Followers

Friday, May 20, 2011

SIRI BINA FIKRAH PEMUDA: KEKAL PUTIH DALAM LUMPUR HITAM

Tingkatkan kesedaran taqafah dan Tasawwur Amal Islami (ilmu pengetahuan) dalam menghadapi serangan pemikiran yang kian mencabar. Keteguhan aqidah imaniyah penting untuk menangkis segala syubhah yang dibawa melalui virus ideologi berpaksikan isme-isme manusia. Dan bergabung dengan kepimpinan serta gerak kerja Islam. Hasilnya kita akan selamat dari lingkaran propaganda yang berbentuk fitnah. Dari situ, Allah akan mengiktiraf kita sebagai pembantu agama Allah.

Maka, antara yang menjadi isu dalam wajah bagi mencapai tahap diri yang bersedia untuk menjadi penggerak agama Allah adalah cabaran untuk kekal putih dalam lumpur hitam. Dalam erti kata yang lain untuk mengekalkan keteguhan akhlak Islam dalam keruntuhan akhlak manusia kian parah.

Kepincangan nilai dan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda hari ini amat membimbangkan. Bahkan, ia telah menjadi barah yang kronik kepada ummah di setiap pelosok dunia. Ini hasil 'baik' yang dituai oleh pakatan jahat yahudi dan barat dalam mengorentasikan budaya kuning untuk meneruskan penjajahan mereka ke atas minda umat Islam.

Mereka meransang nafsu dan menaja pelbagai bentuk kemaksiatan tanpa had batasan sehingga menarik muda/i Islam menjadi manusia liar dan buas. Muda/i Islam diajak memuaskan nafsu yang tidak pernah akan kunjung puas. Media massa dijadikan tunggangan menggerakkan kerja untuk menuang minyak ke dalam geloran nyalaan api nafsu. Mencetus perasaan samar-samar tentang kewujudan dosa meski muda/i Islam tahu akan wujudnya dosa. 

Tidak setakat itu, senjata menyerang akhlak umat Islam dicipta saban hari dalam pelbagai bentuk dan sudut. Majalah, video-video, capaian internet sehinggalah kepada perkara-perkara yang dekat dengan diri umat Islam seperti berpakaian, makanan dan lain-lain. Pendek kata, sentiasa sahaja senjata berpeluru bahaya ini diacukan ke arah muda/i Islam tanpa mengira tempat, waktu dan ketika.

Maka, ini cabaran bagi muda/i Islam yang bergelar pejuang. Hakikat hari ini kita berada di lautan lumpur hitam. Cabarannya, kita perlu kekal putih di dalam lumpur hitam tersebut. Sesuatu yang sukar jika dilihat secara logik akal namun semuanya akan menjadi mudah jika kembali kepada Islam. Bahkan, bukan sekadar seseorang pejuang itu kekal putih dalam lumpur hitam tetapi lebih dari itu tidak mustahil untuk lumpur hitam itu sendiri untuk dibersihkan dan diputihkan.

Setiap yang menggelarkan diri sebagai pejuang perlu mampu menangkis fitnah yang dibawa ini. Jangan dilalaikan dengan perkara-perkara yang menjurus ke arah nafsu. Jangan membuang masa dengan sia-sia sebaliknya setiap detik bagi diri pejuang itu perlulah diqasadkan hanya kerana Allah sebagai sebuah ibadah yang memutikkan hasil untuk diri.

Kesimpulannya, terdapat 4 perihal penting yang perlu dilakukan oleh para pejuang agama Allah ini iaitu;
1) Melaksanakan semua kewajiban diri sebagai manusia di muka bumi ini.
2) Mewajibkan diri dalam perkara-perkara sunnah setakat kemampuan seperti melazimi puasa sunat, solat sunat, dan mengamalkan sunnah dalam perbuatan harian seperti sunnah memakai pakaian, sunnah memakai kasut dan sebagainya.
3) Menjaga hubungan baik sesama manusia.
4) Istiqamah dalam kerja/amalan baik yang dilakukan.

Ringkasan kepada 4 perkara ini adalah hablum minallah dan hablum minannas. InsyaAllah, dengan terjaganya hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia maka akan selamatlah kalian (pejuang Islam) dari kehitaman lumpur bahkan lumpur itu akan bisa kalian (pejuang Allah) jernih putihkan.


No comments:

Post a Comment