Followers

Friday, May 20, 2011

SIRI BINA FIKRAH PEMUDA: KEKAL PUTIH DALAM LUMPUR HITAM

Tingkatkan kesedaran taqafah dan Tasawwur Amal Islami (ilmu pengetahuan) dalam menghadapi serangan pemikiran yang kian mencabar. Keteguhan aqidah imaniyah penting untuk menangkis segala syubhah yang dibawa melalui virus ideologi berpaksikan isme-isme manusia. Dan bergabung dengan kepimpinan serta gerak kerja Islam. Hasilnya kita akan selamat dari lingkaran propaganda yang berbentuk fitnah. Dari situ, Allah akan mengiktiraf kita sebagai pembantu agama Allah.

Maka, antara yang menjadi isu dalam wajah bagi mencapai tahap diri yang bersedia untuk menjadi penggerak agama Allah adalah cabaran untuk kekal putih dalam lumpur hitam. Dalam erti kata yang lain untuk mengekalkan keteguhan akhlak Islam dalam keruntuhan akhlak manusia kian parah.

Kepincangan nilai dan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda hari ini amat membimbangkan. Bahkan, ia telah menjadi barah yang kronik kepada ummah di setiap pelosok dunia. Ini hasil 'baik' yang dituai oleh pakatan jahat yahudi dan barat dalam mengorentasikan budaya kuning untuk meneruskan penjajahan mereka ke atas minda umat Islam.

Mereka meransang nafsu dan menaja pelbagai bentuk kemaksiatan tanpa had batasan sehingga menarik muda/i Islam menjadi manusia liar dan buas. Muda/i Islam diajak memuaskan nafsu yang tidak pernah akan kunjung puas. Media massa dijadikan tunggangan menggerakkan kerja untuk menuang minyak ke dalam geloran nyalaan api nafsu. Mencetus perasaan samar-samar tentang kewujudan dosa meski muda/i Islam tahu akan wujudnya dosa. 

Tidak setakat itu, senjata menyerang akhlak umat Islam dicipta saban hari dalam pelbagai bentuk dan sudut. Majalah, video-video, capaian internet sehinggalah kepada perkara-perkara yang dekat dengan diri umat Islam seperti berpakaian, makanan dan lain-lain. Pendek kata, sentiasa sahaja senjata berpeluru bahaya ini diacukan ke arah muda/i Islam tanpa mengira tempat, waktu dan ketika.

Maka, ini cabaran bagi muda/i Islam yang bergelar pejuang. Hakikat hari ini kita berada di lautan lumpur hitam. Cabarannya, kita perlu kekal putih di dalam lumpur hitam tersebut. Sesuatu yang sukar jika dilihat secara logik akal namun semuanya akan menjadi mudah jika kembali kepada Islam. Bahkan, bukan sekadar seseorang pejuang itu kekal putih dalam lumpur hitam tetapi lebih dari itu tidak mustahil untuk lumpur hitam itu sendiri untuk dibersihkan dan diputihkan.

Setiap yang menggelarkan diri sebagai pejuang perlu mampu menangkis fitnah yang dibawa ini. Jangan dilalaikan dengan perkara-perkara yang menjurus ke arah nafsu. Jangan membuang masa dengan sia-sia sebaliknya setiap detik bagi diri pejuang itu perlulah diqasadkan hanya kerana Allah sebagai sebuah ibadah yang memutikkan hasil untuk diri.

Kesimpulannya, terdapat 4 perihal penting yang perlu dilakukan oleh para pejuang agama Allah ini iaitu;
1) Melaksanakan semua kewajiban diri sebagai manusia di muka bumi ini.
2) Mewajibkan diri dalam perkara-perkara sunnah setakat kemampuan seperti melazimi puasa sunat, solat sunat, dan mengamalkan sunnah dalam perbuatan harian seperti sunnah memakai pakaian, sunnah memakai kasut dan sebagainya.
3) Menjaga hubungan baik sesama manusia.
4) Istiqamah dalam kerja/amalan baik yang dilakukan.

Ringkasan kepada 4 perkara ini adalah hablum minallah dan hablum minannas. InsyaAllah, dengan terjaganya hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia maka akan selamatlah kalian (pejuang Islam) dari kehitaman lumpur bahkan lumpur itu akan bisa kalian (pejuang Allah) jernih putihkan.


Thursday, May 19, 2011

SIRAH DAIE: PERJALANAN YANG MEMATANGKAN

Maka, tersebutlah kisah Sang Daie Mujahid Islam dari Negeri Padi Bertimbun. Dia bergerak dalam jemaah Islam, menjadi mata-mata rantai penyambung perjuangan mengajak manusia kea rah pengabdian diri semata-mata kepada Allah.

Dalam setiap era perjuangan Islam, tidak ada yang sepi dengan dugaan dan cabaran. Ujian sebagai penetapan tahap keimanan dan kebergantungan terhadap Allah serta keyakinan terhadap panji yang dijulang. Kebanyakkan telah siap siaga dengan lawan musuh namun ramai yang tidak menyangka cobaan dalaman turut paksa mereka hadapi.

Mujahid Islam, dia bersama di dalam sebuah jemaah yang menjadi anak kepada jemaah induk. Masuknya dalam keadaan hubungan anak dan si ayah agak renggang oleh kelibat beberapa permasalahan yang punya asas untuk si anak bersuara. Namun dalam keghairahan si anak menegakkan kata-kata terkadang jemaah anak ini tersadung dari segi tingkah mereka. Walau apapun permasalahannya, ayah tetap ayah pada si anak dan walau bagaimana terukpun si ayah, penghormatan tetap perlu diberikan oleh si anak.

Namun ada dalam kalangan suara anak yang mengatakan kali ini mereka bersuara bukan atas stand anak sebaliknya suara mereka atas stand seorang manusia biasa. Mujahid Islam sangat bersetuju jemaah anak menyuarakan masalah mereka tetapi untuk bersuara atas stand yang lain adalah suatu perkara yang tidak dapat diterima sama sekali. Mengapa perlu jemaah itu dibelakangi.

Mujahid Islam pernah bertanya kepada salah satu kepala jemaah anak, mengapa tidak digunakan saluran yang telah sedia ada? Terus melalui kepala yang memimpin induk atau badan tubuh khas yang diwujudkan untuk menjaga jemaah anak?

Maka, kata dia jika dilapori akan perihal kepada badan tubuh yang bertaraf jabatan isu ini tiada akan tiba pada atasan. Bertambah pelik akan akal Mujahid Islam. Bukankah antara 10 ajaran ayah yang diajarkan dahulu terkandung perihal tsiqah? Di mana kepercayaan anak jika itu jawapannya?

Berbalik kepada suara tinggi si anak pada si ayah, lumrah dunia mencatatkan setiap permasalahan itu punya penyelesaian yang pelbagai. Tinggal cuma untuk kita memilih penyelesaian untuk permasalahan yang dihadapi. Maka, kefahaman keutamaan amat diperlukan di sini. Boleh jadi permasalahan yang sama terhadap dua situasi yang berbeza memerlukan kepada dua penyelesaian yang berlainan warna. Tidak wajar untuk disamakan tindakan jika dengan si dia bisa lantang tetapi dengan si dia (yang kedua) tidak bisa pula.

Kesan dari setiap tindak-tanduk perlu dikaji sedalamnya. Skop perjuangan jemaah anak tidak lebih kepada sebuah bangunan yang tegak sedang jemaah ayah punya skop yang lebih luas meliputi wilayah bersempadan. Apabila anak melakukan sesuatu yang bisa menimbulkan keraguan kepada ayah maka ini amat bahaya.

Sudah pasti anak dengan niat yang baik, perihal ini difahami jiran-jiran yang dekat dengan anak, yang terbuka luas pemikiran serta yang tidak mudah dimanipulasi. Bahkan Mujahid sendiri faham dengan tindakan anak ini. Tinggal Cuma bagaimana dengan jiran yang membenci? Dengan minda yang telah dipenjarakan kepada keduniaan? Dengan yang bergelar pagar atas? Yang mudah dimanipulasi di rumah-rumah kayu dipenuhi hutan banat? Pasti sekali kelompok makhluk yang tidak punya maklumat dan kefahaman lebih ramai berbanding yang punya maklumat dan kefahaman. Hal-hal inilah yang perlu diteliti.

Dalam jalan-jalan dunia, Mujahid Islam sempat juga berbicara dengan si ayah. Maka, dalam kedengaran perbicaraan itu kadang-kala teringat pengalaman Mujahid di halaman kampong dahulu. Dari satu sudut Mujahid Islam melihat ayah dan anak tidak boleh dipersalahkan atau kedua-dua mesti dipersalahkan. Terlalu banyak perihal canggah yang mengwarnai cerita ini. Maka terlintas di fikiran Mujahid Islam, di mana komunikasi antara anak dan ayah?

Di situ Mujahid Islam merasakan anak perlu selalu menziarahi ayah, bahkan ahli keluarga yang lain. Bapa-bapa saudara yang di Negeri Seladang, Penyu dan semua sekali termasuk atuk dan nenek yang masih ada sebagai pusat keluarga. Satu persiapan jangka masa panjang yang perlu supaya tidak berlaku salah faham dalam pokok keluarga harmoni berteras Islam ini. Komunikasi itu penting.

Dari satu sudut ayah juga perlu beralah. Namun si anak perlu bijak mencuri hati ayah sebagaimana bijaknya sang suami mencuri hati sang isteri yang disayangi. Psikologi itu penting maka sebaik-baik tindakan adalah merapatkan semula hubungan antara anak dan ayah yang mungkin boleh dilakukan melalui sidang ziarah.

Ayah mungkin marah kerana anak terlalu focus pada isu ini sehingga terabai isu besar. Kisah Pak Putih menghina Islam sehinggalah kisah-kisah lain ayah melihat anak terlalu diam. Adakah anak redha? Bukankah diam itu redha? Mujahid Islam melihat anak mungkin terganggu fokus dengan isu yang ada sehingga terlepas isu yang lebih besar. Kisah yang dibingitkan anak ini kisah yang sangat besar tetapi ada kisah yang lebih besar dari itu yang anak terlepas pandang.

Mujahid Islam masih belum mampu menyimpulkan kisah ini. Namun, apa yang dilihat adalah perkara yang perlu dilalui anak dalam mematangkan diri mereka. Setakat ini kuncinya ada dua, Satu hubungan anak dan ayah perlu dipulihkan dan dieratkan. Dua, Anak perlu lebih berseni dalam berhubungan dengan ayah kerana semua punya ego. Seni mampu melumpuhkan ego, PERCAYALAH!

Maka, Mujahid akhirnya membuat penafsiran awal juga. Ini adalah ketentuan Allah yang perlu dilalui untuk mematangkan kepimpinan walau cereka seumpama ini sering berulang mengikut zaman. Dari bacaan Mujahid Islam, kisah yang timbul lebih berbentuk persepsi sedang kisah sebenar tenggelam dek kerana keterpercayaan terhadap persepsi. Kalam akhir Mujahid Islam, sama-sama muhasabah dan perbaharui niat, azam dan gerak kerja. InsyaAllah, Dia sentiasa bersama kita dan kukuhkan ikatan dengan doa rabitah.


Kisah ini sekadar ilham penulis sahaja!!


Sunday, May 15, 2011

SIFAT-SIFAT HIZBULLAH DI DALAM AL QURAN

Firman Allah swt;

"Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa murtad di antara kamu dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai akan-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, yang berkeras (tegas) dengan orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Hanya sesungguhnya pimpinan kamu adalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman; iaitu orang-orang yang meendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka yang tunduk (patuh kepada Allah). Dan barangsiapa menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman menjadi pimpinan, maka sesungguhnya Hizbullah (pendokong agama Allah) yang pasti menang"
(Surah Al Maidah ayat 54-56)

Berdasarkan ayat di atas, dapatlah disimpulkan beberapa sifat-sifat Hizbullah atau pendokong perjuangan Islam ialah;

1. Mereka menyintai Allah (dan agama Allah yakni Islam) mengatasi cinta mereka terhadap perkara-perkara yang lain. Cinta pada Allah diletakkan pada takhta paling tinggi dalam carta cinta mereka dalam permaknaan cinta sejati yang luhur, ikhlas dan suci dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah swt (Hablum minallah)

2. Mereka bersikap lemah lembut sesama saudara muslim dan orang-orang yang berlembut dengan mereka. Mereka sentiasa berkata baik, bertingkah hemah dan akhlak yang menyenangkan sesama mukmin (Hablum minannas)

3. Dalam masa yang sama, mereka tegas dan merasai izzah terhadap golongan kafir yang memusuhi Islam dan golongan musuh yang pelbagai bentuk dan cara. Mereka tetap dengan pendirian Islam sebagai tuan di dunia dan Allah penegasan tertinggi hidup dengan tidak rela melihat agama Allah dipermain atau diperlekeh musuh.

4. Mereka berjihad dan berkorban pada jalan Allah dengan segala keupayaan yang ada pada mereka demi kelangsungan Islam. Mereka berkorban dengan keringat kudrat tenaga, perahan akal minda, masa, harta benda, kekayaan, pangkat malah nyawa sekalipun sebagai taruhan demi perjuangan Islam.

5. Mereka tidak takut kepada fitnah dan celaan ahli cela. Penghinaan ahli hina. Dan pelbagai bentuk diskriminasi yang bakal dihadapi pendokong-pendokong perjuangan Islam kerana tarbiyah diri telah memberitahu sememangnya perjuangan Islam ini perjuangan yang dipenuhi dengan celaan orang-orang yang mencela dalam kalangan musuh Islam. Sesungguhnya celaan terhadap mereka itu tidak sedikitpun mengurangkan kemuliaan mereka di sisi Allah disebabkan keimanan mereka terhadap perjuangan Islam.

6. Mereka memberi wala dan ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya serta pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sebagai pengukuhan jemaah yang menghidupkan kekuatan demi cita-cita perjuangan.

Wahai sahabat seperjuangan sekalian! Ayuh muhasabah diri. Adakah kita Hizbullah, Pendokong agama Allah???


Saturday, May 14, 2011

SIRAH DAIE: SECEBIS MANISAN PERJUANGAN

Pagi itu Ust Nasrudin keluar awal-awal pagi lagi. Menjadi imam solat subuh di masjid, memberi tazkirah ringkas selepas subuh dan kemudian terus memecut menuju ke selatan. Jarak kira-kira satu jam perjalanan melalui lebuhraya. Beliau menuju ke sebuah tempat percutian yang popular di Malaysia. Sahabat-sahabat lain ada yang telah menunggu di sana.

Setibanya di sana barulah Ust Nasrudin bersarapan. Begitulah corak hidup seorang daie. Sentiasa padat dengan kerja mengajak manusia kepada menyauhidkan Allah dan mencegah kepada kebatilan manusia. Pagi itu, beliau akan mengepalai sendiri operasi 'sebar dakwah' dengan menyebarkan risalah-risalah dakwah kepada pengunjung di pusat percutian itu yang rata-rata anak muda beragama Islam yang langsung tidak menjaga keislaman mereka.

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang". Misi menyebarkan dakwah Islam bermula. Pekerja-pekerja Islam di bawah pimpinan Ust Nasrudin dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Misi mereka jelas! Menyebar luaskan sebanyak mungkin risalah dakwah yang telah dicetak sedia dan mendekati seramai mungkin muda/i Islam yang telah jauh tenggelam dalam kemaksiatan.

Operasi dakwah yang berpanjangan sehingga 3 jam itu dipenuhi pelbagai warna. Mudah untuk menghabiskan risalah tetapi tidak mudah untuk menyampaikan apa yang terkandung di dalam risalah. Ada yang positif menyambut sekurang-kurangnya dengan senyuman dan ada yang berkarat hatinya sehingga risalah diperonyok dan dibuang di hadapan sang daie-daie yang bekerja kerana cinta akan saudara seIslam yang lain. Namun itu adalah asam garam yang perlu dihadapi dengan kesabaran oleh para daie.

Misi untuk mendekati golongan ini juga akan sukar. Pelbagai cara digunakan untuk berbual lebih dekat dengan golongan sasaran namun mereka nampaknya masih sibuk dengan "bulan madu dunia" mereka. Maka, sekadar yang termampu sahaja dapat dilakukan. Tambahan lagi, Ust Nasrudin telah mengingatkan supaya dakwah disampai secara berhemah dan berstrategi menggunakan kaedah psikologi. 

Amanat awal Ust Nasrudin, gunakan kehebatan kata-kata manis (seni percakapan) untuk menarik mereka kepada Islam dan itulah yang dilakukan oleh pasukan dakwah yang dinaungi Ust Nasrudin. Perkara terakhir yang mereka lakukan adalah dengan meninggalkan nombor telefon kepada sasaran dakwah yang dianggap punya harapan sebagai tanda bahawa mereka benar-benar ingin membantu.

Ust Nasrudin sendiri sebagai ketua operasi berdepan pengalaman yang sudah lali dengan dirinya. Ada yang buat tidak endah, ada yang bersikap kurang ajar dan tak kurang juga yang membalas dengan menjeling mata. Setelah 3 jam berlalu, semua berkumpul semula di suatu tempat yang telah ditetapkan. Ust Nasrudin memberi kata-kata akhir sebagai perangsang kepada pekerja-pekerja dakwah semua. Semangat mereka kembali membaru walaupun mereka tidak mencapai matlamat mereka pada hari ini. 

Hampir jam satu, Ust Nasrudin beredar dari situ bersendirian. Beliau terpaksa bergegas pulang ke rumah untuk bersiap dan menuju ke utara pula. Kerja dakwah beliau beralih ke utara dengan kuliah maghrib dan ceramah perdana mengisi diari hidup beliau pada sebelah malam. Tetapi sebelum itu beliau perlu menziarahi orang kampung beliau yang sedang tenat selepas solat zuhur bersama sekumpulan pemuda Islam.

Beberapa minit perjalanan, hati Ust Nasrudin mula merasa semacam. Hati beliau menyangka seperti ada kenderaan lain yang mengikuti beliau dari belakang namun berkali-kali beliau menidakkannya di dalam hati. Tidak lama kemudian, sebuah kenderaan keluaran tempatan berwarna merah mendepani kenderaan Ust Nasrudin. Kenderaan Ust Nasrudin yang serba gelap dihimpit sehingga ust terpaksa berhenti. Hati Ust berdebar-debar. Hanya kepada Allah tawakal ust ketika itu.

Dua orang pemuda keluar dari kenderaan itu. Terdapat seorang lagi wanita yang masih menunggu di dalam. Pemuda itu menghampiri cermin di sisi Ust. Beliau memberanikan diri menurunkan cermin kereta lantas memberi salam. Tiba-tiba salah seorang pemuda itu terus memegang tangan Ust dan mencium tangan Ust Nasrudin. Ust Nasrudin terpaku. Beliau menenangkan pemuda itu dan dirinya sendiri yang masih terkejut dengan kejadian itu. Maka, di bawa mereka ke perhentian lebuhraya yang berdekatan.

Dua orang pemuda dan seorang wanita. Mereka adik-beradik berasal dari negeri paling selatan dalam semenanjung tanah air. Mereka ke pusat percutian itu untuk menyertai parti maksiat anjuran teman mereka. Mereka insaf setelah membaca risalah yang diberi oleh Ust Nasrudin kepada mereka. Mereka benar-benar sudah jemu dengan kemaksiatan. Dan mereka juga adalah wakil daripada rakan-rakan yang lain yang juga sudah penat makan maksiat di dunia. Mereka mengharapakn Ust Nasrudin dapat membimbing mereka bertiga.

Perbualan lebih kurang setengah jam dengan hasil yang agak positif. Lebih kepada proses taaruf dan menyelami masalah yang di hadapi tiga anak muda di hadapan beliau. Mereka bertukar-tukar nombor telefon dan Ust Nasrudin akan bertemu dengan mereka sekali lagi dalam waktu terdekat. Sebelum pulang, Ust Nasrudin sempat memberikan kata-kata yang cukup memberahikan semangat tiga anak muda tadi untuk berubah. "Dalam beribu orang yang kami temui tadi rupa-rupanya kalian bertiga insan yang dipilih Allah untuk menerima hidayah-Nya. Yakinlah dengan kebesaran Allah. InsyaAllah, ampunan untuk kalian semua daripada Allah Yang Maha Pengampun."

Ust Nasrudin pun meneruskan perjalanannya pulang. Hatinya riang kecil dan berasa senang sekali. Allah swt telah memberikan beliau secebis manisan perjuangan untuk dirasai kelazatannya. Suatu tarbiyah langsung yang cukup mengembalikan tenaga beliau untuk bekerja pada jalan Allah. Tak lama kemudian, beliau mendapat beberapa panggilan telefon dan kiriman SMS. Rupa-rupanya ada juga sahabat-sahabat lain yang dihubungi oleh sasaran dakwah mereka tadi. Ust Nasrudin hanya tersenyum dan berkata "Alhamdulillah".


Thursday, May 12, 2011

SIRI BINA FIKRAH PEMUDA: SERANGAN PEMIKIRAN

Kata Al Fadhil Ustaz Hafiz Mohd Nor, musuh Islam itu senantiasa merencana dan merencana. Mereka tidak akan pernah berhenti sehinggalah Allah menghentikan mereka dengan hari kiamat.

Maka, di antara rencana musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam hari ini adalah dengan melancarkan agenda pemikiran untuk mengganggu gugat akidah umat Islam melalui penjajahan moden iaitu penjajahan pemikiran. Perkara ini sememangnya telah diketahui umum. Bahkan, kata-kata serta beberapa penulisan pimpinan golongan mungkar menguatkan lagi perkara itu. Theodore Hertzel yang juga pencetus kepada kewujudan Negara haram Israel pernah berkata;

"misi kalian (musuh-musuh Islam) bukanlah mengeluarkan mereka dari Islam, walaupun yang terakhir ini merupakan keberhasilan yang paling gemilang. Tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka dari Islam..jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri, orang Islam yang gemar berfoya-foya, suka dengan kemaksiatan, hidup semata-mata untuk cari harta dan jabatan..jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kalian sudah berhasil..laksanakan dan tunaikan misi kalian ini dengan penuh kesedaran"
(petikan ucapan ketika Persidangan Yahudi di Basel, Switzerland)

Sejak berkurun lamanya, ummah dihentam dengan serangan pemikiran yang bertalu-talu. Tumpuan utama mereka adalah muda-mudi Islam kerana golongan muda merupakan nadi kepada perjuangan Islam yang perlu dihentikan musuh Islam. 

Rekod memperlihatkan kebanyakkan serangan pemikiran ini berpusat di barat. Antara produk yang paling berjaya memanipulasi minda manusia khususnya umat Islam adalah ideologi sekularisme, satu pemikiran yang berjaya memenjarakan agama di sebalik dinding-dinding rumah ibadat. Idealisme inilah yang melahirkan kenyataan "Islam suku politik suku" atau "Islam dan politik tidak boleh disamakan" atau kenyataan yang bersifat menidakkan kesyumulan Islam seperti "Hukum Islam tidak sesuai dengan zaman sekarang".

Tidak sekadar itu, musuh-musuh Islam sentiasa cuba ke hadapan dalam menanam kehendak mereka dalam pemikiran umat Islam melibatkan pelbagai disiplin ilmu yang wujud di dunia ini. Dalam erti kata yang lain, skop gerak kerja mereka melibatkan 360 darjah dalam bulatan. Penjajahan pemikiran juga berlaku dalam bidang ekonomi, sosial, ilmu sains dan bidang-bidang lain.

Dalam konteks ekonomi, musuh Islam memperkenalkan kapitalisme sebagai 'pemain' yang mewakili mereka untuk mempengaruhi minda manusia. Sistem yang mendokong orentasi ekonomi ribawi yang jelas ditolak oleh ideologi Islam yang dibawa Muhammad saw. Dalam bab sosial pula, musuh Islam mewujudkan pelbagai seni pemikiran yang menjauhkan manusia dari manhaj Rabbani untuk didokong oleh umat Islam. Kebebasan melampau ditaja dan dijenamakan atas kalimah hak asasi manusia sedang hak Allah sebagai Rabbul a'lamin ditidakkan. 

Pendek kata, muda-mudi Islam hari ini menjadi sasaran serangan pemikiran musuh Islam yang datang dari segenap penjuru dan arah. 

Musuh-musuh Islam menyedari bahawa Islam tidak mungkin dapat dilumpuhkan melalui serangan fizikal iaitu melalui peperangan. Maka, mereka mengubah strategi mereka dengan menghantar askar-askar halus meresap dan menyerang umat Islam dengan pemuda menjadi sasaran utama.

Misi mereka adalah untuk menjauhkan umat Islam daripada fahaman Islam yang sebenar selain merekrut 'askar-askar' baru dari kalangan umat Islam sendiri untuk dijadikan boneka kepada propaganda yang sedang mereka rencanakan. Hasilnya hari ini, boneka musuh-musuh Islam ini ada di setiap pelusuk dunia bahkan mereka juga turut berorganisasi dan gerakan mereka bersistematik.

Boneka-boneka ini wujud dimana-mana. Di Turki, Pakistan, Malaysia dan negar-negara dunia lain. Mereka wujud dengan membawa perjuangan atas isme-isme manusia yang diilhamkan oleh Iblis yang sememangnya bermusuh dengan manusia. Mereka wujud dalam perjuangan Sekularisme, Nasionalisme, dan isme-isme yang lainnya.

Maka, di sini penulis berwasiat kepada muda-mudi Islam bahawa ideologi terbaik memandu manusia mengimarakkan muka bumi Allah ini tidak lain tidak bukan adalah ideologi yang datangnya dari Allah sendiri iaitu ideologi Islam. Bukankah Allah yang menciptakan manusia? Justeru Allah lebih berhak dan mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Bukannya manusia itu sendiri.

Oleh itu, setiap daripada muda-mudi Islam, kunci kesinambungan perjuangan Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling supaya tidak tenggelam dan lemas dengan ideologi bersifat menyesatkan dan melemahkan tajaan musuh-musuh Islam. Pemuda/i perlu kukuh dan mantap dengan tassawuf Islam yang mampat serta fikrah yang jelas sebagai benteng diri berdepan serangan pemikiran yang dilancarkan golongan laknatullah ini. Insafilah firman Allah swt;


"Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan."
(Surah Ali Imran ayat 196-197)


Wednesday, May 11, 2011

SIRI BINA FIKRAH PEMUDA: CABARAN PEMUDA HARI INI

Pemuda adalah aset ummah, mata-mata rantai yang masih 'segar' penyambung perjuangan warisan yang haq. Pemuda juga adalah institusi utama dalam menggerakkan ummah, memadu tenaga, memerah keringat minda dan mengalirkan sungai semangat dalam perjuangan yang didokong. Maka, tidak hairanlah jika ada yang mengatakan tempat pemuda adalah di saf yang paling depan, pemegang panji perjuangan. Sabda Rasulullah saw;

"Aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk (lembut dan unik). Sesunggguhnya Allah telah mengutusiku dengan ugama yang lurus lagi tolerensi lalu aku telah dibantu kukuh oleh para pemuda sedang orang - orang tua menyanggahiku."

Dan sabda Baginda saw lagi;

"Sesungguhnya Allah mengkagumi pemuda - pemuda yang tiada baginya sebarang kerosakkan moral."
 ( Riwayat Ahmad dan Abu Yu’la )

Pemuda hari ini sewajarnya menjadi pemuda yang peka terhadap persekitaran dan isu yang timbul. Fakta ini jelas kerana antara elemen pembentukan ummah adalah menganalisis keadaan semasa dan keadaan semasa itu semestinya akan bersangkutan dengan isu-isu semasa. Justeru, di bahu setiap pemuda itu telah sedia tergalas satu tanggungjawab dalam menentukan masa depan ummah yang lebih baik. Maka, pemuda perlu sentiasa 'bermain' dengan perkembangan semasa yang berlaku di persekitaran mereka dalam skop yang lebih luas.

Yang bernama pemuda amat tidak layak untuk sekadar menjadi penonton sehingga alpa diulit mimpi dan buaian impian palsu. Pemuda perlu ada keinsafan untuk secara sukarela menghadirkan kesediaan untuk ke hadapan menangani realiti semasa dengan sentiasa sensitif terhadap isu yang berlaku. Sabda Rasulullah saw;

"… dan barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang muslim yang lain maka ia bukan dari kalangan mereka (orang muslim)." 

Realiti semasa, pemuda hari ini tidaklah tenggelam dalam menyuarakan isu-isu nasional. Tetapi tahap kesedaran pemuda juga bukanlah pada tahap yang baik seperti gerakan mahasiswa di Mesir suatu ketika dahulu yang menubuhkan Ikhwanul Muslimin atau gerakan mahasiswa di negara jiran Indonesia yang berjaya membawa satu perubahan besar di negara itu suatu masa lalu.

Yang jelas, gerakan mahasiswa di Malaysia masih diperingkat pembinaan. Sememangnya mahasiswa di Malaysia masih tidak mempunyai capaian untuk didabik dada sebagaimana gerakan mahasiswa di negara-negara lain yang lebih ke hadapan. 

Dalam membina fikrah serta kekuatan pemuda, terdapat beberapa cabang cabaran yang perlu ditempuhi oleh golongan muda hari ini iaitu;

~ Kegagalan mencipta isu
~ Kegagalan memanfaatkan isu yang timbul
~ Kesilapan menentukan sikap sehingga menimbulkan (back fire)
~ Sifat isu yang mudah luput
~ Kegagalan menafsir sesuatu isu secara tepat

Oleh itu, pemuda perlu sentiasa waspada dan bersiaga menghadapi cabaran ini. Pemuda perlu membina keupayaan diri untuk berdepan cabaran ini dengan mewujudkan sensitiviti yang tinggi dalam diri yang hanya boleh dilakukan dengan tahap pembacaan yang tajam, olahan tarbiyah yang mantap serta kritis dalam membentuk pengalaman lalu menjadi nilai tambah keupayaan diri.

Tanpa persiapan sedemikian, pemuda akan terperangkap dalam manipulasi musuh yang amat licik. Realiti hari ini mempamerkan suatu hakikat yang amat meresahkan kita apabila ramai pemuda/i muslim tersungkur di hadapan musuh seterusnya menjadi agen musuh yang menentang Islam. Dari situ lahirnya penentang Islam berijazah syariah dan lain-lainnya. Bahkan wujud juga pengkhianat perjuangan akibat daripada nilai tarbiyah yang masih tidak sebati dalam diri.

Penulis tinggalkan Siri Bina Fikrah Pemuda yang pertama ini dengan sabda Rasulullah saw. InsyaAllah semoga bertemu dalam Siri Bina Fikrah Pemuda yang seterusnya. 

"Tidak berganjak kaki seorang hamba pada hari qiamat sehingggalah ia disoal berkenaan dengan empat perkara :Ke manakah dihabiskan umurnya , bagaimana ia manafaatkan usia mudanya , dari mana diperolehi hartanya dan ke mana pula ia belanjakannya dan apa yang telah direalisasikan ilmu miliknya"
(Riwayat At-Tarmizi)


Tuesday, May 10, 2011

PUISI CINTA : CINTAKU PADA RASULULLAH

Trend yang bermain di dalam wayang hidup ana beberapa hari kebelakangan ini banyak berkisar kepada cinta. Artikel tentang cinta, cinta pada perjuangan, sahabat yang bakal berkahwin atas dasar cinta, konsep cinta pada Allah. Macam-macam lagi. Maka terbitlah puisi ini yang ana copy paste beberapa tahun dahulu tapi lupa dari blog mana. Bila belek-belek terjumpalah pula. Jadi ana publishkan untuk tatapan semua. Selamat menikmati puisi ini. ;-)

Nafasku tersekat dalam tangisan
Duhai, mengapa nafas tak lepas bersama jeritan
Sesudahmu tiada lagi kebaikan dalam kehidupan
Aku menangis karena aku takut hidupku akan kepanjangan

Kala rinduku memuncak, kujenguk pusaramu dengan tangisan
Aku menjerit meronta tanpa mendapatkan jawaban
Duhai yang tinggal di bawah tumpukan debu, tangisan memelukku
Kenangan padamu melupakan daku dari segala musibat yang lain

Jika engkau menghilang dari mataku ke dalam tanah,
engkau tidak hilang dari hatiku yang pedih
Berkurang sabarku bertambah dukaku
setelah kehilangan Khatamul Anbiya

Duhai mataku, cucurkan air mata sederas derasnya
jangan kautahan bahkan linangan darah
Ya Rasul Allah, wahai kekasih Tuhan
pelindung anak yatim dan dhuafa

Setelah mengucur air mata langit
bebukitan, hutan, dan burung
dan seluruh bumi menangis

Duhai junjunganku,
untukmu menangis tiang-tiang Ka’bah
bukit-bukit dan lembah Makkah

Telah menangisimu mihrab
tempat belajar Al-Quran di kala pagi dan senja
Telah menangisimu Islam
sehingga Islam kini terasing di tengah manusia

Sekiranya kau lihat mimbar yang pernah kau duduki
akan kau lihat kegelapan setelah cahaya


Monday, May 9, 2011

SIR WA HAZAR: STRATEGI ISLAM BINA KEKUATAN

Artikel ini adalah sambungan kepada artikel terdahulu bertajuk "SIR WA HAZAR: KERAHSIAAN YANG MEMBANTUTKAN" (http://cahayahafiz.blogspot.com/2011/03/sir-wa-hazar-kerahsiaan-yang.html) yang dimuatkan dalam blog ini pada bulan Mac yang lalu. Penulis terpanggil untuk memberi lebih penjelasan melihat kepada pemerhatian semasa penulis dan komen-komen belakang yang kedengaran mengenai konsep Sir Wa Hazar ini.

Maka, ditegaskan di sini penulis tidak menolak konsep sir wa hazar sebagai salah satu daripada strategi penting dalam perjuangan Islam sebaliknya penulis menyedari akan peranan sir wa hazar sebagai senjata yang digunakan untuk membina 'otot-otot' penting perjuangan Islam.

Mengimbau semula bait-bait kata dalam artikel penulis terdahulu, jelas tidak ada satu ayatpun yang menyatakan konsep sir wa hazar ini perlu ditolak. Sebaliknya, motif penulisan penulis dalam artikel yang lalu lebih kepada teguran terhadap ahli gerakan Islam supaya tidak salah faham dengan konsep sir wa hazar dalam perjuangan sehingga mempraktikkan ketakutan dalam berjuang dan bukannya kerahsiaan yang bersifat positif.

Penulis telah membentangkan beberapa contoh keterlaluan dalam melaksanakan tuntutan sir dan berhati-hati dalam artikel yang lepas. Tindakan yang kadang-kala hanya disandarkan kepada kalimah sir wa hazar akan tetapi hakikatnya ia lahir daripada ketakutan yang terbit dalam hati mujahid Islam. Namun, pemahaman yang tersasar terhadap konsep sir wa hazar ini bukan hanya setakat itu sahaja. Kadang-kala pemahaman terhadap konsep tersebut telah tepat malangnya pembawakan dalam melaksanakan sir pula yang tersasar dan salah.

Untuk lebih jelas, penulis hadirkan satu contoh. Dalam melaksanakan sir, kadang-kala pejuang-pejuang Islam menggunakan tipu  sebagai kaedah sir mereka sedangkan kaedah dalam melaksanakan sir yang termaktub dalam sunnah perjuangan bukanlah tipu sebaliknya yang digunakan adalah helah.

Contohnya dalam menyembunyikan program dalaman gerakan atau tempat program. Tindakan berbohong kepada seseorang bukanlah caranya. Yang sepatutnya digunakan adalah helah yang terbahagi kepada helah secara berkias atau helah untuk menghentikan pertanyaan.

Contoh helah berkias adalah dengan mengatakan "Aku ada program bersama keluarga" kerana program dalam jemaah adalah program keluarga kerana jemaah itu sendiri telah diikat dengan tali kekeluargaan berlandaskan akidah. Misalan untuk helah menghentikan pertanyaan adalah dengan cuba berjenaka sehingga merasa malas untuk mereka bertanya. Contonya apabila sahabat bertanya "Nak pergi mana?" Maka jawablah "Nak cari ilmu". Ditnya lagi, "Di mana?." Maka jawablah "Di bumi Allah Taala". Iringkan juga dengan senyuman tanda gurauan dari kita dan terus berhelah sehingga pertanyaan terhenti.

Kesimpulannya di sini, penulis tegaskan bahawasanya penulis tidak pernah sekali-kali menolak konsep sir wa hazar sebagai senjata pergerakan dalam perjuangan Islam. Tetapi penulis lebih cenderung untuk mengajak setiap dari insan yang bernama pejuang (termasuk diri penulis yang kerdil ini) untuk memahami konsep sir wa hazar ini dengan lebih mendalam dalam pergerakan Islam.