Followers

Sunday, April 17, 2011

GERAKAN ISLAM PERLU BERSTRATEGI

"Dan siapkanlah segala kemampuan dari pasukan berkuda yang siaga ditambat dengannya (supaya) kamu mampu menggertak musuh-musuh Allah dan musuh kamu serta kelompok lain (munafik) yang tidak kamu ketahui, tetapi Allah mengetahui...."
(Surah Al-Anfal ayat ke-60)

Demikian firman Allah yang Maha Benar lagi penuh dengan hikmah untuk mereka yang berfikir. Sesungguhnya kalam-kalam Allah sentiasa menitip aturan yang penting untuk diikuti setiap hamba-Nya untuk kelangsungan hidup manusia yang sejahtera. Bukankah Allah itu pencipta dan manusia itu 'barang ciptaan'-Nya. Justeru hanya Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia.

Dalam bait-bait kalimah yang tersusun indah di dalam Al-Quran, Allah swt turut menyertakan disiplin tingkah yang perlu dipatuhi oleh pejuang Islam. Antaranya adalah ayat Surah Al-Anfal di atas.

Pergerakan Islam perlu berstrategi. Hal ini merupakan salah satu disiplin yang wajib dipatuhi jamaah Islam dalam mengharungi perjalanan perjuangan yang penuh dugaan. Malangnya, jemaah Islam hari ini amat lemah dalam mengatur persediaan dan merencana strategi. Maka, harakah Islam terpaksa menerima hakikat perjuangan "sesungguhnya kebatilan berstrategi akan menewaskan kebenaran tanpa berstrategi".

Allah swt mengeluarkan bijih hikmah dari kekalahan tentera Islam di medan jihad Uhud. Tidak mustahil, Rabbul Azza Wa Jalla sedang mentarbiyah tentera-tentera Islam tentang kepentingan berstrategi. Tentera-tentera Islam yang leka dengan arahan strategi oleh Rasulullah telah ditewaskan oleh tentera musuh yang ketika itu hampir kalah. Tentera musuh berundur seketika dan Khalid Al Walid yang memimpin tentera musuh ketika itu menyusun kembali strategi lalu meyerang tentera Islam. Akhirnya Islam tewas dan Rasulullah saw tercedera.

Pergerakan islam hari ini perlu benar-benar menghadam mesej sebenar ketentuan Allah melalui peristiwa Uhud ini. Jamaah Islam perlu berstrategi berdepan musuh Allah.

Realiti hari ini, harakah Islam di Malaysia masih sambil lewa dalam mengambil iktibar dari kelemahan yang lalu. Contoh terbaru adalah isu borang 14 dalam PRU DUN Sarawak yang menjadi antara faktor kekalahan PR. Isu ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya hampir setiap kali pilihan raya akan timbul perkara seumpama ini. Bagi mereka yang dekat dengan proses pengundian tersebut akan percaya kerana mereka sendiri pernah melaluinya. Namun majoriti rakyat pasti akan melihat ini sebagai suatu usaha memburukkan imej pihak tertentu. Akhirnya isu ini menjadi senjata perang saraf pihak lawan.

Isu borang 14 ini pernah berlaku di Larut pada PRU ke-12 yang lalu. Juga dalam beberapa Pilihan Raya lain namun gerakan Islam seakan gagal mencari penyelesaian untuk masalah ini. Kadang-kala, isu seumpama ini timbul disebabkan ketidakcekapan pejuang Islam itu sendiri. Akibat daripada persediaan yang longgar, banyak perkara yang dianggap remeh tetapi penting diberi perhatian yang sambil lewa sahaja. Natijahnya, fitnah untuk perjuangan Islam.

Isu borang 14 itu adalah salah satu episod kelonggaran persiapan yag berlaku dalam merencana strategi bagi harakah Islam. Banyak lagi perkara-perkara lain yang membuktikan perancangan strategi pergerakan Islam yang masih lemah khususnya di peringkat pelaksanaan. Akan tetapi, penulis percaya usaha ke arah pembaikkan sedang berjalan. Semua sedia maklum "kegemilangan kota Rom tidak dibina dalam satu hari" bahkan "Islam itu juga diturunkan secara berperingkat" kerana ia sememangnya suatu proses panjang yang perlu dilalui.

Kesimpulannya, penulisan ini ingin mengajak semua pejuang Islam untuk bermuhasabah dalam segenap aspek perjuangan, mengasah setiap potensi dari disiplin ilmu berlainan yang wujud dalam diri pejuang untuk diadun bersama membentuk strategi perjuangan yang mampu menumbangkan musuh Islam dan musuh pejuang-pejuang Islam. Mudah-mudahan bermanfaat.


"Kebenaran berstrategi akan menewaskan kebatilan walau bagaimana kuat sekalipun kebatilan itu. Sesungguhnya Allah bersama perjuangan yang penuh berstrategi dan Allah itu Maha Kuat."


No comments:

Post a Comment