Followers

Sunday, April 24, 2011

GERAKAN ISLAM PERLU ADA PRODUKSI SENDIRI?

Sedar tak sedar, hari demi hari televisyen kita semakin melampau. Syarikat produksi filem pula semakin hilang pedoman semata-mata mengejar keuntungan duniawi dalam menerbitkan karya-karya untuk tatapan masyarakat umum. Batas syarak diketepikan dalam persembahan mereka dan kemaksiatan dihalalkan malah cuba dilindung di sebalik alasan "Lihatlah mesej yang cuba disampaikan."

Setiap kali ada filem-filem yang ekstrem dan keterlaluan dikeluarkan alasan inilah yang akan diberi. Seakan mengajak penonton menghalalkan perkara yang haram dengan mengajak mereka melihat moral yang wujud pada filem dan bersikap pejam mata terhadap kemaksiatan yang berlaku. Nauzubillah, bukankah yang mengajak manusia menghalalkan perkara yang haram itu kerja iblis dan yahudi...

Kadang-kadang penat juga dengan rengekan terhadap filem-filem yang melampau ini. Bukan penat mendengar rengekan tersebut tetapi penat menunggu bila agaknya rengekan itu akan didengari? Kapan ya? Umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Semuanya tak kunjung tiba.

Habis tu nak buat macam mana? Berhenti merengek? Musuh tetap tak berhenti dengan kerja-kerja "mentarbiyah" minda manusia ke arah kekufuran. Ahh!!!! Susah sangat buat sendirilah. Memang dah tak boleh harapkan orang lain dah sekarang ni. Islam kena laksanakan sendiri. Ops!! Mungkinkah itu jawabnya??

Realiti dunia sekarang ini tidak semua "kotoran" boleh dicuci. Dalam erti kata lain, tidak semua keburukan boleh dipaksa berhenti. Lebih-lebih lagi dalam sebuah negara berfikrah sekular. Penulis masih ingat ketika belajar tentang kepekatan asid dan alkali di sekolah dahulu. Untuk meneutralkan kandungan asid dalam air, catalyst beralkali akan digunakan sehingga nilai pH air menjadi 7 iaitu nilai neutral.

Umpama realiti di zaman Rasulullah saw, kemungkaran berjaya dineutralkan dengan tumbuhnya 'pohon-pohon' kemaarufan sehingga menenggelamkan sang mungkar dari pandangan masyarakat. Kemungkaran menjadi malu-malu sebaliknya Islam terus dijulang dengan penuh bangga.

Kontra pula yang terjadi hari ini apabila kemungkaran menenggelamkan kemaarufan sehingga tidak punya rasa malu lagi dalam melakukan perkara mungkar. Sebaliknya kemaarufan dianggap asing dan pelik. Semuanya kerana kemungkaran itu kurang dipromosikan secara berseni kepada masyarakat.

Mengambil konsep ilmu untuk meneutralkan air berasid atau beralkali itu, penulis melihat sudah tiba masanya Islam mempunyai syarikat produksi sendiri untuk meneutralkan keburukan yang dibawa melalui persembahan karya dari pengkarya-pengkarya yang jelas menolak kesyumulan Islam dalam hasil seni mereka. Sebagaimana giatnya produksi menaja kemungkaran seperti itu juga Islam perlu aktif dalam menerbitkan filem-filem berlandaskan syarak dan mengenengahkan Islam dan tokoh-tokoh Islam sebagai role model generasi hari ini.

Mendengar cerita-cerita daripada orang terdahulu, teringin rasanya untuk berada dalam suatu zaman di mana TV3 pernah menayangkan kisah seorang wali hebat iaitu syeikh Abdul Qadir Jalani. Hakikatnya sekarang, kita dah tak boleh harapkan orang lain lagi dalam mempromosikan Islam ini kepada masyarakat. Bak kata Tuan Guru Nik Aziz, tugas mempromosi Islam dan gerakan Islam itu sendiri adalah kewajiban pejuang Islam dan bukan sesuatu yang boleh diharapkan kepada orang lain.

Dari sudut sambutan, yakinlah pada Allah. Allah pasti akan membantu orang-orang yang membantu agama-Nya. Tambahan lagi, masyarakat pada hari ini amat dahagakan ilmu lebih-lebih lagi ilmu kerohanian yang mempu memberi ketenangan dalam diri.

Kesimpulannya, penulis mengusulkan supaya satu usaha ke arah kewujudan syarikat produksi yang mampu menghasilkan karya-karya agung berlandaskan Islam serta persembahan secara syarak dapat diwujudkan sebagai "alkali" untuk meneutralkan taburan "asid" yang melanda dunia seni hari ini. Sesungguhnya, seni itu adalah sebahagian ilmu Islam yang perlu dipertahankan oleh umat Islam. Dan untuk ke arah itu, salah satu usahanya, gerakan Islam perlu kepada produksi sendiri. Wallahualam...


No comments:

Post a Comment