Followers

Showing posts with label Cahaya Hafiz. Show all posts
Showing posts with label Cahaya Hafiz. Show all posts

Friday, August 12, 2011

KITA DAN 'MEREKA' BERBEZA

"Kita bukan pertubuhan politik, meskipun persoalan siasah berlandaskan Islam merupakan intipati fikrah yang perlu diperjuangkan. Kita bukan pertubuhan kebajikan, meskipun amal-amal kebajikan dan kerja-kerja Islam adalah tujuan kita yang besar. Tetapi kita adalah Gerakan Islam."
- Rumusan Hassan Al Banna dalam kitab Ma za ya' ni karya Fathi Yakan

Al Imam Hassan Al Banna seorang pemimpin agung kontemporori sering kali memberikan kita mutiara kata yang mampu membuatkan kita berfikir. Dengan rahmat Allah, melalui lisan As Syahid telah cukup menggambarkan hakikat kesyumulan Islam. Kata-kata beliau masih relevan walaupun sudah berdekad lamanya masa berlalu.

Antara kata-kata beliau yang memberi kesan kepada pejuang Islam adalah tentang fikrah kita sebagai pejuang Islam. Bagi penulis, beliau bukan sekadar mengatakan sedimikian (seperti di atas) kepada pertubuhan politik atau pertubuhan kebajikan semata-mata. Tetapi, As Syahid cuba memasukkan suatu roh atau fahaman tentang asal tujuan kita berintima dengan perjuangan Islam. Kita bukan pertubuhan politik, atau pertubuhan kebajikan, atau pertubuhan hak asasi akan tetapi kita adalah gerakan Islam. Dalam konteks apa yang ingin dikongsikan dalam artikel ini bahawa kita bukan gerakan mahasiswa sebaliknya kita adalah Gerakan Islam (Allahuakbar).

As Syahid dapat melihat satu permasalahan besar yang sering menghantui umat Islam tatkala mengeluarkan kata-kata sedemikian. Kegagalan para pejuang Islam dalam menentukan sikap dalam situasi-situasi yang rumit lagi bercelaru sehingga fokus utama perjuangan terganggu dan terbantut. Penulis mengkaji perkara ini dan sering juga bertemu dengan jemaah yang gagal menguruskan perbezaan pendapat dengan baik dan berdisiplin. Maka, setiap kali penulis bertemu dengan suasana ini setiap kali itu jugalah penulis dapat melihat salah satu puncanya adalah kefahaman (Al Fahmu).

Di situ penulis melihat tarbiyahnya mati. Usrah tidak hidup. Jika adapun usrahnya umpama pertemuan kedai kopi yang langsung tidak ada kualiti yang mampu menyatukan kefahaman ahli. Hubungan dengan Allah terabai dan andai dijaga sekalipun hubungan itu tidak sampai ke tahap hubungan seorang pejuang dengan Tuhannya sebaliknya hubungan itu sekadar hubungan manusia biasa yang tidak ada kualiti yang diperlukan. Kesannya, kesatuan fikrah gagal dibentuk dalam kerangka untuk menguatkan jemaah itu sendiri.

Dalam situasi ini, apabila pemerkasaan tarbiyah yang menjadi tunjang kepada pemerkasaan fikrah tidak wujud, mudahlah untuk seseorang pejuang itu diresapi dengan fikrah yang samar sehingga wujud kecelaruan fikrah. Kebiasaannya berlaku apabila kita gagal memahami kewujudan proksi sebagai alat memperjuangkan Islam dan bukan perjuangan proksi yang diperjuangkan. Itulah makna besar kata-kata Imam Hassan Al Banna.

Bagi penulis, barah yang sedang melanda anak muda hari ini adalah permasalahan fikrah. Senjata idealisme mahasiswa sedang merasuk minda-minda pejuang Islam yang berdarah muda. Tidak ada masalah untuk menjadi anak muda beridealisme kerana menjadi fitrah manusia untuk mempunyai idea dan cara fikir tersendiri. Tetapi untuk meletakkan idealisme mahasiswa yang dipacu oleh perjuangan mahasiswa adalah sesuatu yang tidak patut ada dalam pemikiran pejuang Islam.

Apa itu idealisme?
Asal kalimah Idealisme adalah dari perkataan idea. Idealisme adalah satu perkara yang cuba mengangkat pemikiran manusia sebagai suatu ikutan berasaskan logik dan rasional. Bagi penulis adalah sesuatu yang salah untuk pemikiran seseorang itu atau sekumpulan itu diangkat sebagai suatu kuasa dan perjuangan yang harus diperjuangkan. Salah sama sekali dari sudut Islam itu sendiri apabila isme manusia diangkat sebuah perjuangan. Bukankah itu salah satu cabang syirik.

Perjuangan di bawah kepompong Idealisme Mahasiswa adalah perjuangan yang menolak kewujudan disiplin berjemaah dan konsep wala. Wala mereka pada sebahagian perkara yang mudah dan dipersetujui mereka. Dan mereka adalah kelompok yang duduk di tengah antara dua atas jenama jemaah. Mengkritik pihak kiri sama dengan mengkritik pihak kanan dan cuba melepaskan diri mereka kononnya dari satu kuasa yang mereka gelar diktator agama. Wala bagi mereka pula adalah sekatan hak dan ketaksuban yang dasyhat terhadap golongan yang mereka label diktator agama ini. Mereka menuntut mahasiswa diberi stand tersendiri sehingga mereka lupa stand yang diredhai Allah hanyalah pegangan Islam.
  
Apakah Mahasiswa Islam Tidak Boleh Beridealisme? 
Sewajibnya yang perlu ada dalam pemikiran anak muda adalah Islam. Maka jadilah Mahasiswa Beridealisme Islam yang diikat dengan adab-adab serta disiplin jemaah. Sesungguhnya Wala yang menjadi kekuatan sebuah gerakan Islam bukan dibina atas ketaksuban tetapi dibina atas kefahaman terhadap ilmu agama. Di situlah wujud ilmu Aulawiyat serta kefahaman adab dan disiplin berjemaah.

Tidak dinafikan tidak ada gerakan Islam yang sempurna yang terlepas dalam melakukan kesalahan. Bahkan sejarah Islam memperlihatkan sebuah kerajaan Islam yang zalim telah wujud dan memerintah. Maka, Imam Al Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumuddin tatkala membicarakan syarat-syarat mencegah kemungkaran ada menyebut, "Pencegahan yang dilakukan tidak menimbulkan (mafsadah) keburukan yang lebih besar."

Yang dimaksudkan bukanlah tidak boleh mencegah kemungkaran tersebut. Tetapi huraian perbicaraan lebih kepada sikap yang diambil dalam mencegah kemungkaran yang dilakukan perlu mengambil kira kesannya selepas itu. Di sinilah ilmu keutamaan memainkan peranan. Jangan sampai kerana manfaat seorang menyebabkan mafsadah pada dua orang. Atau kerana kebaikkan sekumpulan kecil menyebabkan mafsadah sekumpulan besar. Atau kebaikkan kawasan menyebabkan mafsadah wilayah. Atau kebaikkan wilayah menyebabkan mafsadah besar pada negeri

Oleh sebab itu  konsep wala pada pimpinan yang lebih tinggi diwujudkan. Bukan kerana ketaksuban tetapi wala adalah konsep yang terbina dari kekayaan ilmu Islam untuk mewujudkan keharmonian dalam gerakan dan keutamaan yang lebih besar yang perlu dipertahankan. 

Bagaimana Dengan Prinsip Perjuangan?
Sebelum memperkatakan tentang persoalan ini, perlu ditegaskan dalam konsep wala tidak bermakna pimpinan tidak boleh ditegur sebaliknya teguran itu perlu dalam ruangan yang betul mengikut adab berjemaah. Semua boleh untuk membangkang dalam mesyuarat atau perbicaraan tertutup tetapi untuk menzahirkan perbezaan sehingga menggugatkan keutamaan yang lebih besar adalah sesuatu yang cukup bahaya.

Mungkin suatu ketika kita akan melihat seolah-olah kita telah lari dari prinsip perjuangan yang dahulunya kita canang. Maka, kerisauan timbul sehingga kita merasakan situasi hari ini akan memberi senjata kepada lawan untuk menyerang kita suatu hari nanti akan tetapi kita lupa tentang hakikat mempertahankan Negara Islam (meskipun sebuah negara yang zalim) itu lebih utama dari membenarkan tertegaknya Negara Sekular yang syirik.

Tidak dinafikan kezaliman yang dilakukan kerajaan Islam akan menjadi backfire kepada gerakan Islam itu sendiri. Tetapi kita perlu ingat! Sebuah kerajaan Islam mungkin melakukan kezaliman A atau kezaliman B. Tetapi sebuah kerajaan Syirik akan melakukan kezaliman A juga kezaliman B, kezaliman C, kezaliman D dan yang lainnya.

Bahkan sekiranya kerajaan Syirik itu tidak melakukan kezaliman sama sekalipun masih perlu dipertahankan kerajaan Islam kerana sebuah kerajaan Syirik akan menjauhkan rakyat dari Islam sedang kerajaan Islam akan mendekatkan rakyatnya dengan Islam. Hakikatnya senjata yang lebih besar kita berikan kepada lawan sekiranya perbuatan kita menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan meskipun tindakan tidak dituju secara langsung kepada gerakan Islam. Fitnah lebih besar pada Islam dan kita akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang terjadi. Di situlah kita perlu memikirkan kesan setiap tindakan kita secara lebih luas dengan mengenengahkan kepentingan Islam.

Kesimpulan...
InsyaAllah artikel ini akan bersambung. Akan tetapi ditegaskan di sini, ya akhi wa ukhti sesungguhnya kita dan mereka berbeza. Jangan terjerumus ke dalam perangkap revolusi pemikiran dan idealisme mahasiswa. Kita sudah punya pegangan sendiri yakni Islam. Di sana punya disiplin-disiplin tersendiri yang akarnya adalah keilmuan. Maka lakukanlah atas stand Islam dan bukan atas stand mahasiswa, atau apapun selain dari Islam. Kita bukan third force (kuasa ketiga) sebaliknya kita adalah penyumbang tenaga kepada Islam. Kita adalah tentera Islam. 'Mereka' mungkin bersama kita tetapi kita dan 'mereka' berbeza.

Wallahualam...


Monday, August 1, 2011

RAMADHAN BUKAN BULAN 'PUASA'

Ramadhan datang lagi!! Syukur kepada Allah Azza Wa Jalla yang masih mengekalkan nikmat hidup dan sihat kepada kita untuk bersama di awal Ramadhan ini. Mudah-mudahan Allah izinkan kita semua untuk tetap sihat menjalani ibadah di bulan Ramadhan 1430H.

Teringat akan kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz baru-baru ini, "Ini bukan bulan puasa tapi ini bulan Ramadhan".

Yang dimaksudkan dengan kata-kata Tuan Guru itu adalah kemuliaan Ramadhan bukanlah penghalang kepada manusia untuk terus bekerja memakmurkan muka bumi serta menegakkan Islam. Ramadhan bukan bulan 'puasa' yang memestikan kita menghentikan segala gerak kerja ke arah membebaskan manusia dari belenggu jahiliyyah moden kepada limpahan cahaya Islam yang penuh kesejahteraan.

Dikisahkan di dalam peperangan Mut'ah, Ja'afar Bin Abi Talib menyambar bendera panji Islam dari tangan Zaid Bin Harithah yang telah gugur syahid. Lantas Ja'afar berperang dengan sebelah tangan memegang pedang dan sebelah lagi menjulang bendera Islam. Dalam kekalutan perang Mut'ah datang musuh menyerang Ja'afar sehingga putus tangan kanannya namun Ja'afar tetap menjulang bendera Islam dengan tangan kirinya. Beliau diserang untuk kali kedua sehingga putus pula tangan kiri. Ja'afar rebah ke bumi dan syahid di bumi Mut'ah yang dibasahi darah syuhada.

Ketahuilah, tatkala seorang sahabat datang untuk memberikan air kepada Ja'afar dalam peperangan itu beliau menolak dan berkata, "Sesungguhnya aku sedang berpuasa"

Satu lagi kisah mashyur yang tercatat dalam sejarah Islam adalah kisah peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan. Tentera Islam seramai 313 orang yang serba kekurangan dan sedang berpuasa bertembung dengan 1000 tentera kafir Quraisy yang serba lengkap persenjataan mereka. Namun berbekalkan keimanan dan kebergantungan tinggi kepada Allah, Islam pulang dengan kemenangan.

Kisah-kisah ini adalah satu taujihad kepada generasi hari ini bahawa Ramadhan bukan bulan untuk kita berpuasa dari sudut gerak kerja, meninggalkan kerja-kerja Islam mahupun mengendurkan langkah kita. Ramadhan bukan bulan untuk kita berpuasa dari bermusyawarah mengatur strategi Islam, atau puasa berprogram mahupun berpuasa menuntut ilmu dan kerja-kerja lain.

Sejarah Islam telah membuktikan Ramadhan adalah bulan yang cukup bersejarah dengan peristiwa kejayaan Islam seperti peperangan Badar Al Kubra, peristiwa pembebasan Kota Makkah serta perluasan kuasa Islam ke Andalusia pada 91H. Semuanya berlaku pada bulan Ramadhan.

Kesimpulannya, puasa bukanlah alasan untuk manusia menghentikan atau mengendurkan langkah perjuangan mereka. Sebaliknya Ramadhan ini adalah kesempatan untuk manusia memacu dengan lebih laju segala kebaikkan kerana kejahatan syaitan dan iblis telah dibelenggu di dalam api neraka. Wallahua'lam.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN!!!
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA!!!
DAN IBADAH-IBADAH YANG LAIN!!!
ALLAHUAKBAR 3X!!!


Sunday, June 5, 2011

YA AKHI, YA UKHTI, BERGERAKLAH SAMBIL MENJUNJUNG ILMU

Sabda Rasulullah SAW;

فَقِيْهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَـابِدٍ

"Seorang yang faqih itu lebih berat (digeruni) syaitan berbanding seribu orang 'Abid (ahli ibadah)"

Pemahaman yang benar adalah cahaya, yang dapat membantu menjaga keselamatan amal dari kegelinciran yang tidak disengajakan oleh sebab kejahilan manusia. Insan yang beramal tanpa pemahaman yang jitu tentang amalan mereka tidak akan mampu menempatkan sesuatu pada tempatnya seperti mana yang sewajarnya.

Realiti dunia hari ini memperlihatkan kecenderungan insan untuk beramal tanpa pemahaman yang sahih tentang amalan mereka. Perihal ilmu dilupakan dan tidak diletakkan sebagai keutamaan sedangkan ilmu merupakan asas kepada setiap amal yang ingin dilakukan manusia.

Maka, tidak hairanlah seorang manusia yang berilmu lebih ditakuti oleh syaitan berbanding seribu orang ahli ibadah yang tekun dengan solat mereka, juga puasa mereka serta ibadat-ibadat lain sekaligus menggambarkan peri penting ilmu bagi setiap indiidu muslim. Bahkan Saidina Umar Al Khattab ra juga pernah berkata;

"Kematian seribu orang ahli ibadah yang selalu solat malam dan berpuasa pada siang hari itu lebih ringan daripada kematian seorang pintar yang mengetahui hal-hal yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah"

Dalam konteks perjuangan Islam, telah wujud bayang-bayang kecenderungan pejuang-pejuang Islam yang bertakbir atas dasar kekuatan semangat atau kecenderungan yang selain dari kefahaman ilmu. Sesuatu yang perlu dipandang serius kerana setiap amalan yang bergerak atas landasan selain daripada ilmu akan cacat yang lemah serta terdedah kepada kegelinciran.

Para pejuang yang berpencak atas dasar semangat atau selain daripada ilmu cenderung untuk gagal istiqamah dalam perjuangan serta menghidupkan ruh perjuangan Islam yang mampat. Sebaliknya, dengan pengetahuan ilmiah setiap pejuang Islam akan lebih bersedia berdepan ranjau perjalanan, tetap siaga dengan perisai diri untuk berjuang atas nama Islam.

Apabila disebut kefahaman ilmu, yang dimaksudkan adalah kefahaman ilmu yang luas secara jitu. Malangnya, pejuang hari ini asyik menumpukan kepada ilmu haraki sehingga terlupa kepada kepentingan ilmu fiqh, sirah dan disiplin ilmu Islam yang lain yang pada hakikatnya merupakan asas kekuatan kepada seorang pejuang.

Tumpuan hari ini terlalu menjurus untuk membentuk seorang pekerja/aktivis Islam sehingga mengabaikan bakat modal insan yang ada untuk membentuk seorang pejuang yang bergerak atas dasar ilmu menjadi rujukan kepada pejuang-pejuang yang lain.

As-Syahid Hassan Al Banna dalam kitabnya Risalah Ta'alim menyebut;
"Benarnya pemahaman dan ikhlasnya tujuan merupakan nikmat terbesar kurniaan Allah kepada hamba-Nya."

Jelas, kefahaman yang benar sebagai seorang pejuang merupakan suatu nikmat yang besar dari Allah Maha Besar. Justeru, merupakan satu musibah besar kepada seseorang yang bergelar pejuang apabila dirinya tidak berada pada landasan ilmu meski dirinya ada pada landasan perjuangan Islam.

Oleh yang demikian, gerakan Islam perlu ke hadapan dalam memandu para pejuang ke arah 'pejuang Islam yang berilmu' yang menguasai kefahaman disiplin ilmu Islam yang jitu serta kemampuan ilmiah dalam disiplin-disiplin ilmu yang lain seperti Sains, Matematik, Teknologi, ilmu alam dan lain-lainnya. Umat Islam perlu giat dengan ilmu untuk melahirkan ulama yang bergelar profesional dan profesional yang bergelar ulama.

Ya akhi, ya ukhti! Bergeraklah sambil menjunjung ilmu. Berusahalah memiliki pemahaman yang benar dan tepat lagi sahih dalam setiap tanduk di dunia ini. Pemahaman yang mencapai dasarnya sekaligus memberikan petunjuk supaya setiap perkara dapat diletakkan pada tempatnya tanpa lebihan atau kekurangan. 

Sesungguhnya ilmu itu adalah 'nur' yang menerangi jalan pejuang. Sedang kepayahan jerih perit pejuang Islam 'seperti mencari semut hitam pada batuan gelap dan pada malam yang kelam'. Fikirkanlah saudara-saudaraku! Bagaimana akan kita temui 'semut' itu tanpa 'nur' (kefahaman ilmu).


Sunday, May 15, 2011

SIFAT-SIFAT HIZBULLAH DI DALAM AL QURAN

Firman Allah swt;

"Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa murtad di antara kamu dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai akan-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, yang berkeras (tegas) dengan orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Hanya sesungguhnya pimpinan kamu adalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman; iaitu orang-orang yang meendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka yang tunduk (patuh kepada Allah). Dan barangsiapa menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman menjadi pimpinan, maka sesungguhnya Hizbullah (pendokong agama Allah) yang pasti menang"
(Surah Al Maidah ayat 54-56)

Berdasarkan ayat di atas, dapatlah disimpulkan beberapa sifat-sifat Hizbullah atau pendokong perjuangan Islam ialah;

1. Mereka menyintai Allah (dan agama Allah yakni Islam) mengatasi cinta mereka terhadap perkara-perkara yang lain. Cinta pada Allah diletakkan pada takhta paling tinggi dalam carta cinta mereka dalam permaknaan cinta sejati yang luhur, ikhlas dan suci dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah swt (Hablum minallah)

2. Mereka bersikap lemah lembut sesama saudara muslim dan orang-orang yang berlembut dengan mereka. Mereka sentiasa berkata baik, bertingkah hemah dan akhlak yang menyenangkan sesama mukmin (Hablum minannas)

3. Dalam masa yang sama, mereka tegas dan merasai izzah terhadap golongan kafir yang memusuhi Islam dan golongan musuh yang pelbagai bentuk dan cara. Mereka tetap dengan pendirian Islam sebagai tuan di dunia dan Allah penegasan tertinggi hidup dengan tidak rela melihat agama Allah dipermain atau diperlekeh musuh.

4. Mereka berjihad dan berkorban pada jalan Allah dengan segala keupayaan yang ada pada mereka demi kelangsungan Islam. Mereka berkorban dengan keringat kudrat tenaga, perahan akal minda, masa, harta benda, kekayaan, pangkat malah nyawa sekalipun sebagai taruhan demi perjuangan Islam.

5. Mereka tidak takut kepada fitnah dan celaan ahli cela. Penghinaan ahli hina. Dan pelbagai bentuk diskriminasi yang bakal dihadapi pendokong-pendokong perjuangan Islam kerana tarbiyah diri telah memberitahu sememangnya perjuangan Islam ini perjuangan yang dipenuhi dengan celaan orang-orang yang mencela dalam kalangan musuh Islam. Sesungguhnya celaan terhadap mereka itu tidak sedikitpun mengurangkan kemuliaan mereka di sisi Allah disebabkan keimanan mereka terhadap perjuangan Islam.

6. Mereka memberi wala dan ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya serta pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sebagai pengukuhan jemaah yang menghidupkan kekuatan demi cita-cita perjuangan.

Wahai sahabat seperjuangan sekalian! Ayuh muhasabah diri. Adakah kita Hizbullah, Pendokong agama Allah???


Tuesday, May 10, 2011

PUISI CINTA : CINTAKU PADA RASULULLAH

Trend yang bermain di dalam wayang hidup ana beberapa hari kebelakangan ini banyak berkisar kepada cinta. Artikel tentang cinta, cinta pada perjuangan, sahabat yang bakal berkahwin atas dasar cinta, konsep cinta pada Allah. Macam-macam lagi. Maka terbitlah puisi ini yang ana copy paste beberapa tahun dahulu tapi lupa dari blog mana. Bila belek-belek terjumpalah pula. Jadi ana publishkan untuk tatapan semua. Selamat menikmati puisi ini. ;-)

Nafasku tersekat dalam tangisan
Duhai, mengapa nafas tak lepas bersama jeritan
Sesudahmu tiada lagi kebaikan dalam kehidupan
Aku menangis karena aku takut hidupku akan kepanjangan

Kala rinduku memuncak, kujenguk pusaramu dengan tangisan
Aku menjerit meronta tanpa mendapatkan jawaban
Duhai yang tinggal di bawah tumpukan debu, tangisan memelukku
Kenangan padamu melupakan daku dari segala musibat yang lain

Jika engkau menghilang dari mataku ke dalam tanah,
engkau tidak hilang dari hatiku yang pedih
Berkurang sabarku bertambah dukaku
setelah kehilangan Khatamul Anbiya

Duhai mataku, cucurkan air mata sederas derasnya
jangan kautahan bahkan linangan darah
Ya Rasul Allah, wahai kekasih Tuhan
pelindung anak yatim dan dhuafa

Setelah mengucur air mata langit
bebukitan, hutan, dan burung
dan seluruh bumi menangis

Duhai junjunganku,
untukmu menangis tiang-tiang Ka’bah
bukit-bukit dan lembah Makkah

Telah menangisimu mihrab
tempat belajar Al-Quran di kala pagi dan senja
Telah menangisimu Islam
sehingga Islam kini terasing di tengah manusia

Sekiranya kau lihat mimbar yang pernah kau duduki
akan kau lihat kegelapan setelah cahaya


Monday, May 9, 2011

SIR WA HAZAR: STRATEGI ISLAM BINA KEKUATAN

Artikel ini adalah sambungan kepada artikel terdahulu bertajuk "SIR WA HAZAR: KERAHSIAAN YANG MEMBANTUTKAN" (http://cahayahafiz.blogspot.com/2011/03/sir-wa-hazar-kerahsiaan-yang.html) yang dimuatkan dalam blog ini pada bulan Mac yang lalu. Penulis terpanggil untuk memberi lebih penjelasan melihat kepada pemerhatian semasa penulis dan komen-komen belakang yang kedengaran mengenai konsep Sir Wa Hazar ini.

Maka, ditegaskan di sini penulis tidak menolak konsep sir wa hazar sebagai salah satu daripada strategi penting dalam perjuangan Islam sebaliknya penulis menyedari akan peranan sir wa hazar sebagai senjata yang digunakan untuk membina 'otot-otot' penting perjuangan Islam.

Mengimbau semula bait-bait kata dalam artikel penulis terdahulu, jelas tidak ada satu ayatpun yang menyatakan konsep sir wa hazar ini perlu ditolak. Sebaliknya, motif penulisan penulis dalam artikel yang lalu lebih kepada teguran terhadap ahli gerakan Islam supaya tidak salah faham dengan konsep sir wa hazar dalam perjuangan sehingga mempraktikkan ketakutan dalam berjuang dan bukannya kerahsiaan yang bersifat positif.

Penulis telah membentangkan beberapa contoh keterlaluan dalam melaksanakan tuntutan sir dan berhati-hati dalam artikel yang lepas. Tindakan yang kadang-kala hanya disandarkan kepada kalimah sir wa hazar akan tetapi hakikatnya ia lahir daripada ketakutan yang terbit dalam hati mujahid Islam. Namun, pemahaman yang tersasar terhadap konsep sir wa hazar ini bukan hanya setakat itu sahaja. Kadang-kala pemahaman terhadap konsep tersebut telah tepat malangnya pembawakan dalam melaksanakan sir pula yang tersasar dan salah.

Untuk lebih jelas, penulis hadirkan satu contoh. Dalam melaksanakan sir, kadang-kala pejuang-pejuang Islam menggunakan tipu  sebagai kaedah sir mereka sedangkan kaedah dalam melaksanakan sir yang termaktub dalam sunnah perjuangan bukanlah tipu sebaliknya yang digunakan adalah helah.

Contohnya dalam menyembunyikan program dalaman gerakan atau tempat program. Tindakan berbohong kepada seseorang bukanlah caranya. Yang sepatutnya digunakan adalah helah yang terbahagi kepada helah secara berkias atau helah untuk menghentikan pertanyaan.

Contoh helah berkias adalah dengan mengatakan "Aku ada program bersama keluarga" kerana program dalam jemaah adalah program keluarga kerana jemaah itu sendiri telah diikat dengan tali kekeluargaan berlandaskan akidah. Misalan untuk helah menghentikan pertanyaan adalah dengan cuba berjenaka sehingga merasa malas untuk mereka bertanya. Contonya apabila sahabat bertanya "Nak pergi mana?" Maka jawablah "Nak cari ilmu". Ditnya lagi, "Di mana?." Maka jawablah "Di bumi Allah Taala". Iringkan juga dengan senyuman tanda gurauan dari kita dan terus berhelah sehingga pertanyaan terhenti.

Kesimpulannya di sini, penulis tegaskan bahawasanya penulis tidak pernah sekali-kali menolak konsep sir wa hazar sebagai senjata pergerakan dalam perjuangan Islam. Tetapi penulis lebih cenderung untuk mengajak setiap dari insan yang bernama pejuang (termasuk diri penulis yang kerdil ini) untuk memahami konsep sir wa hazar ini dengan lebih mendalam dalam pergerakan Islam.


Saturday, April 16, 2011

KITA RAMAI "TENTERA" TAPI KURANG YANG BAWA "SENJATA"

"Hai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan tetaplah siaga (dengan senjata dan kuda-kuda yang ditambat di perbatasan negeri kamu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung"
(Surah Ali-Imran ayat 200)

Beberapa minggu kebelakangan ini pergerakan Islam di peringkat Kawasan giat mengadakan Mesyuarat Agong masing-masing sebagai memenuhi kewajiban yang terkandung di dalam Perlembagaan parti. Lebih sitnifikannya lagi tahun ini merupakan tahun pemilihan di setiap peringkat parti. Alhamdulillah kawasan penulis telah bermesyuarat pada 10 April yang lalu. Tahniah kepada Ustaz Fatah yang terus menerajui bahtera pergerakan pemuda di Teluk Intan. InsyaAllah, selepas ini giliran Negeri dan Pusat pula bersiap-siap untuk bermuktamar.

Berbicara mengenai mesyuarat agong atau muktamar yang menjadi acara tahunan bermakna kita berbicara tentang suatu tempat untuk para pejuang Islam berkumpul, bermuhasabah diri tentang apa usaha yang telah dilakukan dalam masa setahun yang lepas dan seterusnya merangka perancangan untuk jangka masa setahun yang akan datang.

Kepada sahabat-sahabat yang mempunyai banyak pengalaman bermuktamar pasti akan dapat melihat hakikat mukatamar walau di peringkat mana sekalipun tidak pernah terlepas daripada persoalan tarbiyah. Seumpama telah menjadi suatu kewajiban untuk perwakilan membangkitkan persoalan tarbiyah saban tahun. Penulis melihat perkara tersebut dari sudut positif. Bermakna, tarbiyah masih dijaga rapi sebagai senjata kita menghadapi musuh perjuangan. 

Mesyuarat Agong juga tempat untuk kita bertemu sahabat seperjuangan yang mungkin telah lama tidak bersua. Al-Maklum, penulis berada di perantauan meninggalkan sahabat berpencak di gelanggang Teluk Intan. InsyaAllah penulis bantu semampunya dari jauh.

Dalam pertemuan itu bermacam cerita dan ragam manusia. Kami bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dan perbincangan kami lebih menjurus kepada harakah Islam. Satu perkara yang menarik apabila seorang sahabat ini berkata "Kita ramai tentera tapi kurang yang bawa senjata". Satu metafora yang sungguh mendalam maknanya untuk difahami.

Apa yang diperkatakan sahabat penulis itu punya kaitan yang jelas dengan apa yang sering kali dibawa perwakilan dalam sidang muktamar yang diadakan setiap tahun. Jelas kita punya tentera yang ramai tapi kurang yang membawa senjata. Dalam erti kata yang lain, hari demi hari kita semakin hebat dengan kuantiti namun dari sudut kualiti masih banyak yang perlu diusahakan oleh lujnah tarbiyah dan pimpinan gerakan.

Dalam artikel terdahulu penulis ada berbicara mengenai piawaian pemuda Ansorullah yang menjadi dambaan harakah Islam untuk meneruskan kesinambungan perjuangan ini. Usaha ke arah itu telah wujud dan dilaksanakan namun masih wujud kelemahan ketara terutama sekali dari sudut pelaksanaannya yang tidak menyeluruh dan sistematik serta tidak mencapai target dalam ruang yang lebih luas. Semua perlu akur kepada prinsip "kebatilan berstrategi akan mengalahkan kebenaran tanpa strategi". Itu adalah sebuah hakikat.

Tidak hairanlah Islam mengajar kita supaya mengiringi usaha di sebalik munajat kita kepada Allah. Jika strategi tidak penting maka munajat dan tawakal kepada Allah sahaja sudah cukup tanpa perlu disertakan usaha. Akan tetapi Islam menyuruh manusia berusaha terlebih dahulu dan kemudiannya barulah berdoa.

Berbalik kepada persoalan asas, sememangnya diakui perjuangan Islam menerima penambahan para pejuang seiring meningkatnya usia perjuangan ini. Malangnya di situ peningkatan dari sudut kualiti pejuang tidaklah serancak penigkatan kuantiti pejuang. Masih ramai yang goyah apabila diuji Allah dijalan perjuangan bahkan ada yang berputus asa dan berhenti dari menyerahkan kudrat untuk gerakan walaupun masih menyokong gerakan.

Situasi muktahir ini menambahkan lagi tekanan. Pelbagai isu yang memalit perjuangan benar-benar menguji akidah seorang pejuang. Kadang-kala terdengar juga rungutan, "bila kita nak menang? Dah bertahun dah ni." dan bermacam lagi ragam yang lain.

Menjawab perkara ini, Ustaz Rizal (Dewan Ulama PAS Teluk Intan) pernah berkata sesungguhnya perjuangan seorang habibullah (kekasih Allah) adalah selama 23 tahun. Adakah layak untuk kita yang sekadar maqamnya hamba Allah untuk mencapai kemenangan dalam tempoh yang singkat? Layakkah kita merungut walaupun kita sudah bersusah selama 50 tahun untuk Islam sedangkan hakikat susah kita hanyalah 5% lamanya mengikut masa sehari di akhirat. Dalam erti kata lain kita baru berjuang lebih kurang satu jam masa di akhirat (50 tahun di dunia) sedang Allah menjanjikan balasan syurga selama-lamanya untuk mereka yang bekerja untuk agama Allah.

Di sinilah tarbiyah diperlukan. Bukan sekadar senjata menyerang musuh yang tampak bahkan senjata melawan musuh bersifat ilusi (yakni bisikan jahat iblis dan syaitan) yang sentiasa mencoba untuk meragukan manusia dengan kebenaran perjuangan Islam. Dan pimpinan harakah wajib membantu pejuang-pejuang yang ada menyediakan senjata-senjata mereka melalui program pengkaderan dan pentarbiyahan yang berstrategi sehingga ke akar umbi untuk membina sebuah jamaah yang hebat dari segi kuantitinya dan fantastika dari segi kualitinya. Sesungguhnya tarbiyah menyelamatkan pejuang.

Dengan ini barulah kita punya tentera-tentera yang siaga dengan senjata di tangan. InsyaAllah tentera-tentera inilah yang akan memacakkan panji Islam di kemuncak dunia tanda Islam kembali menguasai dengan limpahan rahmat. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kumpulan jamaah ini. IsyaAllah...Allahuakbar!!!


Wednesday, April 6, 2011

KE ARAH PEMUDA ANSORULLAH

Setiap kali mentelaah sejarah-sejarah silam perjuangan, pasti tidak dapat lari dengan fakta-fakta kukuh yang menunjukkan secara jelas keterlibatan pemuda dalam mencorak seni atur perjuangan termasuklah dalam konteks perjuangan Islam. Pemuda merupakan aset penting kepada perjuangan bahkan golongan pemuda jualah tempat Rasulullah saw bergantung harap untuk membantu perjuangan Islam. Sabda Rasulullah saw;

"...yang mendokong perjuanganku (Islam) ialah pemuda sedang yang menyanggahi (secara keras) adalah golongan tua"

Pemuda Islam wajib memperkemaskan diri dengan segala perkara yang perlu untuk menempatkan diri dalam kumpulan Pemuda Ansorullah yang sentiasa ada dan sedia untuk Islam. Itulah istilah Pemuda Ansorullah. Sentiasa siap siaga untuk bertempur atas nama Islam, menolak tepi segala perkara dunia yang lain dan terus menuju ke medan jihad tanpa sebarang keraguan barang sedikit terhadap seruan perjuangan menegakkan syariat Islam di muka bumi ini. Pemuda Ansorullah juga tidak gentar berdepan risiko serta implikasi negatif apabila menjulang panji Islam di medan tempur perjuangan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada kaumnya itu; "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalanku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)." Merekapun menjawab: "kamilah pembela-pembela (agama) Allah" (Setelah Nabi Isa tidak berada di kalangan mereka) maka sepuak dari Kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi tetap kafir. Lalu, Kami berikan pertolongan kepada yang Beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang"
(Surah As-Shaff ayat 14)

Prinsip utama Pemuda Ansorullah ialah kesediaan yang tidak berbelah bahagi untuk turun ke medan jihad menunaikan tanggungjawab dan amanah perjuangan bersama ikrar pejuang " إما نصر و إما شهادة" yang bermaksud "Sama ada menang atau gugur syahid".

Ansorullah merupakan kualiti dan tahap piawaian yang perlu dicapai setiap yang bergelar pejuang melalui pelbagai aktiviti yang disusun atur. Pejuang perlu menggarap semua lapangan gerak kerja yang melibatkan amal tarbawi (pengkaderan), amal siyasi (politik), amal kebajikan serta dakwah (penerangan) untuk melahirkan ciri-ciri Ansorullah dalam dada insan pejuang.

Terdapat beberapa aspek yang perlu 'dikejar' oleh Pemuda untuk meletakkan beberapa perkara dalam piawaian Ansorullah. Pertama, Ansorullah dari segi akidah dengan mempunyai pegangan serta prinsip perjuangan yang jelas dan mantap. Kedua, Ansorullah dari segi fikrah dengan timbunan kreativiti pemikiran serta pandangan ikhlas yang membina. Ketiga, Ansorullah dari segi akhlak dengan mempunyai nilai keperibadian yang tinggi serta kaya dengan akhlak-akhlak Islam. Dan yang keempat, Ansorullah dari segi aktiviti dengan keterlibatan dalam gerak kerja Islam secara maksima.

Maka, terdapat beberap asas utama yang perlu diketahui untuk mencapai piawaian Ansorullah dalam perkara-perkara tersebut. Pertama, Kefahaman Ilmu tasawur Islam secara jelas dan tepat. Kedua, pengetahuan luas dalam pelbagai disiplin ilmu yang berlainan. Ketiga, sentiasa beriltizam dan istiqamah dalam program pengkaderan dan pembinaan jemaah. Keempat, taqqarub yang erat kepada Allah swt. Manakala yang kelima, Intima' berasaskan aqidah Islam dengan penglibatan secara maksima serta mencapai sifar ponteng dalam program-program gerakan.  

Bermodalkan Islam sebagai produk tunggal dalam pasaran terbuka, setiap pejuang Islam menggalas kewajiban sebagai penggerak dalam sektor 'pengilangan', 'pemasaran' dan 'penjualan' kepada hampir 30 juta rakyat di Malaysia. Maka, sememangnya Islam memerlukan kepada pemuda yang pro-aktif, kreatif dan agreasif (bertaraf Ansorullah). Dengan itu, barulah 'pengguna' akan lebih yakin untuk menerima pakai Islam yang dibawa oleh pejuang.

Perlu difahami melahirkan generasi pemuda Ansorullah bukanlah bermakna membina jati diri pemuda yang offensive secara ekstrim, kasar dan ganas. Nilai Ansorullah yang ingin diterapkan di sini ialah nilai kepemudaan yang merangkumi;

a ] Pemuda yang beriman dan bertaqwa
b ] Pemuda yang berilmu pengetahuan dan berwibawa
c ] Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
d ] Pemuda yang berhemah dan berhikmah
e ] Pemuda yang berjiwa besar dan lapang dada
f ] Pemuda yang tangkas dan berani
g ] Pemuda yang cerdas dan cergas
h ] Pemuda yang sabar dan tabah
i ] Pemuda yang amanah dan setia 

Namun ini tidak bermakna kita perlu menukar Pemuda topi di kepala kepada serban di kepala. Pemuda bermotosikal kepada Pemuda gasing atau lain-lain. Setiap pejuang dengan disiplin ilmu berlainan seharusnya terus dengan minat masing-masing. Cuma yang membezakan adalah setiap tindakan mereka akan dilapik dengan syariat untuk meletakkan setiap perkara yang dilakukan itu dicatit sebagai amalan di sisi Allah Azza Wa Jalla.

Di sinilah kesahihan aqidah serta fikrah (antara piawaian mencapai Ansorullah) memainkan peranan. Dan di sini jugalah Islam dapat dipromosikan sebagai sebuah agama rahmat dan bukan agama yang bersifat menyekat. Bahkan, ini juga merupakan ruang dakwah secara halus yang dapat dipraktikkan oleh pejuang. Umpama menyerang dua sasaran dengan satu peluru, di samping mentarbiyah diri menuju Ansorullah kerja-kerja dakwah juga turut berjalan secara langsung.

Justeru, dengan beban tanggungjawab yang berat digalas oleh pemuda sebagai agen perubahan dalam masyarakat umumnya, setiap pejuang perlu lebih sedia dari yang perlu menghadapi ranjau perjuangan. Tidak sekadar duduk setelah membayar yuran ahli dan menyertai aktiviti sebaliknya Pemuda Islam perlu ke hadapan  merencana, menggerakkan dan menjayakan visi dan misi perjuangan Islam yang mempunyai susun atur sanad yang panjang terus kepada junjungan besar Rasulullah saw. 

Sesungguhnya perjuangan Pemuda Ansorullah bukanlah untuk mencari publisiti atau membina empayar politik sebaliknya perjuangan Pemuda Ansorullah adalah untuk Islam dan ummah dengan qasad perjuangan kerana Allah Ta'ala.


Friday, March 25, 2011

TARBIYAH MENYELAMATKAN PEJUANG

Sesiapa yang melalui jalan-jalan perjuangan Islam pasti akan mengerti apa yang bakal disampaikan. Perjalanan yang jauh dan panjang diiringi halangan-halangan pelbagai wajah. Kadang-kala kaki si pejuang merasa jemu melangkah. Dua pertanyaan yang datang. Bilakah kemenangan itu akan sampai membawa gemirlapan Islam sebagai agama fitrah. Atau bilakah tiba seruan kepada Malaikat supaya aku dipanggil dalam keadaan syahid menjulang panji Islam.

Alhamdulillah, sungai tarbiyah yang mengalir di dada para pejuang sentiasa menjernihkan perasaan hitam yang cuba menyelubungi diri. Racun tentera-tentera Iblis yang sentiasa cuba melahirkan rasa putus asa dalam diri pejuang pasti dapat dineutralkan dengan bimbingan Mursyid yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan. Sememangnya itulah panduan terbaik dalam segala macam hal termasuk dalam mengsiagakan para pejuang Islam.

Maka tidak hairanlah Islam sentiasa melahirkan para pejuang yang tidak jemu dengan perjuangan. Terus mengemudi bahtera walaupun pelbagai dugaan serta jaminan masa depan yang sukar akibat perlakuan busuk hati golongan musuh Islam. Para pejuang Islam telah dijanjikan dengan hidangan fitnah untuk mereka. Cacian, makian, penghinaan, dizalimi, dianiaya, diaibkan, malah dilabel dengan jolokan yang menaikkan perasaan benci orang ramai terhadapnya. Lebih hebat lagi sehingga ke tahap mahu dibunuh atau dibunuh dengan kejam. Tetapi akidah para Mujahidin islam telah diikat dengan kalam Allah;

"Apakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan mengatakan "kami telah beriman!", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta."
(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Tentera-tentera Iblis tidak akan berhenti menyemai butir keraguan dalam hati para pejuang seperti mana syaitan berwajah manusia tidak berhenti berusaha melupuskan perjuangan Islam di dunia ini. Pelbagai helah dirancang termasuklah membisikkan ke dalam hati pejuang suatu tanggapan bahawa Allah sedang mempermainkan kita dengan cobaan yang besar ini. Tetapi, hati-hati pejuang Islam telah diikat dengan keyakinan;


"Allah tidak akan membebani seseorang itu sesuai dengan kemampuannya"
(Surah Al-Baqarah ayat 139)

Pejuang Islam telah ditarbiah dengan kefahaman ini. Maka, Mujahidin sejati tidak akan berganjak dari prinsip perjuangan walaupun diduga dengan ujian yang berat. Sesungguhnya, ujian yang besar itu menggambarkan betapa tingginya darjat seseorang itu di sisi Allah. Allah berfirman;

"Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjat, jika kamu orang-orang yang beriman"
(Surah Al-Imran ayat 139)

Untuk mencapai tingkatan darjat di sisi Allah, pejuang Islam telah diajar cara menentukan sikap mereka dalam menempuh dugaan. Firman Allah;

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (melebihi kesabaran musuh di medan perang) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di sempadan-sempadan) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mencapai kemenangan (dunia atau akhirat)"
(Surah Al-Imran ayat 200)

Dan firman Allah lagi;

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"
(Surah Al-Baqarah ayat 45)

Dalam firman yang lain;

"...Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. Dialah Tuhan Pemilik Arasy yang agung"
(Surah At-Taubah ayat 129)

Dalam realiti perjuangan zaman kotemporori ini, pejuang Islam dihimpit dengan satu lagi dugaan yang hakikatnya banyak juga mendorong kepada jatuhnya moral pejuang Islam. Iblis dibantu tentera-tentera mereka menimbulkan satu pertanyaan nafsu kepada para pejuang iaitu di mana upahnya?

Setelah diri direlakan dengan cercaan, pengaiban, dizalimi bahkan sampai dibunuh, syaitan akan membisik di dalam hati mana faedahnya? Mana balasannya? Harta telah habis diinfakkan dan kudrat semampunya dikerah namun faedah daripadanya masih belum kelihatan. Tetapi pejuang sejati punya jawapan yang paling ampuh;

"Sesungguhnya Allah telah membeli orang-orang mukmin diri mereka, harta mereka, dengan menjanjikan syurga untuk mereka"
(Surah At Taubah ayat 111)

Dalam diari pejuang-pejuang Islam juga tidak ada kalimah putus asa. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan dalam firmanNya;

"dan janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya tidak ada putus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir"
(Surah Yusuf ayat 12)

Subhanallah, Allahuakbar!!

Allah punya konklusi terhadap segala kekusutan kita. Baik sebagai pejuang atau apapun kita di dunia. Sesunggunya perjuangan Islam adalah perjuangan yang diikat dengan akidah Islam. Mahu tidak mahu seseorang pejuang perlu merelakan diri untuk ditarbiyah dan mengusahakan diri ke arah tarbiyah Islam sebagai pakaian siaga berdepan musuh Allah yang ghaib mahupun yang tampak. Sesungguhnya ia sumber kekuatan para pejuang Islam. 

TARBIYAHKAN DIRI DENGAN TARBIYAH ISLAM...!


Thursday, March 24, 2011

TIPS PEMBELAJARAN - BELAJAR SAMBIL INGAT ALLAH, PASTI ALLAH BANTU KITA INGAT PEMBELAJARAN

Firman Allah s.w.t.;

"Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) baginya"
(Surah Ath-Thalaaq ayat 3)

Sebelum mengulangkaji pelajaran / memulakan kelas / mengambil ujian;

1) Membaca Basmalah (disertakan niat kerana ALLAH);




"بسم الله الرحمن الرحيم"


2) Sedekahkan Al-Fatihah kepada Junjungan Besar Rasulullah saw, keluarga baginda, para sahabat, para tabie, salafus soleh, para ulama dulu dan kini, guru yang mengajar, ibu bapa dan seluruh muslimin dan muslimat.

3) Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw (7 kali) - Seafdalnya selawat Ibraimiyyah

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً
"Sesungguhnya Allah dan Malaikat berselawat ke atas Nabi, Wahai orang-orang yang
beriman, berselawatlah kalian ke atas Nabi dan ucapkanlah salam"(Al-Ahzab:56)

4) Bertasbih, tahmid dan takbir (33x,33x,34x)

5) Membaca doa dibawah (sambil tangan mengusap ke bahagian dada (hati));

Pilih salah satu doa. Seafdhalnya doa ketiga.
6) Dan iringi pembelajaran kita dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad saw.


Beberapa perkara penting yang perlu dilakukan seharian;

1) Basahkan lidah dan tenangkan hati dengan membaca Al-Quran (Seafdhalnya selepas subuh atau selepas Asar. Tetapkan sekurang-kurangnya semuka sehari)

2) Iringi hari-hari di dunia ini dengan Selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw (Berselawatlah walau di mana dan dalam keadaan apapun)

3) Pastikan niat kita kerana Allah taala. Berjalan kita kerana Allah, bertutur kita kerana Allah, belajar kita kerana Allah, tidur kita kerana Allah. (ingat Allah dalam setiap gerak kita)

"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan tenteram"
(Az-Zukhruff ayat 36)

4) Setelah berusaha secara zahir dan berdoa kepada Allah maka bertawakallah dan bersyukurlah di atas hasil yang kita perolehi. Mudah-mudahan kita semua mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. AMIN!!!

"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti akan Kami tambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih"
(Surah Ibrahim ayat 7)


- Rujukan / hasil dapatan Ustaz Zainol Asri

Sunday, March 6, 2011

CABARAN PEJUANG-PEJUANG ISLAM: "KEKAL PUTIH DALAM LUMPUR HITAM"

Bismillahirahmanirrahim...

Detik berganti detik, hari berganti hari. Alhamdulillah, perjuangan Islam terus subur tumbuh disegenap penjuru dunia. Bersenjatakan ilmu dan tarbiyah dipimpin mursyid harakah Islam, seorang demi seorang pejuang dilahirkan seiring dengan syahidnya pejuang-pejuang Islam terdahulu kerana sesungguhnya perjuangan Islam tidak akan pernah pupus dengan penggerak yang ikhlas menyerahkan segalanya termasuk nyawa kepada Allah.

Rasulullah SAW melalui lisan Baginda yang bersandar kepada wahyu Allah telah menjanjikan kemenangan untuk Islam. Sehari umur dunia meningkat, maknanya sehari kemenangan Islam makin dekat, sehari kehancuran mungkar datang mendekat. Itu adalah keyakinan kita sebagai umat Islam yang berdepan dengan pelbagai wajah musuh yang wujud dalam perjuangan nyata ini.

SOALNYA...APA KHABAR IMAN KITA HARI? ADAKAH KITA TERGOLONG DALAM JEMAAH PENEGAK ISLAM?  DAN CUKUP SIAGAKAH KITA UNTUK 'BERPEDANG' ATAS PANJI ISLAM? 

Kita menyakini bahawa Islam akan menang juga pada akhirnya. Cuma, adakah kita berada di landasan yang betul untuk mendaftarkan nama kita sebagai kudrat yang membantu ke arah kemenangan ini? Hakikatnya, wujud atau tidak kita dalam perjuangan, Islam tetap akan dijulang. Maka amat rugilah mereka yang leka dalam menyumbang tenaga dan hanya menjadi penonton kepada kemenangan Islam.

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesungguhnya bermulanya datang Islam dalam keadaan asing (aneh) dan akan datang Islam akan kembali asing seperti permulaannya. Namun, berbahagialah orang-orang yang asing itu"

Sahabat bertanya,

"Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan asing itu?"

Rasulullah SAW berkata,

"Orang-orang yang melakukan kebaikkan di saat orang sibuk melakukan kerosakan"
(HR MUSLIM)

Menganalisi hakikat keadaan dunia hari ini, dapatlah disimpulkan bahawa antara perjuangan besar umat Islam hari ini adalah untuk terus setia dan istiqamah pada perjuangan agama Allah ini. Realiti di zaman Rasulullah, kebaikkan itu mengatasi kemungkaran hingga orang jadi malu-malu berlaku mungkar. Diri terasa bodoh dan asing kerana kemungkaran yang dilakukan. Akhirnya kemungkaran ditinggalkan kerana jernih pancaran Al-Maaruf.

Zaman berubah setelah hampir 1500 tahun berlalu. Realiti hari ini menyaksikan kemungkaran mengatasi kebaikkan hingga manusia jadi malu-malu untuk berbuat baik. Diri terasa amat asing dan dipandang bodoh oleh orang lain. Namun ketahuilah sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah bersaksi bahawa mereka inilah yang akan mendapat keuntungan di akhirat kelak.

Oleh itu, pejuang Islam perlu menyedari keutamaan mereka ketika ini. Mereka perlu sentiasa sedia dalam lautan leka. Perlu terus maaruf dalam godaan mungkar. Dalam erti kata lain, 'kekal putih dalam lumpur hitam'.
Maka, ketahuilah kunci Istiqamah pejuang-pejuang Islam adalah pengisian tarbiyah yang mantap dalam kekosongan ruang dada.

Kesimpulannya, setiap dari kita yang bergelar pejuang perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan senjata tarbiyah dan ilmu. Terus fokus kepada perjuangan dengan tidak membenarkan alir-alir nafsu melekakan kita dalam perjuangan. Sesungguhnya kemenangan Islam itu semakin hampir. Bergegaslah kalian semua menghadirkan kudrat untuk kemenangan itu. ALLAHUAKBAR!!




Saturday, February 19, 2011

TERIMA KASIH WAHAI MUSUHKU

Sebatang tubuh tua yang dibenak dipenuhi ilmu berguna. Dia datang kepada aku membawa sekalung ilmiah untuk tarbiyah jiwa. Aku kepingin mendengar setiap bait kata-kata yang keluar seiring lunak suaranya. Kerana takut akan kedasyhatan apabila ilmu ditarik oleh Allah Azza Wa Jalla. Maka, sebelum dia dipanggil atau aku dipanggil eloklah aku menadah telinga dan membuka gerbang ilmu hati.

"Aku baru pulang dari mengurus sekujur tubuh. Kalian tahu apa yang aku temui?" Kami semua terdiam, saling berpandangan kebingungan. "Aku melihat sesuatu yang tidak pernah aku terfikir sebelumnya. Sesuatu yang mencium dadaku dengan satu nilai tarbiyah diri yang tinggi"

"Sebentar tadi tatkala aku dalam perjalanan ke mari, ditakdirkan Allah aku bertemu dengan saudaraku yang semirip dengan tubuhnya yang dipanggil Izrail tadi. Aku terkejut kagen sedang sekilas tadi aku baru menguruskan sebujur tubuh jenazahnya. Dia datang dengan baju putih bersih, wajah yang indah serta haruman memukau."

Kami semua terpaku. Benak masing-masing menunggu Tuan Guru menyusun kata-kata hikmahnya.

Sambil terukir senyuman di wajah, dia menyambung "Maha Suci Allah! Maha Besar Allah! Dia berkuasa ke atas sesuatu! lelaki yang kuurusi itu datang kepadaku dengan wajah gembira. Dia mengkhabarkan keadaannya yang dibasahi hujan nikmat di kehidupan sana"

"ALLAHUAKBAR!!" Teriak kami yang mendengar.

Air mata Tuan Guru mengalir. Tanpa sedar, setiap dari kami turut mengalir air mata. Air mata apa? Aku tak tahu.

Tuan Guru menyambung "Dia khabarkan kepada aku bahawa dia berasa nikmat di sana. Lalu aku mengucap kalam soal, Apa amal yang membuahkan nikmatmu di sana?"

"Lalu katanya tiada apa yang dapat aku ucapkan melainkan TERIMA KASIH WAHAI MUSUHKU!"

Kami tercengang? Mengapa itu butir kata-katanya?

"Kamu pelik? aku juga begitu sehinggalah dia menerangkan"

"Sesungguhnya musuh-musuh aku sering menarik aku ke gelanggang jihad di jalan Allah. Bermain dan berpedang dengan aku menjulang kebenaran sedang mereka menjulang kebatilan. Mereka mencaci aku, melabel aku pemecah belah masyarakat, menyakiti aku bahkan ingin membunuhku sedang aku terus istiqamah dalam perjuangan ini. Lalu, aku diberi nikmat kerananya."

?????

"Di bahagian lainnya pula, amat sedikit sahabatku yang mengajak aku ke gerbang jihad. Ramai yang mengajakku menjadi teman senyum gembira hingga kekadang aku lupa pada perjuangan. Mujur musuhku mengingatkan kukembali. Lalu, aku tidak mendapat barang seulas nikmat syurga kerana kerja lagha ku. Sekali lagi, mujur musuhku ada!"

ALLAHUAKBAR!!! teriakkan semakin kuat...

Dia telah mendapat janji Allah!! Sesungguhnya KAMI juga sedang menunggu janji Allah!! Cuma kami perlu terus istiqamah di Jalan ALLAH. Kerana ALLAH. Kerana ISLAM.


Monday, January 24, 2011

TAUJIHAD DARI KISAH-KISAH PERJUANGAN SILAM

- ULASAN DARI KISAH-KISAH PEJUANG ISLAM ZAMAN RASULULLAH HINGGA ZAMAN KONTEMPORORI...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Segala puji bagi Allah yang memberikan kita semua dengan nikmat Iman dan Islam. Mudah-mudahan kita semua dikurniakan dengan hidayah serta keampunan dari Allah Azza Wa Jalla.

Mengkaji kisah-kisah para daie memberikan kita satu tazkirah bahawa menggalas tanggungjawab sebagai seorang pendakwah bukanlah satu tugas yang mudah. Baik melalui peribadi Rasulullah s.a.w. sebagai contoh tauladan terbaik untuk umat manusia sehinggalah kisah-kisah perjuangan dakwah zaman sahabat, tabi'ex serta golongan da'ie kontemporori. Semuanya mempunyai jalan cerita yang sama disebalik skrip yang berbeza. Cacian, herdikan, penghinaan, penganiayaan sehingga ke tahap mahu dibunuh. Itu semua adalah asam garam dalam perjuangan menyebarkan risalah dakwah Islamiyyah.

Rasulullah dicaci, dimaki, dilabel pemecah-belah masyarakat bahkan sampai mahu dibunuh oleh musuh-musuh Islam manakala sahabat seperti Bilal Bin Rabah diseksa dengan cara yang amat kejam dari sudut kemanusiaan. Golongan tabi'e dan kontemporori juga turut memahat nama-nama pejuang Islam yang bersusah payah dalam menyebarkan risalah dakwah. Misalnya Syeikh Ahmad Yassin di Palestin dan As-Syahid Hassan Al-Banna di Mesir.

Kisah-kisah yang dipaparkan dalam pelbagai kitab-kitab sirah ini seharusnya mampu mengejutkan kita dari lamunan. Pendakwah Islam hari ini perlu bangkit dan keluar daripada zon selesa. Persoalan demi persoalan perlu diajukan pada iman kita. Apakah cacian pertama kita kerana menegakkan Islam? Bilakah makian pertama kita kerana menyebarkan Islam? Pernahkah kita dilabel pemecah-belah masyarakat kerana mengajak manusia kepada agama Allah? Pernahkah kita merasa sulit kerana urusan agama Allah? 

Jika tidak itu bermakna kita masih berada di dalam zon selesa. Menikmati kesenangan hasil nikmat kurniaan Allah tanpa berusaha memerah keringat untuk gerak kerja Islam sedang Rasulullah s.a.w. hampir dibunuh kerana menyebarkan risalah dakwah.Maka, tinggal satu persoalan yang tinggal. Adakahlayak kita digelar da'ie jika realitinya kita masih berada di dalam zon selesa?

Kesimpulannya, pendakwah Islam hari ini perlu mengambil pengiktibaran daripada kisah-kisah perjuangan golongan terdahulu sebagai suatu taujihad dalam meningkatkan kualiti diri sebagai seorang da'ie. Kita perlu mula melangkah keluar dari zon selesa dan kembali kepada hakikat sebenar dunia dakwah Islamiyyah yang penuh pancaroba dan liku-liku perjuangan yang semestinya memerlukan kepada keutuhan iman dalam diri para da'ie.


Tuesday, December 21, 2010

BANGSA DAN AGAMA - YANG MANA LEBIH UTAMA

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hujuraat ayat 13;

"Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptamu dari laki-laki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal, sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang paling bertakwa kepada Allah dalam kalangan kamu, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Dalam Pengetahuannya."

BANGSA dan AGAMA! Yang mana dahulu? Yang mana harus diletakkan sebagai keutamaan yang patut didahulukan. Inilah salah satu persoalan yang realitinya hari ini menjadi satu barah dalam kehidupan masyarakat Islam di setiap pelusok dunia. Kegagalan mengesan awlawiyat dalam kehidupan terutama dalam hal membezakan keutamaan bangsa dan agama dalam perjuangan.

Hakikatnya Allah menetapkan tahap tertentu antara dua perkara ini melalui ayat Al-Quran di atas. Sesungguhnya taraf pelbagai bangsa yang wujud didunia ini adalah sekata. Tidak ada bangsa yang dilebihkan Allah berbanding bangsa lain dari sudut kemuliaan melainkan taqwa itulah yang menjadi pembeda kemuliaan seseorang atau sesuatu kaum. Sabda Rasulullah s.a.w.;

"Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama iaitu (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas 'ajam (yang bukan arab) atau 'ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan."

Maka tahulah kita dengan jelas bahawa bangsa bukan keutamaan dalam perjuangan. Tidak dinafikan survivor bangsa perlu dipertahankan tetapi hendaklah secara berhemah serta tidak menjejaskan survivor agama yang keutamaannya melebihi bangsa.

Contohnya hari ini, umat Islam lantang menyuarakan dan memperjuangkan agar bangsa mereka sentiasa diangkat sebagai bangsa penguasa sedang kita lupa untuk mengangkat Islam untuk memerintah. Maka terdengarlah slogan mengagungkan bangsa, mengangkat bangsa sebagai tuan sehingga menimbulkan krisis perkauman sekaligus menggugat kesejahteraan yang sedia wujud.

Walhal, Nabi mewasiatkan supaya kita mengangkat Islam sebagai tuan dan faktor pimpinan kita kerana Islam itu membawa rahmat ke seluruh alam. Islam agama yang cukup bertolenrasi antara agama sekaligus mengelakkan krisis antara agama apatah lagi pergaduhan kaum. Ini diakui sendiri oleh orang bukan Islam sejak zaman berzaman dan dibuktikan secara praktikal oleh Nabi Muhammad s.a.w. lebih 1400 tahun yang lalu. Sabda Rasulullah s.a.w lagi;

"Sekalipun jika yang memerintahkan kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan kitab Allah, maka dengar dan taatlah."

Islam tidak memandang taraf seseorang itu, atau bangsanya, atau apa jua kritirea lain dalam mengangkat kepimpinan sebaliknya ketaqwaan dan kemampuan seseorang itu menjadi ulil amri yakni nanusia yang taat pada Al-Quran dan Sunnah serta mentadbir dengan keduanya menjadi penilaian. Mereka inilah (taat pada Allah dan rasul) yang wajib kita angkat dan taati sebagai pimpinan.

Mahfumnya di sini, Islam mengutamakan ketaqwaan kepada Allah melebihi keutamaan bangsa. Nabi Muhammad s.a.w. dalam peringatannya yang lebih keras kepada umatnya mengatakan;

"Bukan dari kalangan aku orang yang menyeru ke arah assobiyah (kebangsaan), dan bukan dari kalangan aku orang yang berperang atas dasar assobiyah (kebangsaan), dan bukan dari kalangan aku orang yang mati kerana dasar assobiyah (kebangsaan)"



Dengan dalil-dalil jelas ini seharusnya kita dapat sedar diri tentang keutamaan yang perlu kita ambil peduli. Bangsa atau Agama. Maka, pilihlah agama kerana itu penentu kemuliaan di sisi Allah. 

Kesimpulannya, majulah bersama Islam. Dengan kita mengangkat ajaran Islam dalam masa yang memajukan bangsa kita tanpa mendiskriminasi kaum lain. Itulah toleransi Islam. Maka, majulah kalian semua dengan Nur Islam, tauladan oleh Junjungan Nabi, rahmat kurniaan Rabbi Ilahi.

"BERSATU DALAM SAF ISLAM"