Followers

Friday, April 8, 2011

AWAS KELIBAT ANASIR MUNAFIQIN!!

Firman Allah swt;

"Sesungguhnya golongan munafiqin , mereka mahu menipu Allah swt sedang Allah yang memperdayakan mereka dan apabila mereka mendirikan solat , mereka dirikan dalam keadaan malas , mereka menunjuk - nunjuk dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit ."

Golongan munafiqin adalah musuh kepada agama Allah serta musuh kepada orang-orang Islam yang taat dan beriman kepada Allah. Dalam konteks gerakan Islam, golongan munafiqin merupakan musuh dalam selimut yang perlu diawasi kelibat mereka oleh pergerakan Islam dalam jemaah Islam.

Munafiqin menjadi musuh kerana sifat mereka yang menjadi gunting dalam lipatan, atau api dalam sekam, atau duri dalam daging, atau gergaji dua mata atau lidah bercabang dua yang lahir daripada tompokan hitam di dalam hati kerana kecintaan kepada nafsu dan dunia.

Rasulullah saw pernah memberikan tazkirah kepada umat Islam tentang kelibat golongan munafiqin yang sifatnya seperti lalang (angin tiup ke kanan dia ke kanan, angin tiup ke kiri dia ke kiri) ini sebagai ancaman kepada gerakan Islam di sepanjang zaman. Sabda Baginda saw;

"Sesungguhnya suatu yang paling ditakuti terhadap apa yang aku takut menimpa ummatku ialah semua munafiqin yang petah lidahnya ."

Senjata golongan munafiqin adalah kepetahan dalam berbicara. Mereka bijak memanipulasi sesuatu keadaan untuk mengiyakan apa jua tindakan mereka. Kadang-kala mereka tampil umpama seorang pejuang tulen dan sejati namun hakikat kemunafikkan mereka masih dapat dikesan dengan hujah-hujah yang lebih cenderung kepada nafsu duniawi semata-mata.

Inilah antara asbab mengapa ilmu termasuk di dalam 3 perkara penting yang perlu ada dalam diri seorang pejuang. Hujah golongan munafiqin boleh jadi hampir sama dengan hujah golongan mujahidin tetapi perbezaan akan jelas tampak dari sudut hujah tersebut digunakan. Seorang pejuang berhujah dengan qasad hanya kerana Allah menikut jalur-jalur syarak sedang munafiqin berhujah berlandaskan kesedapan nafsu mereka sahaja.

Diakui sememangnya sukar untuk mengesan kehadiran golongan ini terutama sekali apabila mereka sudah berada sebaris dalam saf gerakan Islam. Hakikat sebenar hanya Allah yang mengenali mereka  di tengah-tengah kelompok pejuang Islam yang berjuang kerana Allah. 

Secara zahir, bahasa harakinya sama seperti kita. Kita bertakbir, mereka bertakbir. Pakaiannya juga sama dan kadang-kala lebih alim dari kita. Bahkan mereka juga mampu membaca kitab perjuangan seperti kita. Justeru hanya Allah yang mengetahui siapakah pejuang Ansorullah dan siapa pula petualang munafiqin.

Walau bagaimanapun, pejuang Islam tetap perlu waspada dengan kehadiran mereka. Secara asasnya Al-Quran dan As-Sunnah telah menggariskan kriteria-kriteria yang terdapat pada golongan munafiqin al hipokrit ini.

a ] Berpaling dari melaksanakan hukum Allah [ an Nisa' : 60 - 61 ]
b ] Jahat adabnya terhadap Allah dan Rasul saw [ al Munafiqun : 5 / at Taubah : 61 ]
c ] Wala' [ kesetiaan ] mereka kepada musuh Allah swt [ al Hasyar : 11 ] d ] Negatif terhadap jihad [ Aali Imran : 167 ]
e ] Melakukan Mungkar dan menghalang perkara makruf [ at Taubah 67 ]
f ] Matlamat mereka ialah kepentingan mereka bukan redha Allah swt. [ al Hajj 11 ]
g ] Buruk akhlaknya terhadap anggota Gerakan Islam . [ al Ahzab 57 - 58 
]

Perlu difahami golongan munafiqin ini adalah kumpulan yang terdiri daripada manusia Islam yang mengaku Islam tetapi mereka tidak sedar sesungguhnya mereka telah terkeluar dari jalan Islam. Al-Quran turut menggariskan sifat-sifat orang munafiqin seperti berikut;

a ] Mereka melafazkan 2 kalimah syahadah [ al Munafiqun 1 ]
b ] Isytihar keiltizaman mereka terhadap Quran dan sunnah [ an Nisa' 81 ]
c ] Mereka juga mengerjakan solat [ an Nisa' 142 ]
d ] Mereka membaca alQuran [ al Bukhari bab Fadhail al Quran ]
e ] Bersedekah dan memberi derma [ at Taubah 54 ]
f ] Turut menghadhiri majlis Ilmu [ Muhammad 16 ]
g ] Membina masjid [ at Taubah 107 
]

Namun, amal baik mereka dilakukan dalam keadaan roh kebajikan yang telah mati. Lebih kepada kepuasan nafsu dan kepentingan duniawi.

Bahana yang dibawa golongan munafiqin ini lebih besar dari musuh-musuh Islam yang lain. Tidak ada peliknya jika golongan kafir menolak dan menghina Islam tetapi apabila golongan munafik menolak dan menghina Islam maka akan menimbulkan kekeliruan dan fitnah besar kepada Islam lebih-lebih lagi jika mereka itu golongan berpangkat.

Maka, tidak peliklah Allah akan mengazabkan orang munafiqin mendahului orang-orang kafir. Yang akan mengetuainya adalah orang berilmu yang menyembunyikan hakikat ilmu dalam kalangan munafiqin.

Menyedari keadaan ini, kita tidak boleh memandang ringan kewujudan jalur-jalur munafik dalam perjuangan. Mereka berkeupayaan memberi ancaman besar serta memulakan satu episod fitnah terhadap gerakan Islam lantaran kemampuan mereka menyerang secara halus dan menyuntik provokasi dari dalam jemaah. Langkah waspada perlu diambil secara berpasukan. Menjadi kewajiban pejuang Islam untuk menjaga adab berjemaah, senantiasa bermunajat dan melazimi doa rabitah. InsyaAllah, Allah akan menyelamatkan kita dari perbuatan khianat munafiqin.

Proses pembinaan aqidah, fikrah dan syakhsiah disamping mengawal jamaah dari anasir munafiqin ini juga perlu diteruskan melalui pemerkasaan amal tarbawi. Matlamat perjuangan Islam adalah Allah yang didorong oleh kecintaan yang jitu kepada-Nya sedang matlamat munafiqin adalah mengganggu fokus perjuangan Islam yang didorong oleh nafsu serta habuan dunia yang terbit dari kekotoran hati. Ingatlah, akhirnya yang bermatlamatkan Allah jua akan menang.



No comments:

Post a Comment