Followers

Tuesday, April 5, 2011

BIJAKSANA DALAM MENENTUKAN SIKAP!!!

Muktahir ini perjuangan Islam berdepan dengan pelbagai cabaran yang bersifat sensitif baik di peringkat nasional, peringkat kampus serta akar umbi. Perubahan yang juga disebut sebagai tsunami politik pada 2008 yang lalu sedikit sebanyak menjadi punca kepada perkembangan seumpama ini. Maka, berbondonglah manusia mula mendekatkan diri dengan Parti Islam termasuk mereka yang mempunyai agenda serta kepentingan peribadi setelah melihat gerakan Islam sebagai sebuah kerajaan yang menanti masa untuk ditabal penguasa di negara ini.

Dalam keadaan ini tidak dapat dinafikan musuh sentiasa mencari dan menanti kesilapan kecil dari kem gerakan Islam untuk melancarkan perang saraf yang mampu memporak-perandakan jamaah Islam. Sejarah Islam jelas membuktikan pada zaman jihad Rasulullah saw, Islam tidak dipedulikan musuh-musuh Islam tatkala lemah dan tidak bermaya tetapi keras ditentang dan diuji apabila semakin berkeyakinan dan berkuasa. Walhal Islam tatkala lemah dan Islam tatkala kuat adalah Islam yang sama iaitu Islam yang di bawa oleh Rasulullah saw. Maka timbul satu kefahaman di dalam jamaah sesungguhnya perjuangan mempertahankan kemenangan adalah lebih rumit berbanding perjuangan mencapai kemenangan.

Situasi pada hari ini merupakan suatu ujian serta tarbiyah langsung dari Allah untuk memantapkan kemahiran kepimpinan dalam diri-diri setiap pejuang Islam. Bukankah setiap yang berlaku itu ada hikmahnya? Tanpa isu-isu besar dan sensitif yang melanda pergerakan Islam, para pimpinan dan pendokong tidak akan berupaya mengasah diri mereka dalam menentukan sikap serta tindakan dalam sesuatu isu. Pejuang Islam tidak akan terdedah kepada prinsip hemah dalam tindakan, menganalisis kesan dalam menentukan aulawiyat sikap serta kemahiran-kemahiran kepimpinan yang lain.

Menegakkan Islam dan kebenaran seiring dengan mengekalkan kekuatan sokongan terhadap manhaj Islam dalam realiti perjuangan di malaysia ini bukanlah sesuatu yang mudah. MENTAL YANG MANTAP, JIWA YANG TABAH mesti seiring dengan HUJAH YANG KUKUH serta PELAKSANAAN SECARA BIJAKSANA DAN BERHEMAH. Umpama berada di tengah-tengah titik bulatan 360 darjah dengan semuanya menuju hala serta mengharapkan respons positif terhadap mereka. Itu sesuatu yang sukar. Mustahil untuk memuaskan hati semua orang.

Gerakan Islam hari ini bukan lagi berada di posisi defensive semata-mata. Tetapi peranan telah ditambah supaya bersikap offensive juga serta mampu bertindakbalas secara kreatif. Di sini, kebijaksanaan pimpinan dalam menegakkan kebenaran di samping menjaga jalur-jalur fitnah terhadap gerakan dari dikejutkan oleh musuh Islam amat diperlukan. Maka, dalam membicarakan soal ini, Ustaz Nasrudin Hassan berkata hanya pimpinan yang tinggi nilai taqarrubnya sahaja yang mampu selamat dengan ilham yang diberikan Allah.

Imam Bukhari tatkala menulis kitab Shahih Bukhari menunaikan solat sunat hajat kepada Allah memohon petunjuk setiap kali ingin memasukkan hadis ke dalam kitabnya. Sesuatu yang telah dilupakan hari ini adalah kebergantungan kita kepada Allah. Maka, terjadilah fenomena "tembak orang lain, orang lain yang kena" tatkala menentukan sikap dalam sesuatu isu yang mempunyai nilai pertimbangan yang berbeda. Dalam erti kata lain isu sensitif.

Penggerak Islam hari ini (terutama muda-mudi) perlu mula bijak menilai dari sudut keutamaan sikap yang perlu diambil dalam bertindakbalas terhadap sesuatu isu. Perlu dilihat dari sudut permaslahatan, kesan serta peluang untuk juak-juak pengkhianat agama memainkan isu-isu sensitif ini sebagai senjata serang hendap. Hal ini penting untuk kelangsungan perjuangan Islam berjalan seiring keadilan yang ditegakkan.

Kesimpulannya, kita perlu menyedari perjuangan Islam pada hari ini sudah berada di satu dimensi yang baru. Pejuang Islam perlu bijak merencana secara berhemah dalam menangani situasi hari ini yang cukup sensitif jika tidak diurus sebaik mungkin. Ingat!! Kuatkan diri masing-masing dengan tiga kunci utama perjuangan. Ilmu, Tarbiyah serta Jemaah. 


- Karya ini adalah ILUSI MINDA penulis sahaja....


No comments:

Post a Comment