Followers

Thursday, April 28, 2011

PESANAN UNTUKKU SEBELUM KE 'PONDOK MERGONG'

Sekian lamanya memerah keringat di kampung halaman semata-mata ingin melihat Islam ditegakkan. Segala macam adegan aku lalui. Ada tika aku bersyukur berterima kasih pada Rabb. Ada tika aku tertunduk mengenangkan betapa lemahnya diriku. Segala macam kondisi aku rasai. Pada aku itu semua adalah satu tarbiyah dan ujian dari Allah dalam mematangkan aku dan perjuangan ini.

Aku masih ingat situasi aku bagai selapis dengan mati. Mungkin itu tarbiyah terbesar untuk yang pernah Allah kurniakan kepadaku. Seusia selesai menjayakan program memenangkan Islam aku 'tumbang' di rumah. Kepala terasa berat dan panas. Aku sangkakan itu cuma demam biasa. Keesokkan pagi yang terasa surut sedikit. Tapi, pabila menjelangnya tengah hari, petang dan malam, Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. La hau la wala qu wa ta illa billah.

Ketika diusung dengan katil hospital, aku tak merasa bibirku. Terdahulu, aku sudah tidak merasa anggotaku. Segala-galanya kebas dari kaki sehingga ke kepala. Nafasku, Allah!!! Waktu itu aku berkata kecil, "Ya Allah adakah Engkau mahu menarik nikmat nafas dariku?". Aku tercungap. Sukar untuk bernafas.

Beberapa minggu sebelum itu aku menerima sepucuk surat. TAHNIAH!! Aku diterima menuntut di Pondok Mergong. Berbelah bahagi juga hatiku pada mulanya. Tapi pada saat terlantar itu aku fikir, "Allah, tak sempat aku nak ke sana. Engkau panggil aku". Aku teringat beberapa perkara. Antaranya kata-kata yang seringku ucapkan kepada seorang sahabat. "Sebelum aku mati dua perkara aku minta sangat pada Allah. Pertama, aku nak berjabat salam dan mengucup tangan Tuan Guru Nik Aziz. Dan kedua aku ingin sekali melihat PAS memerintah Malaysia dengan sistem Islam".

Dalam keadaan itu aku hanya berserah. Redha! Malam itu sahaja dalam masa lima jam sebanyak 13 botol air dimasukkan ke dalam dadaku. Doktor kata aku kurang air, kurang gula. Yang aku tahu aku memang kurang berat tapi tak sangka air dan gulapun kurang. Setelah pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan kadar tenaga yang aku gunakan dalam aktiviti seharian tidak secocok dengan tahap air, gula dan tenaga yang ada. Aku makan, aku minum tapi tenaga yang digunakan melebihi dari tenaga yang ada dalam badan.

Detik lima jam itu satu tempoh yang panjang bagiku. Alhamdulillah keadaan aku selepas itu semakin stabil cuma sosok tubuhku dari kurus bertambah-tambah kurus. Mendadak sungguh dalam masa 5 jam sahaja. Kadang-kadang terlintas di fikiranku, "Mungkinkah itu pesan untukku sebelum ke Pondok Mergong?". Aku berada di tengah-tengah garis hidup dan mati. Aku tahu setiap perkara ada hikmahnya. Dan aku yakin ada pesan untukku yang sungguh bermakna dalam 5 jam itu. Pesanan yang cukup bermakna dan tidak dapat diungkapkan dengan bait kata di sini.

Keesokkannya aku kembali normal. Walaupun ada kerisauan jantungku akan berair kerana kuantiti air yang dimasukkan malam itu cukup banyak dalam tempoh yang singkat. Alhamdulillah semuanya baik dan aku dibenarkan pulang petangnya. Beberapa hari lagi aku akan ke Pondok Mergong. Mungkin aliranku bukan aliran agama tetapi telah berbisik hatiku akan keyakinan ilmu Islam yang banyak menanti untuk aku kutip di sana. Justeru perihal itu benar sekali. Aku terasa seperti orang yang sangat bodoh duduk di Pondok Mergong ini. Rupanya banyak lagi ilmu baru yang belum pernah aku pelajari.  

Beberapa jam sebelum ke Pondok Mergong, Naqibku datang menemuiku. Saat yang tak dapat digambarkan.  Hiba, suka atau apaan ni? Dia turut meninggalkan pesan untukku. "Kamu sebagai umat Islam lebih-lebih lagi orang yang ingin menyebarkan Islam perlu ingat 3 perkara. Pertama, Jangan pernah tinggal kewajiban kamu sebagai muslim. Kedua, Wajibkan diri kamu dalam perkara-perkara sunat. Dan ketiga takutkanlah dosa kecil lebih dari kamu takutkan dosa besar".

Dua perkara yang awal itu sering aku dengar. Tapi yang ketiga itu agak membingungkan aku. Namun aku dapat jawapannya di Pondok Mergong. Bukanlah maknanya aku tidak perlu takut kepada dosa besar. Cuma ketakutan aku pada dosa kecil perlu lebih dari dosa besar.

Rasionalnya, InsyaAllah seorang mukmin itu amat sukar sekali melakukan dosa besar. Mustahil untuk minum arak, atau berzina, Nauzubillah min zalik. Tetapi dosa kecil boleh dilakukan dalam perjalanan hendak ke surau. Atau dalam kuliah atau di mana sahaja.

Umpama pemburu masuk ke hutan, yang ditakuti bukan beruang tetapi ular. Asbabnya, kebarangkalian untuk bertemu beruang itu amat kecil tetapi ular ada di mana-mana. Atas, bawah kiri dan kanan, depan belakang. Dan dosa-dosa kecil yang berbintik hitam di hati ini akan menjadi perisa kepada kelazatan dunia dan akan menyebabkan aku lali dari merasai kelazatan ibadah.

Kini aku berada di Pondok Mergong. InsyaAllah, aku mohon kalian semua doakan yang terbaik untukku.

- Aku dapat sesuatu dari pengalamanku ini tapi aku masih mencari cara untuk mengungkapkannya dengan kata-kata. 


No comments:

Post a Comment