Followers

Tuesday, November 9, 2010

TUAN AKU DAN TUHAN 'AKU'...

OLEH: HAMBA ALLAH@ILUVISLAM

           “Wahai saudari, siapakah saudari yang lagaknya begitu sombong sekali. Apa yang membuatkan saudari begitu angkuh sekali. Siapa saudari?”

            “Ah! Memang selayaknya aku sombong, angkuh, meninggi diri. Kerana aku orang penting dunia. Kerana aku orang tinggi dunia. Tanpa aku dunia seperti tugu roda. Dunia kaku tidak bergerak berputar.”

            “Wah, hebat sungguh lagak saudari. Siapa sebenarnya saudari andai bias dijelaskan lagi?”

            “Aku orang penting dunia. Aku berdiri di dalam istana. Aku berdamping dengan Sang Raja. Setiap gerak ku umpama memutarkan bebola dunia. Aku insan penting, hebat, bertenaga. Tatkala Sang Raja bersedih, akulah pengubat sedihnya. Tatkala Sang Raja kesunyian, akulah pembawa riangnya. Tatkala Sang Raja lapar dahaga, akulah yang menyenangkan temboloknya. Sungguh! Sungguh! Sungguh aku ini insan penting. Tanpa aku raja umpama orang bongkok tidak bertongkat.”

            “Memang hebat saudari ini. Tapi bisakah andai dihulur satu pertanyaan?”
            “Apa?”
            “Kepingin pula rasa hati ingin mengetahui apa gerangan yang dilakukan Sang Raja tatkala saudari melakukan kesalahan?”

            “Oh, pastilah Sang Raja akan murka dan marah. Bahkan akan dihukum sesiapa sahaja yang menaikkan kemurkaannya tidak kira siapapun dia.”
            “Oh begitu. Maknanya tuan saudari tidaklah sehebat Tuan hamba.”
            “Sehebat seperti manakah Tuan saudara?”

            “Singkat kalam Tuan hamba hebatnya tiada tandingan. Tatkala hamba sedih berduka, Dia hadir dengan Nur mengukir senyuman hamba. Tatkala hamba lapar dahaga, Dia hadir dengan huluran rezeki bertimpa-timpa. Tatkala hamba hampir putus asa, Dia hadir dengan keyakinan tersuntik di dada hamba. Tatkala hamba terasa berat menekan hati, Dia datang dengan seribu satu ketenangan yang menyenangkan.”
             “Bagaimana pula lagak-Nya tatkala saudara melakukan kesalahan.”

        “Tatkala hamba mengundang murka-Nya, Dia hadir dengan huluran taubat dan  keampunan khas untu hamba-hamba-Nya. Sungguh!Sungguh!Sungguh Dia Tuhan Maha Pengasih lagi Penyanyang.
            
        “Wah! Hebat sungguh Tuan saudara. Cintanya tersangat agung, suci tidak berdebu sedikitpun. Tidak pernah terlintas pandangan walau secebis di mana-mana sudut dunia ini akan Tuan se-Agung Tuan saudara. Siapakah Dia?”
            
              “Dia-lah Rabbil Jalil. Dialah Allah! Allah! Allah!”
              “ALLAH??”
             “Ya Allah! Dia Tuhan yang menciptakan hamba. Juga yang menciptakan saudari. Juga seluruh yang hidup bernyawa di dunia. Bahkan kerajaan-kerajaan di langit juga milik-Nya. Dia tempat manusia bermula dan Dia tempat kembali semua. Sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad telah diutus oleh-Nya untuk membawa rahmat (Islam).
            
        “Allah! Di manakah Dia? Aku pingin pergi pada-Nya. Aku pingin berTuankan-Nya. Saudara, bawalah Aku kepada-Nya. Bawalah aku kepada Tuan saudara. Aku sanggup…aku sanggup tinggalkan segala di kelilingku. Raja, Istana semuanya. Allah! Namanya sahaja sudah menggoncang hatiku. Namanya sahaja sudah cukup untuk aku tinggalkan semua itu. Saudara! Aku mohon bawa aku kepada-Nya.
            
           “Dengan izin-Nya. Ayuh ikut hamba. Ini jalannya. Sesungguhnya saudari sentiasa dibawah keampunan dari-Nya.”

--Andai sahaja manusia tahu sehebat mana nikmat di SYURGA…



No comments:

Post a Comment