Selama menyusuri lautan tarbiyah perjuangan Islam, satu-satunya perkataan yang tidak pernah penulis dengari adalah "kita kalah". Sebaliknya kata-kata yang wujud dalam perjuangan Islam ialah "belum menang lagi". Walau apapun yang berlaku, para mujahid Allah diasuh supaya berpegang kepada janji kemenangan daripada Allah swt. Bermakna, tidak ada kalah dalam kamus pejuang-pejuang Islam yang istiqamah dengan perjuangan.
Firman Allah swt;
"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (terdahulu) telah berperang (berjuang) dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk kepada musuh dan ingatlah, Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar."
Seorang ulama muda, Ustaz Nasarudin Hassan dalam amanatnya pernah berkata, "Justeru Islam menang dengan kebenaran yang diperjuangkan bukan dengan ramainya orang yang menyokongnya. Menang kalah bukan dinilai melalui kekalahan pungutan mata tetapi melihat sejauh mana para mujahid tetap setia dan istiqmah meneruskan cita-cita perjuangan."
Dalam proses pembentukkan fikrah perjuangan Islam, para amilin sentiasa mengingatkan kita (pejuang Islam) tentang halangan serta dugaan yang bakal dilalui oleh perjuangan Islam. Keperitan dicerca dan dihina sehingga menimbulkan kebencian kepada dunia. Jika sikap yang diambil adalah dengan terus menggengam erat pada tali Allah, bermakna kita telah menjuarai satu pertembungan hebat bersenjatakan ilmu dan tarbiyah mempertahankan kota akidah Islam.
Tidak kurang juga dugaan dalam bentuk godaan dengan dunia menawarkan harta, wanita dan takhta untuk menghiasi diri pejuang Islam dalam kefanaan dunia. Yang pasti, pejuang yang benar-benar ikhlas dan memahami matlamat perjuangan yang sebenar mampu mengharungi dugaan yang lebih hebat daripada dugaan cacian dan penghinaan ini.
Telah maklum sesungguhnya jalan perjuangan Islam penuh duri dan liku. Dan jaraknya bukan pula dekat untuk digapai oleh penggembleng kudrat yang menggerakkan perjuangan ini. Musim-musim yang tidak menentu membuatkan setiap jiwa-jiwa perlu disiapkan dengan persiapan yang ampuh.
Sesungguhnya Allah telah berfirman;
"Jika sekiranya perjuangan ini mudah mencapai kemenangan dan dekay destinasinya nescaya ramailah orang yang akan mengikut kamu (wahai Muhammad) akan tetapi perjuangan ini jauh perjalanannya dan sukar dirasakan mereka (dalam mencapai kemenangan)."
Namun Rasulullah saw telah menjanjikan kebahagiaan buat mereka yang terus tetap hati mereka menjulang panji perjuangan Islam walau dicaci nista, dihina bahkan dimaki hamun. Sabda Baginda saw.
"Islam bermula dalam keadaan yang asing. Kelak ia akan kembali asing sebagaimana ia bermula maka berbahagialah (mereka yang tetap berpegang walau dipandang sebagai) orang-orang yang asing"
Maka, para mujahid Islam wajib berpegang kepada janji Kekasih Allah ini dengan keyakinan ini menjadi benteng mempertahankan diri dari terjerumus ke lembah dunia yang penuh hiasan bersifat ilusi. Mudah-mudahan kita semua terus diberi hidayah untuk berjuang atas nama Allah dalam mengajak umat manusia ke arah pengabdian diri semata-mata kepada Allah.
Sesungguhnya kemenangan itu sentiasa di pihak Islam. Meski zahirnya berbeza, hakikatnya yang zahir itu bukanlah seperti yang dizahirkan. Dan kepada seluruh pejuang Islam, teruskan usahamu. Sesungguhnya kalungan sebagai pemenang oleh Allah Azza Wa Jalla menunggu kalian di akhirat sana. Teruskan Usaha. Teruskan Perjuangan. ALLAHUAKBAR!!!
No comments:
Post a Comment