Followers

Monday, March 7, 2011

PERLAKSANAAN HUDUD: PERSPEKTIF ISLAM DAN PERLEMBAGAAN

Beberapa hari kebelakangan ini, blogger-blogger sekular cenderung memainkan isu pelaksanaan hudud di negeri-negeri yang telah berjaya dimerdekakan harakah Islam. Golongan ini mencanangkan bahawa cita-cita untuk menegakkan hukum Islam hanyalah suatu retorik untuk mendapatkan sokongan. Yang pasti tindakan mereka ini mencerminkan kecetekan penguasaan ilmu agama terutama sekali fiqh aulawiyat serta kemampuan mengaitkan situasi semasa dengan peruntukkan perlembagaan negara.

Pertamanya, tindakan blogger-blogger blok mungkar yang ditaja pihak tertentu ini umpama "si pencuri menasihati orang lain supaya jangan mencuri". Analogi lain yang boleh diguna umpama "orang tidak solat suruh orang pergi solat". Sesuatu yang aneh yang sememangnya menjadi tabiat golongan ini yang sentiasa mencari jalan menghina dan menjatuhkan perjuangan Islam.

Hakikatnya setelah dinilai secara teliti mengikut garis agama dan keutamaannya ketika ini, terdapat pelbagai faktor besar yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam (hudud) termasuk di negeri-negeri yang dikuasai oleh gerakan Islam. InsyaAllah, saya akan menghuraikan salah satu faktor terbesar yang menghalang pelaksanaan hukum tersebut.

Sememangnya melihat kepada peruntukkan undang-undang yang ada setiap kerajaan negei mempunyai hak untuk melaksanakan hukum hudud berikutan kuasa agama yang terletak pada kerajaan negeri. Tetapi, masih ada satu halangan besar lain yang menjadikan pelaksanaan hudud di negeri-negeri bukan lagi satu keutamaan Islam dalam konteks semasa.

Kuncinya adalah FITNAH AGAMA. Halangan terbesar adalah beberapa peruntukkan dalam perlembagaan terutama sekali perkara 75 perlembagaan Malaysia iaitu;

Perkara 75. Ketidakselarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang Negeri.
Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.

Persoalannya di sini, apa kaitan peruntukkan perlembagaan di atas dengan fitnah terhadap agama Islam?

Untuk lebih jelas, saya hadirkan dalam tulisan ini satu contoh yang akan berlaku sekiranya undang-undang Hudud dilaksanakan. Misalnya, berlaku satu kes kecurian dan kes tersebut dibawa ke mahkamah syariah dan dihakimi dengan undang-undang Islam. Setelah cukup kesemua syarat dan perkara yang mensabitkan kesalahan maka si pesalah pun dihukum mengikut hukum hudud diatas kezaliman yang dilakukan.

Walaubagaimanapun, sesuatu perlu kita sedari bahawa kedudukan mahkamah syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sekaligus berada di bawah hierarki kehakiman yang lain sepeti mahkamah tinggi, mahkamah sivil dan mahkamah persekutuan. Jangan lupa, mahkamah bertunjangkan isme manusia ini juga mempunyai peruntukkan dalam kes-kes jenayah seperti kesalahan mencuri yang dijadikan contoh tadi.

Hal ini bermakna, pihak defendan boleh mengemukakan rayuan di mahkamah sivil atau membawa kes mereka ke mahkamah yang lebih tinggi. Secara tidak langsung, keputusan di mahkamah syariah boleh dibatalkan sekiranya mahkamah tinggi atau mahkamah persekutuan menjatuhkan hukuman berdasarkan kepada prinsip yang terkandung di dalam perkara 75 perlembagaan Malaysia.

BUKANKAH ITU AKAN MENJADI SATU FITNAH BESAR KEPADA ISLAM? Hukum Islam yang datang dari Allah bisa diketepikan oleh undang-undang manusia yang diciptakan Allah. Ini jelas satu penghinaan besar terhadap agama Islam. Amat tidak layak Allah yang Maha Besar tunduk pada undang-undang ciptaan manusia. Allah itu Maha Besar.

Mendalami kefahaman tentang keutamaan dalam Islam, dalam perkara ini jelas kita perlu melihat kepada maslahah serta kesan yang bakal ditinggalkan dengan pelaksanaan hudud terhadap Islam. Mudahnya, keutamaan ketika ini bukanlah pelaksanaan hudud tetapi adalah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan pusat supaya Islam dapat diletakkan sebagai 'tuan' menunjangi dasar negara.

Hakikat hari ini Islam hanya dipandang setaraf dengan Majlis Perbandaran (Majlis Agama Islam) atau setaraf Jabatan Kerja Raya (Jabatan Agama Islam) atau setaraf Institut Jantung Negara (Institut Kefahaman Islam) walhal Islam sepatutnya diletakkan di tempat paling atas sebagai dasar ke arah pembinaan negara.

Kesimpulannya, bukan tidak mahu dilaksanakan hudud di negeri-negeri tersebut. Hakikatnya harakah Islam yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan sentiasa meneliti setiap aspek dalam menentukan sikap dalam sesuatu perkara. Mudah-mudahan tulisan ini dapat menangkis segala tohmahan busuk hati yang dilemparkan terhadap perjuangan suci Islam. ALLAHUAKBAR!!!


- Tulisan ini adalah hasil kajian peribadi penulis. Copy paste untuk penyebaran amat dialu-alukan. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah kepada kita semua untuk terus teguh pada jalan agama-Nya.


No comments:

Post a Comment