Followers

Thursday, May 19, 2011

SIRAH DAIE: PERJALANAN YANG MEMATANGKAN

Maka, tersebutlah kisah Sang Daie Mujahid Islam dari Negeri Padi Bertimbun. Dia bergerak dalam jemaah Islam, menjadi mata-mata rantai penyambung perjuangan mengajak manusia kea rah pengabdian diri semata-mata kepada Allah.

Dalam setiap era perjuangan Islam, tidak ada yang sepi dengan dugaan dan cabaran. Ujian sebagai penetapan tahap keimanan dan kebergantungan terhadap Allah serta keyakinan terhadap panji yang dijulang. Kebanyakkan telah siap siaga dengan lawan musuh namun ramai yang tidak menyangka cobaan dalaman turut paksa mereka hadapi.

Mujahid Islam, dia bersama di dalam sebuah jemaah yang menjadi anak kepada jemaah induk. Masuknya dalam keadaan hubungan anak dan si ayah agak renggang oleh kelibat beberapa permasalahan yang punya asas untuk si anak bersuara. Namun dalam keghairahan si anak menegakkan kata-kata terkadang jemaah anak ini tersadung dari segi tingkah mereka. Walau apapun permasalahannya, ayah tetap ayah pada si anak dan walau bagaimana terukpun si ayah, penghormatan tetap perlu diberikan oleh si anak.

Namun ada dalam kalangan suara anak yang mengatakan kali ini mereka bersuara bukan atas stand anak sebaliknya suara mereka atas stand seorang manusia biasa. Mujahid Islam sangat bersetuju jemaah anak menyuarakan masalah mereka tetapi untuk bersuara atas stand yang lain adalah suatu perkara yang tidak dapat diterima sama sekali. Mengapa perlu jemaah itu dibelakangi.

Mujahid Islam pernah bertanya kepada salah satu kepala jemaah anak, mengapa tidak digunakan saluran yang telah sedia ada? Terus melalui kepala yang memimpin induk atau badan tubuh khas yang diwujudkan untuk menjaga jemaah anak?

Maka, kata dia jika dilapori akan perihal kepada badan tubuh yang bertaraf jabatan isu ini tiada akan tiba pada atasan. Bertambah pelik akan akal Mujahid Islam. Bukankah antara 10 ajaran ayah yang diajarkan dahulu terkandung perihal tsiqah? Di mana kepercayaan anak jika itu jawapannya?

Berbalik kepada suara tinggi si anak pada si ayah, lumrah dunia mencatatkan setiap permasalahan itu punya penyelesaian yang pelbagai. Tinggal cuma untuk kita memilih penyelesaian untuk permasalahan yang dihadapi. Maka, kefahaman keutamaan amat diperlukan di sini. Boleh jadi permasalahan yang sama terhadap dua situasi yang berbeza memerlukan kepada dua penyelesaian yang berlainan warna. Tidak wajar untuk disamakan tindakan jika dengan si dia bisa lantang tetapi dengan si dia (yang kedua) tidak bisa pula.

Kesan dari setiap tindak-tanduk perlu dikaji sedalamnya. Skop perjuangan jemaah anak tidak lebih kepada sebuah bangunan yang tegak sedang jemaah ayah punya skop yang lebih luas meliputi wilayah bersempadan. Apabila anak melakukan sesuatu yang bisa menimbulkan keraguan kepada ayah maka ini amat bahaya.

Sudah pasti anak dengan niat yang baik, perihal ini difahami jiran-jiran yang dekat dengan anak, yang terbuka luas pemikiran serta yang tidak mudah dimanipulasi. Bahkan Mujahid sendiri faham dengan tindakan anak ini. Tinggal Cuma bagaimana dengan jiran yang membenci? Dengan minda yang telah dipenjarakan kepada keduniaan? Dengan yang bergelar pagar atas? Yang mudah dimanipulasi di rumah-rumah kayu dipenuhi hutan banat? Pasti sekali kelompok makhluk yang tidak punya maklumat dan kefahaman lebih ramai berbanding yang punya maklumat dan kefahaman. Hal-hal inilah yang perlu diteliti.

Dalam jalan-jalan dunia, Mujahid Islam sempat juga berbicara dengan si ayah. Maka, dalam kedengaran perbicaraan itu kadang-kala teringat pengalaman Mujahid di halaman kampong dahulu. Dari satu sudut Mujahid Islam melihat ayah dan anak tidak boleh dipersalahkan atau kedua-dua mesti dipersalahkan. Terlalu banyak perihal canggah yang mengwarnai cerita ini. Maka terlintas di fikiran Mujahid Islam, di mana komunikasi antara anak dan ayah?

Di situ Mujahid Islam merasakan anak perlu selalu menziarahi ayah, bahkan ahli keluarga yang lain. Bapa-bapa saudara yang di Negeri Seladang, Penyu dan semua sekali termasuk atuk dan nenek yang masih ada sebagai pusat keluarga. Satu persiapan jangka masa panjang yang perlu supaya tidak berlaku salah faham dalam pokok keluarga harmoni berteras Islam ini. Komunikasi itu penting.

Dari satu sudut ayah juga perlu beralah. Namun si anak perlu bijak mencuri hati ayah sebagaimana bijaknya sang suami mencuri hati sang isteri yang disayangi. Psikologi itu penting maka sebaik-baik tindakan adalah merapatkan semula hubungan antara anak dan ayah yang mungkin boleh dilakukan melalui sidang ziarah.

Ayah mungkin marah kerana anak terlalu focus pada isu ini sehingga terabai isu besar. Kisah Pak Putih menghina Islam sehinggalah kisah-kisah lain ayah melihat anak terlalu diam. Adakah anak redha? Bukankah diam itu redha? Mujahid Islam melihat anak mungkin terganggu fokus dengan isu yang ada sehingga terlepas isu yang lebih besar. Kisah yang dibingitkan anak ini kisah yang sangat besar tetapi ada kisah yang lebih besar dari itu yang anak terlepas pandang.

Mujahid Islam masih belum mampu menyimpulkan kisah ini. Namun, apa yang dilihat adalah perkara yang perlu dilalui anak dalam mematangkan diri mereka. Setakat ini kuncinya ada dua, Satu hubungan anak dan ayah perlu dipulihkan dan dieratkan. Dua, Anak perlu lebih berseni dalam berhubungan dengan ayah kerana semua punya ego. Seni mampu melumpuhkan ego, PERCAYALAH!

Maka, Mujahid akhirnya membuat penafsiran awal juga. Ini adalah ketentuan Allah yang perlu dilalui untuk mematangkan kepimpinan walau cereka seumpama ini sering berulang mengikut zaman. Dari bacaan Mujahid Islam, kisah yang timbul lebih berbentuk persepsi sedang kisah sebenar tenggelam dek kerana keterpercayaan terhadap persepsi. Kalam akhir Mujahid Islam, sama-sama muhasabah dan perbaharui niat, azam dan gerak kerja. InsyaAllah, Dia sentiasa bersama kita dan kukuhkan ikatan dengan doa rabitah.


Kisah ini sekadar ilham penulis sahaja!!


No comments:

Post a Comment