Followers

Wednesday, May 11, 2011

SIRI BINA FIKRAH PEMUDA: CABARAN PEMUDA HARI INI

Pemuda adalah aset ummah, mata-mata rantai yang masih 'segar' penyambung perjuangan warisan yang haq. Pemuda juga adalah institusi utama dalam menggerakkan ummah, memadu tenaga, memerah keringat minda dan mengalirkan sungai semangat dalam perjuangan yang didokong. Maka, tidak hairanlah jika ada yang mengatakan tempat pemuda adalah di saf yang paling depan, pemegang panji perjuangan. Sabda Rasulullah saw;

"Aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk (lembut dan unik). Sesunggguhnya Allah telah mengutusiku dengan ugama yang lurus lagi tolerensi lalu aku telah dibantu kukuh oleh para pemuda sedang orang - orang tua menyanggahiku."

Dan sabda Baginda saw lagi;

"Sesungguhnya Allah mengkagumi pemuda - pemuda yang tiada baginya sebarang kerosakkan moral."
 ( Riwayat Ahmad dan Abu Yu’la )

Pemuda hari ini sewajarnya menjadi pemuda yang peka terhadap persekitaran dan isu yang timbul. Fakta ini jelas kerana antara elemen pembentukan ummah adalah menganalisis keadaan semasa dan keadaan semasa itu semestinya akan bersangkutan dengan isu-isu semasa. Justeru, di bahu setiap pemuda itu telah sedia tergalas satu tanggungjawab dalam menentukan masa depan ummah yang lebih baik. Maka, pemuda perlu sentiasa 'bermain' dengan perkembangan semasa yang berlaku di persekitaran mereka dalam skop yang lebih luas.

Yang bernama pemuda amat tidak layak untuk sekadar menjadi penonton sehingga alpa diulit mimpi dan buaian impian palsu. Pemuda perlu ada keinsafan untuk secara sukarela menghadirkan kesediaan untuk ke hadapan menangani realiti semasa dengan sentiasa sensitif terhadap isu yang berlaku. Sabda Rasulullah saw;

"… dan barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang muslim yang lain maka ia bukan dari kalangan mereka (orang muslim)." 

Realiti semasa, pemuda hari ini tidaklah tenggelam dalam menyuarakan isu-isu nasional. Tetapi tahap kesedaran pemuda juga bukanlah pada tahap yang baik seperti gerakan mahasiswa di Mesir suatu ketika dahulu yang menubuhkan Ikhwanul Muslimin atau gerakan mahasiswa di negara jiran Indonesia yang berjaya membawa satu perubahan besar di negara itu suatu masa lalu.

Yang jelas, gerakan mahasiswa di Malaysia masih diperingkat pembinaan. Sememangnya mahasiswa di Malaysia masih tidak mempunyai capaian untuk didabik dada sebagaimana gerakan mahasiswa di negara-negara lain yang lebih ke hadapan. 

Dalam membina fikrah serta kekuatan pemuda, terdapat beberapa cabang cabaran yang perlu ditempuhi oleh golongan muda hari ini iaitu;

~ Kegagalan mencipta isu
~ Kegagalan memanfaatkan isu yang timbul
~ Kesilapan menentukan sikap sehingga menimbulkan (back fire)
~ Sifat isu yang mudah luput
~ Kegagalan menafsir sesuatu isu secara tepat

Oleh itu, pemuda perlu sentiasa waspada dan bersiaga menghadapi cabaran ini. Pemuda perlu membina keupayaan diri untuk berdepan cabaran ini dengan mewujudkan sensitiviti yang tinggi dalam diri yang hanya boleh dilakukan dengan tahap pembacaan yang tajam, olahan tarbiyah yang mantap serta kritis dalam membentuk pengalaman lalu menjadi nilai tambah keupayaan diri.

Tanpa persiapan sedemikian, pemuda akan terperangkap dalam manipulasi musuh yang amat licik. Realiti hari ini mempamerkan suatu hakikat yang amat meresahkan kita apabila ramai pemuda/i muslim tersungkur di hadapan musuh seterusnya menjadi agen musuh yang menentang Islam. Dari situ lahirnya penentang Islam berijazah syariah dan lain-lainnya. Bahkan wujud juga pengkhianat perjuangan akibat daripada nilai tarbiyah yang masih tidak sebati dalam diri.

Penulis tinggalkan Siri Bina Fikrah Pemuda yang pertama ini dengan sabda Rasulullah saw. InsyaAllah semoga bertemu dalam Siri Bina Fikrah Pemuda yang seterusnya. 

"Tidak berganjak kaki seorang hamba pada hari qiamat sehingggalah ia disoal berkenaan dengan empat perkara :Ke manakah dihabiskan umurnya , bagaimana ia manafaatkan usia mudanya , dari mana diperolehi hartanya dan ke mana pula ia belanjakannya dan apa yang telah direalisasikan ilmu miliknya"
(Riwayat At-Tarmizi)


No comments:

Post a Comment