Followers

Wednesday, April 20, 2011

DOSA PAHALA JUGA WUJUD DALAM PILIHANRAYA

Takdir Allah perjuangan Islam di Malaysia hari ini terpaksa berpencak di gelanggang demokrasi dalam menjulang Islam sebagai tuan dalam sistem bernegara. Barangkali ada yang mengatakan demokrasi bukan sistem Islam sebaliknya tajaan barat yang semestinya mempunyai agenda tersendiri. Hakikatnya ia benar. Demokrasi sememangnya bukan sistem induk Islam tetapi demokrasi juga wujud dalam Islam sebagai pemain kecil dalam sistem syura Islam. 

Dalam konteks semasa, demokrasi di negara ini memberi ruang kepada setiap individu dalam masyarakat untuk memilih pemimpin yang akan menggalas amanah sebagai ketua negara melalui proses Pilihan Raya yang diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam lima tahun. Akan tetapi AWAS!! Tidak ada satu perkara di dunia ini yang terlepas dari ilmu Islam serta konsep dosa pahala termasuklah dalam membuat pemilihan tatkala Pilihan Raya.


Sabda Rasulullah saw;


“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. 
(Riwayat Malik dan al-Tirmizi)."

Tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin 'Uyainah ketika membicarakan hadis ini berkata;


“Hadis ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan kezaliman”
(Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar al-Fikr).


Yang disimpulkan daripada hadis ini ialah setiap ucapan yang membawa kepada kesan baik akan diberi pahala oleh Allah sedang ucapan yang membawa kesan buruk akan mengundang bala Allah serta dosa kepada si pelaku.


Dalam konteks semasa, mengundi dalam pilihanraya juga ditafsir sebagai suatu kalimat yang terikat dengan konsep dosa pahala dalam Islam. Setiap undi yang diberikan mempunyai kesan sama ada baik atau buruk.


Semestinya undi yang membawa kepada tertegaknya Islam, hukum-hakamnya serta segala isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah akan membawa kepada kebaikkan. Sebaliknya undi yang membawa kepada tertegaknya perundangan isme manusia dan membelakangi hak Allah sebagai pencipta akan membawa kepada keburukkan.


Sesuai dengan Islam itu sendiri yang bersifat syumuliyyah dan alamiyyah, setiap perkara pasti tidak terlepas dari dosa pahala, syurga neraka termasuk dalam perihal mengundi untuk menentukan pemimpin negara.


Islam telah menetapkan 2 ciri-ciri penting dan utama dalam memilih penguasa negara. Pemimpin yang dipilih hendaklah orang yang Al-Qawiy (kuat dan mampu) serta Al-Amin (amanah dan bertakwa). Hal ini bersandarkan dalil firman Allah swt;


“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” 
(Surah al-Qasas:26).


Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah;

“Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan…al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah-pent.)”.
 (m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam)

Bermakna apabila seseorang individu itu hendak mengundi, hendaklah diteliti calon-calon yang ada dari sudut Al-Qawiy serta Al-Amin. Jika tidak, si pengundi tersebut kemungkinan akan berlaku zalim apabila memberi undi kepada mereka yang bukan ahlinya. Sesungguhnya perihal zalim di sudut Islam adalah apabila kamu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Allah mengingatkan lagi dalam firmannya;

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”
 (Surah Hud: 113)

Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda;

“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.
 (Riwayat Muslim).

Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.



No comments:

Post a Comment