Followers

Saturday, May 14, 2011

SIRAH DAIE: SECEBIS MANISAN PERJUANGAN

Pagi itu Ust Nasrudin keluar awal-awal pagi lagi. Menjadi imam solat subuh di masjid, memberi tazkirah ringkas selepas subuh dan kemudian terus memecut menuju ke selatan. Jarak kira-kira satu jam perjalanan melalui lebuhraya. Beliau menuju ke sebuah tempat percutian yang popular di Malaysia. Sahabat-sahabat lain ada yang telah menunggu di sana.

Setibanya di sana barulah Ust Nasrudin bersarapan. Begitulah corak hidup seorang daie. Sentiasa padat dengan kerja mengajak manusia kepada menyauhidkan Allah dan mencegah kepada kebatilan manusia. Pagi itu, beliau akan mengepalai sendiri operasi 'sebar dakwah' dengan menyebarkan risalah-risalah dakwah kepada pengunjung di pusat percutian itu yang rata-rata anak muda beragama Islam yang langsung tidak menjaga keislaman mereka.

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang". Misi menyebarkan dakwah Islam bermula. Pekerja-pekerja Islam di bawah pimpinan Ust Nasrudin dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Misi mereka jelas! Menyebar luaskan sebanyak mungkin risalah dakwah yang telah dicetak sedia dan mendekati seramai mungkin muda/i Islam yang telah jauh tenggelam dalam kemaksiatan.

Operasi dakwah yang berpanjangan sehingga 3 jam itu dipenuhi pelbagai warna. Mudah untuk menghabiskan risalah tetapi tidak mudah untuk menyampaikan apa yang terkandung di dalam risalah. Ada yang positif menyambut sekurang-kurangnya dengan senyuman dan ada yang berkarat hatinya sehingga risalah diperonyok dan dibuang di hadapan sang daie-daie yang bekerja kerana cinta akan saudara seIslam yang lain. Namun itu adalah asam garam yang perlu dihadapi dengan kesabaran oleh para daie.

Misi untuk mendekati golongan ini juga akan sukar. Pelbagai cara digunakan untuk berbual lebih dekat dengan golongan sasaran namun mereka nampaknya masih sibuk dengan "bulan madu dunia" mereka. Maka, sekadar yang termampu sahaja dapat dilakukan. Tambahan lagi, Ust Nasrudin telah mengingatkan supaya dakwah disampai secara berhemah dan berstrategi menggunakan kaedah psikologi. 

Amanat awal Ust Nasrudin, gunakan kehebatan kata-kata manis (seni percakapan) untuk menarik mereka kepada Islam dan itulah yang dilakukan oleh pasukan dakwah yang dinaungi Ust Nasrudin. Perkara terakhir yang mereka lakukan adalah dengan meninggalkan nombor telefon kepada sasaran dakwah yang dianggap punya harapan sebagai tanda bahawa mereka benar-benar ingin membantu.

Ust Nasrudin sendiri sebagai ketua operasi berdepan pengalaman yang sudah lali dengan dirinya. Ada yang buat tidak endah, ada yang bersikap kurang ajar dan tak kurang juga yang membalas dengan menjeling mata. Setelah 3 jam berlalu, semua berkumpul semula di suatu tempat yang telah ditetapkan. Ust Nasrudin memberi kata-kata akhir sebagai perangsang kepada pekerja-pekerja dakwah semua. Semangat mereka kembali membaru walaupun mereka tidak mencapai matlamat mereka pada hari ini. 

Hampir jam satu, Ust Nasrudin beredar dari situ bersendirian. Beliau terpaksa bergegas pulang ke rumah untuk bersiap dan menuju ke utara pula. Kerja dakwah beliau beralih ke utara dengan kuliah maghrib dan ceramah perdana mengisi diari hidup beliau pada sebelah malam. Tetapi sebelum itu beliau perlu menziarahi orang kampung beliau yang sedang tenat selepas solat zuhur bersama sekumpulan pemuda Islam.

Beberapa minit perjalanan, hati Ust Nasrudin mula merasa semacam. Hati beliau menyangka seperti ada kenderaan lain yang mengikuti beliau dari belakang namun berkali-kali beliau menidakkannya di dalam hati. Tidak lama kemudian, sebuah kenderaan keluaran tempatan berwarna merah mendepani kenderaan Ust Nasrudin. Kenderaan Ust Nasrudin yang serba gelap dihimpit sehingga ust terpaksa berhenti. Hati Ust berdebar-debar. Hanya kepada Allah tawakal ust ketika itu.

Dua orang pemuda keluar dari kenderaan itu. Terdapat seorang lagi wanita yang masih menunggu di dalam. Pemuda itu menghampiri cermin di sisi Ust. Beliau memberanikan diri menurunkan cermin kereta lantas memberi salam. Tiba-tiba salah seorang pemuda itu terus memegang tangan Ust dan mencium tangan Ust Nasrudin. Ust Nasrudin terpaku. Beliau menenangkan pemuda itu dan dirinya sendiri yang masih terkejut dengan kejadian itu. Maka, di bawa mereka ke perhentian lebuhraya yang berdekatan.

Dua orang pemuda dan seorang wanita. Mereka adik-beradik berasal dari negeri paling selatan dalam semenanjung tanah air. Mereka ke pusat percutian itu untuk menyertai parti maksiat anjuran teman mereka. Mereka insaf setelah membaca risalah yang diberi oleh Ust Nasrudin kepada mereka. Mereka benar-benar sudah jemu dengan kemaksiatan. Dan mereka juga adalah wakil daripada rakan-rakan yang lain yang juga sudah penat makan maksiat di dunia. Mereka mengharapakn Ust Nasrudin dapat membimbing mereka bertiga.

Perbualan lebih kurang setengah jam dengan hasil yang agak positif. Lebih kepada proses taaruf dan menyelami masalah yang di hadapi tiga anak muda di hadapan beliau. Mereka bertukar-tukar nombor telefon dan Ust Nasrudin akan bertemu dengan mereka sekali lagi dalam waktu terdekat. Sebelum pulang, Ust Nasrudin sempat memberikan kata-kata yang cukup memberahikan semangat tiga anak muda tadi untuk berubah. "Dalam beribu orang yang kami temui tadi rupa-rupanya kalian bertiga insan yang dipilih Allah untuk menerima hidayah-Nya. Yakinlah dengan kebesaran Allah. InsyaAllah, ampunan untuk kalian semua daripada Allah Yang Maha Pengampun."

Ust Nasrudin pun meneruskan perjalanannya pulang. Hatinya riang kecil dan berasa senang sekali. Allah swt telah memberikan beliau secebis manisan perjuangan untuk dirasai kelazatannya. Suatu tarbiyah langsung yang cukup mengembalikan tenaga beliau untuk bekerja pada jalan Allah. Tak lama kemudian, beliau mendapat beberapa panggilan telefon dan kiriman SMS. Rupa-rupanya ada juga sahabat-sahabat lain yang dihubungi oleh sasaran dakwah mereka tadi. Ust Nasrudin hanya tersenyum dan berkata "Alhamdulillah".


No comments:

Post a Comment