Followers

Wednesday, April 6, 2011

KE ARAH PEMUDA ANSORULLAH

Setiap kali mentelaah sejarah-sejarah silam perjuangan, pasti tidak dapat lari dengan fakta-fakta kukuh yang menunjukkan secara jelas keterlibatan pemuda dalam mencorak seni atur perjuangan termasuklah dalam konteks perjuangan Islam. Pemuda merupakan aset penting kepada perjuangan bahkan golongan pemuda jualah tempat Rasulullah saw bergantung harap untuk membantu perjuangan Islam. Sabda Rasulullah saw;

"...yang mendokong perjuanganku (Islam) ialah pemuda sedang yang menyanggahi (secara keras) adalah golongan tua"

Pemuda Islam wajib memperkemaskan diri dengan segala perkara yang perlu untuk menempatkan diri dalam kumpulan Pemuda Ansorullah yang sentiasa ada dan sedia untuk Islam. Itulah istilah Pemuda Ansorullah. Sentiasa siap siaga untuk bertempur atas nama Islam, menolak tepi segala perkara dunia yang lain dan terus menuju ke medan jihad tanpa sebarang keraguan barang sedikit terhadap seruan perjuangan menegakkan syariat Islam di muka bumi ini. Pemuda Ansorullah juga tidak gentar berdepan risiko serta implikasi negatif apabila menjulang panji Islam di medan tempur perjuangan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada kaumnya itu; "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalanku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)." Merekapun menjawab: "kamilah pembela-pembela (agama) Allah" (Setelah Nabi Isa tidak berada di kalangan mereka) maka sepuak dari Kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi tetap kafir. Lalu, Kami berikan pertolongan kepada yang Beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang"
(Surah As-Shaff ayat 14)

Prinsip utama Pemuda Ansorullah ialah kesediaan yang tidak berbelah bahagi untuk turun ke medan jihad menunaikan tanggungjawab dan amanah perjuangan bersama ikrar pejuang " إما نصر و إما شهادة" yang bermaksud "Sama ada menang atau gugur syahid".

Ansorullah merupakan kualiti dan tahap piawaian yang perlu dicapai setiap yang bergelar pejuang melalui pelbagai aktiviti yang disusun atur. Pejuang perlu menggarap semua lapangan gerak kerja yang melibatkan amal tarbawi (pengkaderan), amal siyasi (politik), amal kebajikan serta dakwah (penerangan) untuk melahirkan ciri-ciri Ansorullah dalam dada insan pejuang.

Terdapat beberapa aspek yang perlu 'dikejar' oleh Pemuda untuk meletakkan beberapa perkara dalam piawaian Ansorullah. Pertama, Ansorullah dari segi akidah dengan mempunyai pegangan serta prinsip perjuangan yang jelas dan mantap. Kedua, Ansorullah dari segi fikrah dengan timbunan kreativiti pemikiran serta pandangan ikhlas yang membina. Ketiga, Ansorullah dari segi akhlak dengan mempunyai nilai keperibadian yang tinggi serta kaya dengan akhlak-akhlak Islam. Dan yang keempat, Ansorullah dari segi aktiviti dengan keterlibatan dalam gerak kerja Islam secara maksima.

Maka, terdapat beberap asas utama yang perlu diketahui untuk mencapai piawaian Ansorullah dalam perkara-perkara tersebut. Pertama, Kefahaman Ilmu tasawur Islam secara jelas dan tepat. Kedua, pengetahuan luas dalam pelbagai disiplin ilmu yang berlainan. Ketiga, sentiasa beriltizam dan istiqamah dalam program pengkaderan dan pembinaan jemaah. Keempat, taqqarub yang erat kepada Allah swt. Manakala yang kelima, Intima' berasaskan aqidah Islam dengan penglibatan secara maksima serta mencapai sifar ponteng dalam program-program gerakan.  

Bermodalkan Islam sebagai produk tunggal dalam pasaran terbuka, setiap pejuang Islam menggalas kewajiban sebagai penggerak dalam sektor 'pengilangan', 'pemasaran' dan 'penjualan' kepada hampir 30 juta rakyat di Malaysia. Maka, sememangnya Islam memerlukan kepada pemuda yang pro-aktif, kreatif dan agreasif (bertaraf Ansorullah). Dengan itu, barulah 'pengguna' akan lebih yakin untuk menerima pakai Islam yang dibawa oleh pejuang.

Perlu difahami melahirkan generasi pemuda Ansorullah bukanlah bermakna membina jati diri pemuda yang offensive secara ekstrim, kasar dan ganas. Nilai Ansorullah yang ingin diterapkan di sini ialah nilai kepemudaan yang merangkumi;

a ] Pemuda yang beriman dan bertaqwa
b ] Pemuda yang berilmu pengetahuan dan berwibawa
c ] Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
d ] Pemuda yang berhemah dan berhikmah
e ] Pemuda yang berjiwa besar dan lapang dada
f ] Pemuda yang tangkas dan berani
g ] Pemuda yang cerdas dan cergas
h ] Pemuda yang sabar dan tabah
i ] Pemuda yang amanah dan setia 

Namun ini tidak bermakna kita perlu menukar Pemuda topi di kepala kepada serban di kepala. Pemuda bermotosikal kepada Pemuda gasing atau lain-lain. Setiap pejuang dengan disiplin ilmu berlainan seharusnya terus dengan minat masing-masing. Cuma yang membezakan adalah setiap tindakan mereka akan dilapik dengan syariat untuk meletakkan setiap perkara yang dilakukan itu dicatit sebagai amalan di sisi Allah Azza Wa Jalla.

Di sinilah kesahihan aqidah serta fikrah (antara piawaian mencapai Ansorullah) memainkan peranan. Dan di sini jugalah Islam dapat dipromosikan sebagai sebuah agama rahmat dan bukan agama yang bersifat menyekat. Bahkan, ini juga merupakan ruang dakwah secara halus yang dapat dipraktikkan oleh pejuang. Umpama menyerang dua sasaran dengan satu peluru, di samping mentarbiyah diri menuju Ansorullah kerja-kerja dakwah juga turut berjalan secara langsung.

Justeru, dengan beban tanggungjawab yang berat digalas oleh pemuda sebagai agen perubahan dalam masyarakat umumnya, setiap pejuang perlu lebih sedia dari yang perlu menghadapi ranjau perjuangan. Tidak sekadar duduk setelah membayar yuran ahli dan menyertai aktiviti sebaliknya Pemuda Islam perlu ke hadapan  merencana, menggerakkan dan menjayakan visi dan misi perjuangan Islam yang mempunyai susun atur sanad yang panjang terus kepada junjungan besar Rasulullah saw. 

Sesungguhnya perjuangan Pemuda Ansorullah bukanlah untuk mencari publisiti atau membina empayar politik sebaliknya perjuangan Pemuda Ansorullah adalah untuk Islam dan ummah dengan qasad perjuangan kerana Allah Ta'ala.


No comments:

Post a Comment