedang sir yang difahami dan diamalkan segelintir penggerak Islam pada hari ini adalah berasaskan ketakutan yang membantutkan perjuangan."

Ketika bertukar-tukar pandangan dengan seorang bekas pimpinan Mahasiswa beberapa minggu lalu, beliau membuat satu kesimpulan bahawa masalah sir ini paling banyak berlaku di dalam kampus. Satu istilah yang agak familiar dalam kalangan penggerak manhaj Islam di kampus ialah "kampus lain, kawasan lain." Bahkan, beliau berkongsi pengalaman beliau terperosok ke dalam lingkungan sir yang melampau ketika di alam kampus.

Penggerak Islam di kampus pada waktu itu ditegah walaupun untuk menyebut perkataan-perkataan yang berbaur gerakan seperti perkataan bai'ah, tamrin, amir dan sebagainya. Hal ini telah menjadi satu fenomena yang tidak dapat dibendung sehingga ke hari ini. Tidak sekadar itu, beliau juga ditegah dari dilihat kerap bersama atau berjalan seiring dengan ahli gerakan kampus dengan alasan untuk menjaga kerahsiaan walhal beliau merupakan Presiden gerakan mahasiswa ketika itu. 

Contoh lain yang diutarakan, sekiranya beliau mendengar ceramah tentang akidah dan perjuangan, atau mengenai jihad di jalan Islam, beliau telah diingatkan terlebih dahulu supaya fakta ceramah tersebut disimpan rapi kerana ia adalah satu kerahsiaan. Malah, sehingga ke hari ini masih ada ceramah yang mana pendengar dilarang mencatitnya atas faktor keselamatan. Yang perlu, cukuplah dengan mengingati isi-isinya sahaja.

Inilah yang dikatakan sir yang disalah tafsirkan. Sir bukan kerana strategi gerakan yang menguntungkan Islam sebaliknya sir yang wujud kerana ketakutan yang wujud. Dalam konteks gerakan kampus, ketakutan kepada pihak polis, penguasa dan pentadiran.

Dalam meneliti permasalahan ini berpandukan realiti yang diceritakan sahabat penulis tadi, penulis membuat beberapa rumusan dari sudut kesan sir yang melampau terhadap gerakan Islam.

1) Dakwah tidak dapat disebarkan secara meluas berikutan maklumat, fakta ceramah yang dirahsiakan dan ditutup serapat-rapatnya.
2) Lahir ahli yang penakut dan tidak berani. Perkara ini boleh dilihat apabila mahasiswa pulang ke kawasan masing-masing apabila mereka dilihat tidak aktif dalam jemaah walhal mereka bersama kita hanya kerana perjuangan di luar lebih bersifat terbuka.
3) Kefahaman tentang gerakan Islam tidak meluas sebaliknya gerakan Islam dilihat bersifat esklusif / untuk ahli sahaja.

Mungkin penggerak Islam perlu mula bertanya apa yang dirahsiakan sebenarnya? Maklumat atau hanya tanzim? Islam itu bukan bersifat esklusif untuk individu-individu tertentu sahaja. HAMAS yang perjuangannya berdepan dengan kematian pun berani menzahirkan gerakan mereka.

Artikel ini bukanlah untuk menyanggah peranan kerahsiaan dalam gerakan Islam. Malah, diakui banyak hadis Nabi SAW yang menyeru kepada sir dalam gerakan. Namun, perlu dilihat juga dari sudut kondisi hadis tersebut. Yang dimaksudkan bukanlah kerahsiaan yang terlalu rapat kesan dari ketakutan yang menyelubungi.

Dalam kerahsiaan dan kewaspadaan Rasulullah SAW, beliau masih mencabar Romawi secara terbuka. Mengutus surat kepada banyak kerajaan besar termasuk Hercules sehingga Baginda 'dipukul' habis-habisan. Di sini jelas Rasulullah SAW sedang menjelaskan kepada kita makna sir  dalam perjuangan.

Ketua Pemuda PAS Perak, Al-Fadhil Ustaz Zawawi dalam ucapannya ketika Konvensyen Pemuda Prihatin 2010 berpendapat gerakan Islam di Malaysia ini kekurangan 'promoter-promoter' berkesan dalam mempromosikan Islam kepada masyarakat. Dengan hakikat perjuangan semasa yang memerlukan kepada proksi perjuangan, penggerak Islam di kampus hari ini telah meninggalkan kewajiban mereka untuk mempromosikan Islam dan pergerakkan Islam kepada masyarakat atas sebab yang disebut dengan perkataan sir (kerahsiaan).

Kesimpulannya, kita perlu kembali mengkaji sejauh mana pengertian sir dalam perjuangan yang disaran oleh Rasulullah SAW. Yang jelas, kerahsiaan yang melampau sehingga kepada satu bentuk sir yang menyembunyikan intipati Islam berbentuk umum yang diperolehi melalui ceramah atau program gerakan adalah sesuatu yang tidak wujud kerelevanannya. Mungkin dari sudut program dan perkara-perkara tertentu perlu dirahsiakan namun kerahsiaan yang dibenihkan oleh biji-biji ketakutan perlu dinyahkan dari manhaj gerakan Islam khususnya di kampus.

Penulis akhiri artikel ini dengan satu konsep fiqh usul untuk difahami, "Islam, apabila ia sempit maka luaskanlah. Apabila ia luas maka sempitkanlah." Renung-renungkan...



- Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis. Komen, teguran atau pendapat lain dalam isu ini amat dialu-alukan...


Tuesday, February 15, 2011

REFORMASI PILIHANRAYA KAMPUS: PERTANDINGAN SECARA BERJAMAAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Sistem Pilihanraya Kampus di Malaysia gagal membentuk sebuah jemaah pimpinan yang berkualiti? Benarkah? Mengapa dan kenapa sistem di negara ini gagal membentuk kumpulan pimpinan mahasiswa yang mampu membawa janji manifesto mereka seiring amanah yang diterima?

Sistem Pilihanraya Kampus di Malaysia mempraktikkan corak pertandingan secara bersendirian. Setiap calon bertanding di dalam Pilihanraya Kampus akan bergerak bersendirian, menggariskan manifesto dan dalam gerak kerja kempen. Kemudian setiap dari mereka akan bertanding atas nama diri masing-masing.

Secara rasionalnya, dalam realiti institusi pendidikan hari ini, mana mungkin seseorang calon itu mampu mengutarakan idea mereka melalui manifesto mereka seorang diri kepada masyarakat siswa yang beribu-ribu orang di kampus.

Berkempen seorang diri kepada 10 000 mahasiswa secara bersendirian merupakan sesuatu yang langsung tidak relevan dalam konteks mahasiswa. Adakah sistem yang wujud sekarang sekadar untuk mewujudkan suatu pilihanraya di peringkat kampus tanpa meneliti objektif utama pemilihan pimpinan di peringkat kampus?

Yang pasti sistem yang sedia wujud hari ini membuka pintu fitnah serta kritikan kepada pimpinan mahasiswa di kampus. Tidak kurang juga membuka ruang untuk seseorang calon itu untuk tidak melaksanakan manifesto yang mereka sendiri laungkan ketika waktu berkempen.

Kadang-kala, calon yang berjaya di dalam PRK kemungkinan akan diletakkan di peringkat jabatan sebagai melaksanakan konsep pentadbiran kolektif yang dipraktikkan kini. Maka, di manakah relevan seseorang calon itu menyampaikan manifesto secara individu sedangkan akhirnya mereka terpaksa berkerja dalam jemaah.

Di sinilah akan timbul tohmahan terhadap pimpinan mahasiswa kononnya mereka gagal melunaskan janji-janji yang mereka taburkan sewaktu berkempen dahulu. Hakikatnya, mereka tidak mendapat ruang yang secukupnya dalam melaksanakan janji manifesto masing-masing.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya sistem pilihanraya kampus diangkat ke tahap yang mampu memberi satu lonjakan terhadap kepimpinan mahasiswa. Mahasiswa perlu diberi ruang untuk merangka manifesto, gerak kerja kempen dan seterusnya strategi pengurusan pentadbiran sekiranya dipilih dalam suasana berjamaah. Satu transformasi sistem pilihanraya kampus perlu dilakukan dengan memperkenalkan sistem pilihanraya di mana pertandingan secara berkumpulan dan berlogo diperkenalkan.

- Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

Wednesday, January 12, 2011

2011 - TAHUN KEBANGKITAN MAHASISWA?

"Beri aku 10 orang PEMUDA, nescaya akan aku gegarkan dunia ini." Itulah bait kata yang keluar dari lisan Mantan Presiden Indonesia, Presiden Soekarno. Cukup bermakna dan menonjolkan PEMUDA sebagai lambang kekuatan ummah.

Maka, tidak hairanlah lebih 1400 tahun yang lalu Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW meninggalkan pesan melalui sabda Baginda SAW;

"Aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk (lembut dan unik). Sesungguhnya Allah telah mengutuskanku dengan agama yang lurus lagi tolenransi lalu aku telah dibantu kukuh oleh para pemuda sedangkan orang-orang tua menyanggahiku."

Kurang dua minggu yang lalu, tahun 2010 meninggalkan kita semua untuk memberi ruang kepada angka 2011. Dan mahasiswa yang di dalam tubuhnya mengalir darah orang muda bangkit dan menyambut kedatangan tahun baru dengan satu Himpunan yang pada hemat saya berjaya menaikkan semangat mahasiswwa se-Malaysia menuju ke arah pembentukan golongan MAHASISWA MATANG dan BERMARUAH.

Motif utama adalah untuk mengeluarkan golongan mahasiswa dari pemikiran MAHASISWA LESU yang hanya melihat dunia mahasiswa terhad kepada bilik kuliah, pen, buku dan perkara seumpama itu. Mahasiswa menjadi insan bisu apabila berdepan masalah-masalah tertentu yang memerlukan mereka bersuara. Menuntut penjelasan dan hak mereka sebagai insan bergelar mahasiswa.

Momentum daripada himpunan membangkitkan kesedaran mahasiswa di peringkat nasional awal tahun lalu telah membawa kepada satu perubahan besar kepada mahasiswa di Kolej Universiti Insaniah. Atas kalimah "student power", siswa-siswi Insaniah telah turun berhimpun dalam Himpunan Mega Mahasiswa Insaniah pada tarikh keramat 11.1.11.

Asbabnya jelas, untuk menyampaikan suara hati mahasiswa Insaniah kepada barisan pentadbir untuk proses penambahbaikkan yang pada akhirnya membawa kepada situasi menang-menang. Secara kasarnya, himpunan tersebut berjaya mengumpulkan suara mahasiswa Insaniah dan mencapai tujuan himpunan.



Sekiranya dahulu suara ketidakpuasan hati mahasiswa hanya merungut di ceruk bilik asrama, atau di kaki lima dewan kuliah, kini mahasiswa mula melihat dan menyedari siapa diri mereka. Mereka mahasiswa bukan lagi pelajar sekolah. Mereka sudah meningkat setapak lagi dalam proses hidup mereka.

Walaupun mereka hanya menyuarakan isu-isu kampus namun secara positifnya ia adalah satu langkah yang tepat dalam memperkasakan mahasiswa dalam isu-isu nasional seperti mahasiswa sekitar 80-an lalu yang memperjuangkan isu kemiskinan di Baling.

Mahasiswa bermula dengan langkah kanan di tahun baru ini. InsyaAllah, tahun 2011 akan menjadi tahun kebangkitan mahasiswa di Malaysia. Salam Perjuangan..!